Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, September 28, 2009

AMK Gesa SPR Mansuh Undi Pos - TVA

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata AMK melihat kenyataan ini sebagai mencerminkan kedangkalan pemahaman mengenai tujuan diwujudkan peruntukan untuk pengundi tidak hadir dan malah matlamat dan fungsi pilihanraya.

Beliau berkata, pilihanraya diadakan untuk membolehkan rakyat memilih dengan bebas, tanpa tekanan yang tidak sewajarnya wakil mereka bagi membentuk kerajaan rakyat.

“Kita konsisten dengan pendirian Pakatan Rakyat sebelum ini dalam memorandum yang dianjurkan bersih kepada Yang Dipertuan Agong untuk menghapuskan undi pos. Itu menunjukkan bahawa undi pos ini adalah kaedah undi yang tidak boleh digunapakai dan sudah lapuk jadi perlu dikaji semula.

“Jadi kita melihat kerajaan Umno dan BN mengambil kelebihan daripada undian pos ini di mana sistemnya dan pengundiannya adalah tidak telus dan meletakkan sesiapa sahaja yang terlibat dengan undi pos dalam keadaan serba salah. Ini adalah kerana undi yang diberi oleh mereka adalah tidak telus dan boleh ditentukan oleh kerajaan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut berkata kerahsiaan undi adalah satu faktor asasi dalam proses pemilihan ini dan tujuan diwujudkan peruntukan untuk pengundi tidak hadir adalah bagi membolehkan rakyat yang tidak bermastautin di dalam satu-satu bahagian pilihanraya menjalankan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.

“Ini kerana soal seperti nombor siri yang berada di kertas undi dan menyebabkan mereka yang memilih undi diketahui oleh pihak lawan dan pihak SPR. Itu menunjukkan undi itu tidak lagi menjadi undi yang rahsia dan bebanan kepada mana-mana pihak yang terlibat dengan undi pos.

“Perkara keduanya ialah reputasi pengundi pos di mana yang termaktub dalam undang-undang bagi pengundi yang hadir dalam sesuatlu pilihan raya, dalam keadaan negara sekarang keadaan aman dan tidak ada peperangan dan sebagainya sepertimana yang berlaku sewaktu zaman kita memerangi komunis dahulu, itu menunjukkan mereka yang berada dalam pengundi pos berada dalam keadaan kawasan kem dan kawasan-kawasan pengundi tidak perlu sebenarnya kepada pengundi pos ini.

“Dengan sebab itu kita menuntut kepada SPR dan mendesak sebenarnya kepada perubahan politik dan juga undang-undang kerana dari segi asasnya perlembagaan memperuntukkan bahawa setiap orang berhak mengundi sampai rasa takut dan fobia dan undi mereka dijamin dari segi kerahsiaan,” katanya.

Antara mereka yang tidak bermastautin ini ialah anggota keselamatan yang bertugas di perbatasan atau di medan pertempuran atau mereka yang menjalankan tugas-tugas kritikal lain semasa hari mengundi.

Sudah tentu anggota tentera yang bermastautin di dalam kem atau di dalam sesuatu bahagian pilihanraya sesama keadaan aman, apatah lagi suami atau isteri mereka tidak dimaksudkan sebagai pengundi tidak hadir oleh penggubal Perlembagaan dan undang-undang.

“Kita kembali kepada rakyat kerana kita melihat SPR tidak bersungguh-sungguh untuk membuat perubahan dalam sistem undi pos ini. Dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang contoh, SPR didesak supaya mengkaji semula prosedur undi pos.

“Ini termasukla memorandum yang dihantar oleh Pakatan Rakyat kepada pihak SPR mengkaji aspek-aspek teknikal kepada pengundi pos. Sebagai contoh, esok kita ada pertemuan yang kedua dengan SPR dalam hal pengundian pos ini. Dengan itu saya melihat kenyataan dan keterangan kenyataan Timbalan Pengerusi SPR baru-baru ini yang mengambil mudah pendekatan dan juga keyakinan kita terhadap undi pos ini apabila beliau menyatakan SPR tidak kiralah sama ada semua pihak akan meneruskan dengan sistem undi ini.

“Jadi kita lihat, kita serahkan hak ini sama ada kepeluan undi pos ini sama ada diperlukan atau tidak kepada rakyat biarlah rakyat menentukan dan kali ini kita bercadang untuk mengajak seramai mungkin mereka yang pernah terlibat dengan undi pos ini termasuklah bekas-bekas tentera, bekas-bekas polis dan juga agensi-agensi yang mengawal hak-hak asasi terus termasuk Suhakam, NGO yang lain termasuk juga SPR dan mana-mana parti pun terlibat dalam forum ini.

“Biarlah rakyat yang ada menentukan dan mendapat maklumat yang jelas bagaimana undi pos ini terbuka kepada sebarang penipuan dan kelebihan kepada parti pemerintah,” katanya.

Beliau turut mengatakan Angkatan Muda Keadilan Malaysia memandang berat kegagalan atau mungkin keengganan untuk memahami niat penggubal undang-undang ini. Prinsip yang harus dipatuhi ialah ‘the intention of the legislator is law.

Tindakan memaksa pengundi dari kalangan anggota tentera dan suami atau isteri mereka menjadi pengundi tidak hadir dan menafikan hak mereka untuk mengundi sama seperti rakyat Malaysia lain mencabul Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa setiap rakyat adalah samarata dan tidak boleh didiskriminasi atas sebarang faktor termasuk profesion mereka.

Selan itu, Angkatan Muda Keadilan Malaysia mengajak semua pihak yang terlibat dan prihatin dengan pelaksanaan demokrasi tulen di Malaysia untuk mengadakan Forum Rakyat bagi membincangkan secara khusus persoalan undi pos atau pengundi tidak hadir ini.

Beliau berkata Forum Rakyat ini adalah penting bagi merungkai segala permasalahan dan kelemahan yang wujud bagi memastikan setiap undi adalah benar-benar bebas dan berkesan dalam menzahirkan kehendak sebenar rakyat.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia akan mengambil inisiatif untuk menganjurkan Forum Rakyat tersebut dengan menjemput semua pihak yang terlibat, termasuk wakil SPR, parti-parti politik, wakil Angkatan Tentera Malaysia, wakil Polis DiRaja Malaysia, organisasi masyarakat (NGO) dan rakyat yang prihatin.

Sudah tiba masanya proses dan sistem pilihanraya berkenaan pengundi tidak hadir dikaji semula dengan jujur dan dilakukan pindaan-pindaan perlu.

Ini untuk mengelakkan anggota tentera, polis dan semua pengundi tidak hadir daripada berada di dalam keadaan serba salah dan tidak ada kebebasan untuk membuat pilihan.

Keengganan untuk membuat pindaan-pindaan tersebut akan menyebabkan semua pihak terus mempunyai persepsi bahawa pihak pemerintah UMNO-Barisan Nasional mempunyai agenda tersembunyi.

Malah selama ini rakyat menganggap pengundi tidak hadir ini adalah faktor penentu yang memberikan kemenangan kepada BN di dalam pilihanraya secara tidak adil.

“Sebab itu saya yakin kalau kita pulangkan kepada rakyat, biarlah rakyat membuat keputusan kerana apabila berlakunya undi pos ini, BN akan menyatakan dengan penuh yakin bahawa ini merupakan bekas kubu kuat mereka.

“Kubu kuat kerana mereka mempunyai kelebihan dari segi pengundi pos dan bukan meraih kekuatan dari sokongan rakyat biasa,” katanya.

Persepsi wujud penipuan di dalam proses pilihanraya ini akan menjejaskan wibawa kerajaan, merosakkan amalan demokrasi sehingga boleh menyebabkan demokrasi di Malaysia menjadi demokrasi tempang dan malah menghilangkan keyakinan rakyat terhadap demokrasi dan negara ini sendiri.

Jika keadaan ini dibiarkan berterusan ia adalah satu pengkhianatan terhadap negara, pengkhianatan terhadap usaha gigih dan pengorbanan pengasas negara ini dan para pejuang kemerdekaan, pengkhianatan terhadap anggota keselamatan yang menggadaikan nyawa untuk keselamatan negara dan pengkhianatan kepada rakyat sendiri.

TVA

No comments: