Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, September 24, 2009

Apakah Pakatan Rakyat Bersedia Bentuk Kerajaan? - Zaid Ibrahim - TVA



Akhbar The Star telah memberi tumpuan dan perhatian rapi terhadap cadangan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang akan dibentangkan di Konvensyen Pakatan Rakyat pada hujung tahun ini. Penulis rencana itu Joceline Tan menulis panjang lebar dalam kolumnya dua hari sebelum hari raya. Ini diikuti pula oleh penulis bebas Baradan Kuppusamy tiga hari kemudian.

Mereka nampaknya mahu tahu sejauh manakah realistiknya harapan bahawa PAS, DAP dan KeADILan dapat mencari muafakat dalam hal-hal sensitif dan berbeza. Rakyat jelata pun ingin tahu sejauh mana Pakatan Rakyat sanggup melaksanakan janji-janji dalam manifesto mereka.

Memang usaha mencari kata sepakat ini sukar dan amat mencabar sekali. Saya sedar tentang perkara ini tetapi kita ada tanggung jawab kepada rakyat bahawa Pakatan ini bukan hanya sekadar pakatan membantu satu sama lain sewaktu pilihan raya sahaja.

Ianya juga bukan sekadar pakatan untuk mengambil alih kuasa dari Barisan Nasional tanpa mampu melaksanakan bersama dasar-dasar yang kita janjikan dalam manifesto. Memang usaha ini sukar tetapi ini mesti kita cuba laksanakan, dan cuba mencari muafakat terlebih dahulu.

Sebagai contoh, bila Dewan Undangan Negeri Selangor mengadakan Select Committee on Competency, Accountability & Transparency (SELCAT) untuk memastikan ketelusan dan integriti dalam pentadbiran negeri, sepatutnya PAS menyokong usaha ini.

Kalau PAS menyokong, mengapa pemimpin PAS Selangor Hassan Ali dibiarkan mencabar badan ini yang dipengurusikan oleh Speaker Dewan? Apa guna PAS berjanji dalam manifestonya untuk menjadi sebuah kerajaan yang telus, yang mahu memansuhkan Akta Rahsia Rasmi (OSA), yang mahu menggubal undang-undang baru Hak Mendapatkan maklumat (Freedom of Information Act), jika usaha murni awal SELCAT di Selangor telah pun disanggah dan dicabar oleh PAS.

Berhubung cadangan menggubal Akta Hak Mendapatkan Maklumat yang sememangnya terkandung dalam manifesto parti-parti Pakatan Rakyat pada tahun 2008, pihak yang sudah pun menguasai kerajaan negeri sepatutnya mengorak langkah ke arah pelaksanaan usaha ini. Maksud saya, KeADILan yang menerajui Selangor, PAS yang memimpin Kelantan dan Kedah serta DAP di Pulau Pinang, sepatutnya dapat melakukan sesuatu ke arah menjayakan hasrat ini. Tak payah tunggu nak sampai ke Putrajaya.

Untuk menjayakan undang-undang ini, mungkin masih perlu hal-hal tertentu terus diklasifikasikan sebagai “sulit” tetapi inilah masanya kita buka rahsia-rahsia kerajaan selama ini supaya rakyat dapat maklumat yang akan membawa kepada pentadbiran yang lebih telus dan kurang rasuah.

Kita harus terima hakikat bahawa kerajaan yang terbuka akan memberi peluang yang lebih adil kepada rakyat. Khalid Ibrahim di Selangor dan Husam Musa di Kelantan telah pun membuat kenyataan terbuka tentang kesedian mereka melaksanakan dasar ini, tetapi sampai sekarang belum tercapai hasrat itu.

Itulah beza antara janji dan pelaksanaan. Janji mudah dilafazkan tetapi melaksanakannya memerlukan pendirian dan iltizam politik yang kuat. Inilah cabaran sebenar parti-parti dalam Pakatan.

PAS misalnya telah sanggup menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara. Tetapi bagaimana pendiriannya dengan kebebasan beragama? PAS berjanji mahu memghapuskan akta-akta zalim seperti ISA dan OSA, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan sebagainya. PAS juga berjanji akan menghormati hak asasi maanusia.

Tetapi Pemuda PAS Terengganu masih lagi mahu “menangkap dan memberi nasihat” kapada anak-anak muda yang disyaki berkhalwat dengan menggunakan sukarelawan polis agama atau “moral police” sendiri.

Nampaknya mereka rasa tangkapan yang dibuat oleh pegawai bertauliah yang diberi kuasa oleh majlis agama negeri sekarang ini masih tak cukup. Pemuda PAS juga mahu mengharamkan konsert itu dan ini. Seolah-olah bagi Pemuda PAS, usaha menentang rasuah, kezaliman, penyalahgunaan kuasa dan menabur api perkauman itu kurang penting berbanding usaha memastikan anak-anak muda yang baru belajar bercinta dan ingin bebas menonton hiburan disekat daripada menikmati sedikit kebebasan itu.


Rakyat ingin tahu di manakah garis panduan kebebasan yang dijanjikan dalam negara demokrasi pimpinan Pakatan Rakyat dengan dasar PAS mengenai hal-hal Islam dan bukan Islam, termasuk kebebasan individu yang sudah tentunya terhad mengikut tafsiran yang rigid. Rakyat juga ingin tahu tentang jaminan kebebasan Islam – yang dijanjikan dan yang diamalkan.

Ini kerana kebebasan dan kreativiti Islam di zaman keagungannya dahulu terkenal di seluruh dunia, tetapi yang menghairankan ialah mengapa zaman ini kebebasan Islam semakin sempit dan tertekan ?. Parti-parti dalam Pakatan harus sedia menjawab persoalan ini sebelum bermulanya Konvensyen Pakatan pada Disember depan.

TVA

No comments: