Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, September 23, 2009

Kajian pindaan ISA dibentang di Parlimen bulan depan - mStar

ALOR GAJAH: Hasil kajian semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dijangka dibentang pada persidangan Dewan Rakyat bulan depan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Beliau berkata pada masa ini kajian masih diteruskan termasuk mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak.

"Ikut perancangan, kita akan cuba bentang di Parlimen dalam sesi Bajet 2010 Oktober ini untuk pembentangan pertama," katanya kepada pemberita ketika mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di Masjid Tanah dekat sini, hari ini.

Awal Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan sedang mendapatkan maklum balas mengenai ISA dan membuat kajian semula berhubung akta itu.

Mengenai pihak pembangkang yang mendakwa pembebasan lima tahanan ISA yang kesemuanya anggota Jemaah Islamiah Malaysia pada 15 Sept lepas sebagai "permainan politik" Barisan Nasional untuk meraih sokongan pada pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan 11 Okt ini, Abu Seman berkata "apabila kita buat sesuatu yang baik, pembangkang akan kata tidak baik kerana itu memang kerja pembangkang".

Abu Seman yang juga Anggota Parlimen Masjid Tanah berkata kerajaan membebaskan kelima-lima tahanan ISA itu selepas mendapati mereka telah pulih dan tidak lagi mengancam keselamatan negara.

"Kita bebaskan mereka ikut undang-undang tetapi pada pihak pembangkang semua yang kerajaan lakukan semuanya tidak betul," katanya.

Beliau berkata pembangkang akan mempolitikkan apa saja yang dilakukan kerajaan semata-mata untuk kepentingan politik mereka. BERNAMA

mStar

No comments: