Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, September 17, 2009

Ole-ole raya PKR untuk saudara Rosmah - Malaysiakini

Seminggu menjelang sambutan Aidilfitri, ahli keluarga terdekat isteri perdana menteri Rosmah Mansor - seperti pernah dilihat dalam siri klip video di Internet - mendapat hadiah dan duit raya daripada Angkatan Muda PKR.

Ketuanya Shamsul Iskandar Md Akin berkata, hampir 10 pemimpin sayap kanan PKR itu mengunjungi ibu saudara dan sepupu isteri Datuk Seri Najib Razak di Kampung Mertang, Kuala Pilah kelmarin.

"Kunjungan ini untuk mencari kebenaran. Kalau sebelum ini, kita lihat kehidupan mereka dalam Youtube sahaja.

"Keadaan mereka amat daif. Kita berikan bantuan sekadar termampu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Dalam beberapa klip video tersebut, anggota keluarga dekat Rosmah itu melahirkan rasa tidak senang dengan sikap wanita pertama negara yang tidak lagi mengunjungi mereka dan kampung asalnya itu.

Rosmah bagaimanapun tidak pernah memberikan reaksinya berhubung kandungan video tersebut, atau mengesahkan mereka anggota keluarganya, yang kelihatan memaparkan imej negatif kepadanya.

Shamsul (kiri) berkata, rombongan mereka dari Kuala Lumpur tiba di kampung tersebut kira-kira jam 1.15 tengah hari dan menghabiskan masa kira-kira dua jam di sana.

Mengulas reaksi ahli keluarga Rosmah terhadap kunjunganya, beliau berkata: "Ada yang menangis sebab Rosmah tidak ingat lagi pada mereka."

Diminta menggambarkan kedaifan ahli keluarga perempuan pertama itu, Shamsul berkata, mereka bekerja kampung yang berpendapatan tidak sampai RM500 sebulan dan "mempunyai rumah kayu yang agak reput."

Beliau juga bercadang mengheret isu tersebut dalam kempen pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang yang akan bermula pada 3 Oktober ini.

"Sudah pasti, kerana dia (Rosmah) mungkin turut berkempen," jawabnya ketika ditanya kemungkinan perkara itu dibangkitkan lagi.

"Ia untuk menggambarkan sikap sebenar Rosmah yang kononnya prihatin dengan dengan nasib masyarakat. Sedangkan keluarganya sendiri dibiarkan daif dan miskin.

"Kalau kerajaan berkata, (dalam konsep) Satu Malaysia, rakyat didahulukan, keadaan ahli keluarganya (Rosmah) menunjukkan sebaliknya."

Kampung tersebut terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Kuala Pilah, kata Shamsul.

Malaysiakini

No comments: