Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, January 6, 2010

Abang Beng Hock Fail Usul Pegawai SPRM Dikenakan Tindakan Hina Mahkamah - mStar

SHAH ALAM: Abang kepada mendiang Teoh Beng Hock, Teoh Meng Kee hari ini memfailkan usul supaya seorang pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Raub Ghani dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Notis usul itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Karpal Singh & Company di pejabat Pendaftar Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Peguam Karpal Singh ketika ditemui pemberita selepas memfailkan notis usul itu berkata usul itu difailkan kerana mendakwa Raub telah menghina mahkamah melalui laporan polis yang dibuatnya terhadap ahli patologi dari Thailand Dr Pornthip Rojanasunand, seorang daripada saksi dalam inkues kematian Beng Hock.

"Kami memohon perintah bagi (Raub) dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana dalam laporan polis itu, beliau mengesyaki Dr Pornthip telah membongkar maklumat mengenai bedah siasat kedua (ke atas Beng Hock). Pada pendapat kami, itu merupakan perbuatan cuba menakut-nakutkan saksi kami.

"Kami meminta Mahkamah Koroner menggunakan bidang kuasanya untuk menghukum Raub Ghani bagi menghina mahkamah atau alternatifnya memberikan surat tunjuk sebab kenapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah," katanya.

Beliau berkata permohonan itu dibuat mengikut Perkara 26, Jadual Ketiga Akta Mahkamah-mahkamah Rendah 1948.

Karpal berkata Dr Pornthip perlu dibenarkan memberikan keterangan tanpa sebarang ancaman daripada manamana pihak.

"Kami panggil beliau (Dr Pornthip) datang ke sini dan tidak akan tunduk kepada sebarang ancaman, kami akan berikan perlindungan sepenuhnya kepadanya bagi memastikan beliau dapat memberikan keterangan di mahkamah dan biar mahkamah buat keputusan," katanya.

Dalam afidavit yang disertakan dalam notis usul itu, Meng Kee, 34 berkata pada 1 Jan lepas, Raub dari Jabatan Penyiasatan SPRM Putrajaya telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam terhadap Dr Pornthip.

Katanya, Raub di dalam laporannya berkata beliau mengesyaki Dr Pornthip telah membongkar maklumat mengenai bedah siasat kedua Beng Hock yang dijalankan pada 22 November tahun lepas kepada pihakpihak yang tidak sah.

Meng Kee turut memohon supaya mahkamah mengarahkan Peguam Negara untuk membuat laporan polis terhadap Raub untuk didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Melarikan Orang dan Mengugut Saksi Secara Jenayah 1947, di mana jika sabit kesalahan pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lepas di tingkat lima, Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di bangunan sama.

Inkues kematian Beng Hock dijadual bersambung Khamis ini. BERNAMA

mStar

No comments: