Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, May 5, 2010

Perdana Menteri Umno-BN Khianat Kepada Malaysia? - SK

SHAH ALAM 4 Mei - Presiden Parti Progresif Sabah, Datuk Yong Teck Lee berkata penyerahan kawasan seluas 3 juta ekar yang mengandungi Blok L dan M oleh Kerajaan Pusat kepada Brunei pada Mac 2009 adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana menurut beliau tindakan menyerahkan sebahagian daripada wilayah sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia memerlukan kelulusan Dewan Undangan Negeri dan Majlis Raja-Raja.

"Ini terkandung dalam Artikel 2 Perlembagaan Malaysia.

"Satu-satunya ketika kelulusan diperolehi di bawah Artikel 2 adalah pada 8 Mac 1984 apabila Enakmen Wilayah Persekutuan Labuan 1984 diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri.

"Itu merupakan satu langkah besar yang diambil oleh kerajaan negeri ketika itu yang menyebabkan kejatuhannya tahun berikutnya.

"Wilayah Malaysia merangkumi semua wilayah negeri di dalam Malaysia. Hanya apabila Sabah (ketika itu Borneo Utara) bersama Sarawak, Singapura dan Malaya membentuk Malaysia pada 1963, barulah peta wilayah Malaysia diperbesarkan untuk memasukkan negeri-negeri Borneo dan wilayah yang diwarisinya," jelas Yong dalam kenyataan beliau semalam.

Beliau berkata ini termasuk wilayah Kepulauan Sipadan dan Ligitan dan lautan yang kini dikenali sebagai Blok L dan M di dalam pelan luar pesisir pantai Petronas.

Di dalam kes yang melibatkan pertikaian wilayah dengan Indonesia berkaitan hak milik Kepulauan Sipadan dan Ligitan pada tahun 1990-an, kes tersebut telah dirujuk kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang keputusannya memihak kepada Malaysia.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan hak Malaysia ke atas Blok L dan M adalah berdasarkan kepada warisan sejarah dan penyerahan kedua blok tersebut menyebabkan Malaysia kerugian RM320 bilion dalam hasil minyak di dalam kawasan tersebut yang sebesar negeri Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Selangor yang digabungkan.

Yong berkata rakyat Sabah mendesak jawapan kepada persoalan berikut:

1. Adakah Ketua Menteri Sabah serta Kabinet Negeri mengetahui mengenai penyerahan wilayah maritimnya oleh mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi?

2. Apakah tindakan kerajaan negeri bagi menampung kehilangan wilayah dan royalti minyak daripadanya? Berdasarkan kepada royalti kini sebanyak 5%, jumlah royalti terbabit adalah RM16 bilion.

3. Adakah Menteri Pusat dari Sabah tahu mengenainya? Apakah pendirian mereka?

4. Adakah satu pengkhianatan dilakukan oleh bekas Perdana Menteri serta anggota Kabinet kerana menyerahkan wilayah negara tanpa kelulusan daripada Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan Majlis Raja-Raja?

5. Mengapa penyerahan wilayah tersebut dibuat tergesa-gesa sejurus sebelum pertukaran Perdana Menteri pada Mac 2009?

6. Adakah sempadan Blok L dan M jelas ditanda sebagai garisan yang menyambungkan koordinat geografi di dalam peta yang telah disahkan di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah?

Tambah Yong yang juga mantan Ketua Menteri Sabah, SAPP mendesak kerajaan negeri Barisan Nasional mengambil langkah berikut:

1. Mendedahkan kepada rakyat syarat dan terma penyerahan Blok L dan M,

2. Menerbitkan peta Sabah yang mengandung wilayah maritimnya,

3. Menuntut ganti rugi daripada Kerajaan Pusat di atas kehilangan wilayah maritim Sabah, hak perkapalan, perikanan dan sumber lain daripada kawasan tersebut,

4. Menuntut ganti rugi daripada Kerajaan Pusat di atas kehilangan 5% royalti minyak sebanyak RM16 bilion (daripada RM320 bilion hasil minyak),

5. Memastikan sebarang perjanjian antarabangsa di masa depan yang ada kaitan dengan Sabah memerlukan kebenaran jelas dan rasmi dari kerajaan negeri. Kita tidak boleh benarkan Kerajaan Pusat menjual wilayah Sabah kepada negara asing.

"Sekiranya kerajaan negeri Sabah tidak mampu atau enggan bertanggungjawab terhadap perkara ini ia harus dengan segera membubarkan Dewan Undangan Negeri dan membenarkan pemilihan kerajaan negeri yang baru yang akan menjada dan melindungi hak dan kepentingan Sabah," kata Yong.

SK

No comments: