Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, May 31, 2010

'PKR utamakan elit berbanding buruh' - Malaysiakini

PKR nampaknya mula mengorak langkah "peremajaan" parti itu dengan menggalakkan pemimpin muda untuk mencabar kedudukan pemimpin lama.

Seiring dengan itu, parti itu kini berusaha untuk menambah keanggotaannya sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Namun, ia masih perlu menjaga barisan keanggotaan sedia ada yang disifatkan sebagai penyokong paling setia parti itu.

Setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution berkata beliau terkesan apabila mengetahui mengenai pengorbanan yang dilakukan penyokongnya untuk hadir ke tempat persidangan tahunannya di Kota Bharu kali ini.

Katanya, ada di kalangan mereka itu yang sanggup menjual kotak terpakai, malah memandu 'prebet sapu' untuk hadir ke Kelantan Trade Centre.

"Keikhlasan ada. Mereka tak minta pasir, jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan. Apa mendorong mereka datang?" soalnya ketika menyampaikan ucapan penggulungannya.

Malah, katanya, berbanding parti yang lebih berkemampuan seperti Umno, para perwakilan yang hadir dikenakan bayaran sebanyak RM20, manakala ahli yang masuk sebagai pemerhati pula ditetapkan bayaran RM10.

Soalan itu sedikit sebanyak meredakan tuntutan yang ditimbulkan para perwakilan, berhubung penjawatan dalam syarikat kerajaan negeri dan juga kerajaan tempatan.

MB umum jawatan baru

Secara khusus, para perwakilan menghamburkan persoalan itu kepada menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, memandangkan negeri tersebut didominasi PKR dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Kerisauan para perwakilan juga tercetus akibat kecenderungan pentadbiran tersebut untuk memilih pemimpin yang berkelayakan tinggi.

Sidang kali keenam ini menyerlahkan lagi keresahan mereka apabila PKR dilihat lebih mengutamakan golongan 'elit' berbanding anggota akar umbinya yang rata-ratanya kaum buruh.

Ini mendorong Khalid Ibrahim untuk mempersetujui saranan-saranan yang ditimbulkan itu.

Dalam ucapannya, beliau mengumumkan penubuhan jawatan baru di negeri itu -- pegawai pembangunan DUN, yang sebelum ini dikenali sebagai exco angkat.

Selain itu, keutuhan parti itu juga bakal teruji lagi dengan pindaan perlembagaan barunya bulan depan yang membolehkan keseluruhan ahli layak untuk mengundi memilih presidennya. Tarikh akhir bagi pendaftaran ahli baru ditetapkan pada 4 Jun ini.

Sebagai timbal balas, PKR juga mahu memperkukuhkan lagi strukturnya dengan mempergiat program tarbiah bagi mengelakkan kejadian lompat parti daripada terus berlaku.

Untuk itu, presidennya Datuk Seri Wan Azizah Ismail dicadangkan sebagai 'profesor sepenuh masa' di 'Universiti Politik Keadilan' oleh ketua biro latihannya Mustafa Kamil Ayub.

'Seorang lagi kaki judi kuda'

Seperti yang didedahkan timbalan presidennya Senator Dr Syed Husin Ali, Mustafa Kamil berkata PKR tidak mahu calon wakil rakyat menyertai PKR demi mendapatkan kepentingan peribadi.

Tanpa menamakan individu dimaksudkan, Syed Husin berkata: "Seorang yang saya kenal, mula-mula dikenalkan di Kelantan oleh ketua umum, waktu dia di Kelantan, masih belum masuk parti.

"Waktu itu dia di Kelantan adalah untuk dapat peluang pekerjaan, dapat kontrak pembalakan yang boleh beri kesenangan kepada dia untuk menanggung anaknya yang belajar di luar negara tapi akhirnya apa berlaku?

"Dia masih boleh hidup senang, tapi tak sesenang (yang) dia harap bila jadi MP dan ketua di Pulau Pinang.

"Bila digugurkan, dia marah. Bila (tidak dapat) kontrak, dia maki hamun ketua umum. Dalam kemarahan, mudah didekati mereka yang boleh dihulurkan senang banyak. Maka dia keluar dengan burukkan parti.

"Seorang lagi kaki judi kuda. Waktu malam berkaraoke, hutang banyak. Hutangnya dengan ah long," katanya ketika menyifatkan sikap dua orang wakil rakyat PKR yang melompat parti.

Ucapan Syed Husin itu bagaimanapun tidak 'mendedahkan' bukti yang duar-uarkan oleh ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak hari pertama kongres pada Jumaat -- berhubung dakwaan tawaran RM2 juta dan kontrak kepada wakil rakyat PKR yang lompat parti.

Penyusunan semula organisasi

Anwar bagaimanapun berkata, disiplin parti akan ditingkat melalui proses penyusunan semula keseluruhan majlis pimpinan tertinggi parti itu, kecuali jawatan presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung dalam pemilihan selepas ini.

Dalam ucapan penggulungannya, Anwar berkata langkah itu juga perlu bagi meningkatkan disiplin parti, satu topik yang juga sering ditimbulkan dalam perbahasan para perwakilan.

"Saya sebelum ini susah untuk ambil tindakan -- 'saya setia dalam parti', bila cakap begitu susah," katanya.

Sebagai tanda 'restu' kepada Khalid, Anwar turut menyimpulkan, negeri yang dikuasai Pakatan akan kekal bersih, seperti yang berlaku dalam pentadbiran Selangor.

"Baik di Kelantan, Pulau Pinang, Kedah atau Selangor, saya sedikitpun tidak ragu dengan pimpinan yang pegang amanah untuk tidak khianat.

"Orang kata (Pakatan) kapal karam ke, whatever. Bagi seorang pemerhati yang objektif, apakah kelainan untuk Malaysia?

"Sumbangan terbesar kita ialah, kita telah berjaya membuat transformasi budaya politik," tegasnya.

Malaysiakini

No comments: