Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, May 20, 2010

Ekonomi Selangor Terus Berkembang - SK

SHAH ALAM 20 Mei - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau yakin ekonomi di negeri itu akan terus berkembang selaras dengan perkembangan positif ekonomi Malaysia pada suku pertama 2010.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan memandang ke hadapan untuk terus mencapai perkembangan ekonomi yang lebih baik.

"Ada projek kerajaan negeri yang bergerak laju dan berada di landasan yang betul seperti Projek Pemuliharaan Sungai Klang,” katanya ketika menyampaikan ucapan semasa mempengerusikan Majlis Dialog bersama Majlis Perniagaan Selangor 17 Mei lalu yang bertujuan mendapatkan maklum balas mengenai sistem penyampaian kerajaan negeri.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan terus menganjurkan dialog dengan sektor swasta untuk berkongsi pandangan dan mengetahui bagaimana kerajaan negeri boleh membantu untuk menyokong aktiviti perniagaan.

“Bantuan dan sokongan tidak bermaksud kerajaan negeri memberi wang atau tanah percuma. Kita mahu membantu merancakkan lagi aktiviti perniagaan dengan menaik taraf, membaik pulih kemudahan asas selain menambah kecekapan peraturan atau birokrasi,” katanya.

Dalam pada itu, selain memuji langkah kerajaan Selangor untuk menjadi mesra perniaga dengan menganjurkan majlis dialog itu, Ahli Majlis Perniagaan juga menggesa kerajaan negeri memberi tumpuan kepada tiga masalah yang dihadapi komuniti perniaga iaitu keselamatan, kemudahan pengangkutan dan tenaga kerja.

Ahli Majlis menyarankan supaya kerajaan negeri mengambil inisiatif tertentu bagi meningkatkan tahap keselamatan supaya Selangor terus berdaya saing untuk menjadi destinasi utama pelabur.

Ahli Majlis juga memaklumkan bahawa masalah mendapatkan bekalan tenaga kerja menjadi penghalang kepada pelabur untuk melabur di Selangor.

Justeru, Menteri Besar memberi jaminan kepada Ahli Majlis bahawa kerajaan negeri akan mengadakan perjumpaan dengan kerajaan pusat untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri Selangor sedang menimbang memperkenalkan sistem ‘Park and Ride’ untuk mengurangkan kesesakan, kekurangan tempat letak kenderaan dan masalah pengangkutan awam manakala perbincangan dengan Jabatan Tenaga Rakyat akan diaturkan untuk menyelesaikan kekurangan tenaga kerja.

“Untuk masalah keselamatan, kerajaan negeri menyediakan peruntukan untuk menubuhkan polis bantuan tetapi Polis DiRaja Malaysia ‘keberatan’ menerima idea ini menyebabkan ia tidak dapat diteruskan,” kata Khalid.

Tambah beliau, Selangor masih menjadi lokasi pilihan kepada pelabur asing dan menerima banyak pertanyaan untuk membuat pelaburan.

“Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya telah mengadakan pertemuan dengan delegasi pelabur daripada Indonesia. Kami juga akan mengadakan pertemuan dengan delegasi pelabur daripada Timur Tengah pada minggu depan,” kata Khalid.

Dialog yang dianjurkan Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) itu diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dan dihadiri ahli perniagaan serta wakil syarikat besar yang beroperasi di Selangor termasuk Pengerusi Concorde Hotel & Resort (M) Sdn Bhd, Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir; Naib Presiden Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia, Ir Dr Andy Seo; Pengerusi Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia cawangan Selangor, Tan Sri Prof James Alfred; Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor, Datuk V K K Teagarajan.

Turut serta, Pengerusi Perisai Petroleum Teknologi Bhd, Datuk Dr Mohd Ariffin Aton; Pengerusi Perusahaan Atomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan UMW Holdings Berhad, Tan Sri Asmat Kamaluddin; Pengarah Urusan Royal Selangor International Sdn Bhd, Tan Sri Yong Poh Kon dan Pengarah Urusan Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Abdul Halim Harun.

SK

No comments: