Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, September 17, 2009

Perang Besar Dua Keluarga Diraja - mStar

KUALA LUMPUR: Cucu kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10, Tuanku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar tengah hari Rabu menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Raja Muda Johor, Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar Tunku Ibrahim yang didakwa menculik, menyerang dan menahannya tanpa kerelaan pada awal pagi 25 Oktober tahun lalu.

Menurut Tuanku Nadzimuddin, beliau telah diserang oleh Raja Muda Johor dengan sepucuk pistol di bahagian muka dan kepala sehingga beliau mengalami keretakan pada tulang hidung dan kecederaan serius yang lain.

"Selepas 11 bulan, Raja Muda Johor dan pengawal peribadinya belum lagi didakwa di mahkamah untuk menghadapi tuduhan mencederakan saya dengan sepucuk pistol.

"Mereka juga belum didakwa menculik dan menahan tanpa kerelaan saya," katanya dalam satu sidang akhbar yang turut dihadiri bondanya, Tunku Dara Naquiah Tuanku Ja'afar.

Tunku Dara Naquiah adalah puteri kepada Almarhum Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Kedua-dua Almarhum Tuanku Ja'afar dan Tuanku Abdul Rahman juga pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Tuanku Abdul Rahman adalah Yang di-Pertuan Agong yang pertama dan potret baginda menghiasi kesemua mata wang kertas negara.

Insiden tersebut pernah dilaporkan di portal internet dan hangat diperkata di dalam blog.

Menurut Tuanku Nadzimuddin, ekoran insiden tersebut, beliau telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pada 26 Oktober 2008 dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, beliau kecewa kerana selepas laporan polis dibuat, tiada apa-apa tindakan diambil sehingga ke hari ini.

"Apa yang boleh saya simpulkan ialah tiadanya tindakan diambil untuk mendakwa pihak yang telah mencedera dan menahan saya tanpa kerelaan. Polis pernah memberi jaminan akan melakukan siasatan secara adil tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Saya juga dijamin semua orang adalah tertakluk kepada undang-undang dan penyerangnya akan dihadapkan ke mahkamah untuk menghadapi dakwaan. Bagaimanapun, saya telah dan terkejut tiada apa-apa tindakan diambil sehinggalah ke saat ini," katanya.

Mengulas lanjut, Tuanku Nadzimuddin memberitahu, beliau berada di Kelab Heritage Mansion dengan teman wanitanya (kini telah pun menjadi isterinya) untuk menemui kawan-kawan mereka.

Menurutnya, ketika berada di situ, kawan-kawannya telah diserang oleh beberapa orang yang mendakwa diri mereka adalah pengawal peribadi Raja Muda Johor.

"Dua kawan saya cedera. Pengawal kelab menghentikan serangan tersebut. Kami beredar meninggalkan kelab tersebut. Saya dipanggil oleh seseorang yang tidak dikenali mendakwa Raja Muda Johor ingin berjumpa dengan saya di Hotel Crowne Plaza, Jalan Sultan Ismail untuk meminta maaf.

"Saya bersama dengan teman wanita dan kawan-kawan saya termasuk yang cedera pergi ke situ," ujarnya.

Tuanku Nadzimuddin berkata, mereka tunggu di lobi hotel tersebut sebelum beliau diculik di lif hotel Crowne Plaza Mutiara dan diacukan dengan pistol.

"Apabila berada dalam lif, Raja Muda Johor telah memukul saya di muka dan kepala dengan sepucuk pistol. Raja Muda Johor juga menghalakan pistol itu ke kepala saya. Kawan saya yang berada di lif pula dipukul sehingga pengsan.

"Apabila lif itu berhenti di tingkat 25, kami dipaksa memasuki sebuah bilik. Saya melihat kawan saya itu ditarik masuk ke satu bilik dan dibiarkan pengsan di atas lantai," katanya.

Menurut Tuanku Nadzimuddin, mereka ditawan di dalam bilik tersebut oleh pengawal-pengawal pribadi Raja Muda Johor sehinggalah bondanya, Tunku Dara Naquiah Tuanku Jaafar ditemani ayahanda saudaranya, Tunku Panglima Besar Tunku Nadzaruddin Ibni Tunku Jaa'far menyelamatkan mereka bersama empat pegawai polis.

Ketika 'gerakan menyelamat' itu dilakukan, Tuanku Nadzimuddin berkata, Raja Muda Johor telah pun meninggalkan hotel berkenaan.

mStar

Saksi terdengar Tan Boon Wah memarahi Teoh dalam tandas - mStar

SHAH ALAM: Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock bahawa beliau terdengar Ahli Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah memarahi Teoh dengan suara yang kuat dan tinggi di dalam tandas pejabat SPRM Selangor, beberapa jam sebelum Teoh ditemui mati.

Penolong Penguasa SPRM Putrajaya, Bulkani Paharuddin berkata kejadian itu berlaku kirakira pukul 2.30 pagi ketika beliau mengiringi Tan ke tandas.

"Sewaktu Tan masuk ke dalam tandas, saya berdiri di luar pintu tandas dan tidak lama selepas itu seorang lelaki Cina yang berseluar putih dan berbaju gelap (Teoh) datang dari arah bertentangan saya dan terus memasuki tandas yang sama.

"Ketika saya pusing nak berjalan semula ke arah pantry saya terdengar suara Tan memarahi lelaki berbaju gelap dan berseluar putih dalam bahasa Mandarin dengan menyebut "Ni Lor" iaitu "Awaklah" dalam nada kuat dan tinggi. Bagaimanapun saya tidak mendengar respons atau jawapan daripada seorang lagi lelaki itu (Teoh)," katanya.

Bulkani kemudian menjelaskan beliau memahami bahasa Mandarin kerana pernah mendapat pendidikan di sekolah Cina dari darjah satu sehingga darjah enam.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lepas di tingkat lima Plaza Masalam di sini selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penylahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Kepada soalan peguam Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan Malaysia berapa lama insiden itu berlaku, saksi itu berkata beliau hanya berada di luar tandas kirakira dua minit sebelum berjalan ke pantri untuk menghabiskan makanan yang ditinggalkannya ketika mengiringi Tan ke tandas.

Seterusnya saksi ke22 itu berkata kirakira lima minit selepas insiden itu, beliau melihat Tan berjalan melepasi pantri dan beliau tidak bertanyakan apaapa (mengenai insiden dalam tandas) kepada Ahli Majlis itu.

Ketika ditanya Hock Chuan bagaimana beliau boleh mengetahui bahawa lelaki berseluar putih dan berbaju gelap itu adalah Teoh, Bulkani berkata beliau dapat mengecam Teoh setelah beberapa kali melihat gambar Teoh disiarkan di televisyen ekoran penemuan mayat mangsa di tingkat lima bangunan Plaza Masalam.

"Selepas beberapa hari televisyen tunjuk gambar Teoh, kemudian baru saya teringat dialah lelaki yang saya terjumpa di tandas yang memakai seluar putih dan berbaju hitam," katanya sambil menambah selepas insiden di tandas itu beliau tidak lagi berjumpa Teoh sehinggalah mangsa ditemui mati pada hari yang sama.

Terdahulu, Bulkani berkata beliau dan dua lagi pegawai SPRM ditugaskan untuk mengiringi Tan dari rumahnya di Balakong ke pejabat SPRM Selangor bagi tujuan membantu satu siasatan. BERNAMA

mStar

RM500 Bonus Aidilfitri Untuk Kakitangan Kerajaan Negeri - TVS

Sejumlah RM4.5j uta diperuntukkan Kerajaan Negeri sebagai habuan hari raya kepada 9,000 kakitangan kerajaan sempena Aidilfitri 2009.

Ini meliputi 7,588 kakitangan tetap,952 orang kakitangan kontrak dan selebihnya kakitangan sambilan yang akan menerima bonus daripada kerajaan negeri pada tahun ini.

Hal ini diumumkan Menteri Besar,Tan Sri Khalid Ibrahim dalam sidang media di bangunan SUK selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco petang tadi.


“Kerajaan Negeri melalui Ahli Exco telah bersetuju untuk memberikan bantuan khas kewangan tahun 2009 kepada semua anggota perkhidmatan awam dalam kumpulan sokongan di negeri Selangor”,kata Menteri Besar.

Khalid berkata,bantuan ini akan dibayar secara sekaligus sebelum Aidilfitri,dan bukan seperti yang diumumkan kerajaan persekutuan.

Tambah beliau,“Ini berbeza daripada apa yang diumumkan kerajaan persekutuan,yang mana dia dibayar dua peringkat. RM250 sebelum hari raya dan kemudiannya dibayar selepas,masa yang akan datang. Kita akan bayar kesemuanya sebelum hari raya".

Sejumlah RM500 akan diberikan kepada setiap seorang bagi meringankan beban mereka menyambut perayaan Hari Raya Adilfitri yang dijangkakan jatuh pada hari Ahad ini.

TVS

40,000 dos vaksin H1N1 tiba Okt - Malaysiakini

Sebanyak 40,000 daripada 400,000 dos vaksin influenza A(H1N1) yang ditempah Kementerian Kesihatan dijangka tiba di negara
ini akhir bulan depan, kata menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata vaksin tersebut akan diedarkan secara sama rata, namun disebabkan dos yang terhad kementerian akan mendahulukan golongan barisan hadapan seperti doktor dan jururawat selain golongan berisiko tinggi seperti ibu mengandung serta kanak-kanak.

Baki 360,000 dos vaksin pula akan tiba awal Januari tahun depan, katanya.

Liow berkata kesemua vaksin itu yang bernilai RM14 juta diperoleh daripada syarikat farmaseutikal, GlaxoSmithKline (GSK) yang berpusat di United Kingdom.

Bagaimanapun, katanya kementerian yang sedang dalam proses tempahan vaksin peringkat kedua sedang meneliti beberapa inisiatif dan pengeluar lain bagi mendapatkan harga dan kualiti terbaik.

"Kami perlu membuat tempahan awal dan kami sedang mencari kualiti yang terbaik. Kami berusaha untuk mendapatkan sebanyak mungkin sumber termasuk dari China dan Taiwan supaya jika berlaku kecemasan, kami dapat memperoleh lebih banyak vaksin," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Komuniti Orang Asli Sungai Gapoi di Bentong.

Liow juga berkata walaupun vaksin itu tidak melalui ujian klinikal yang ketat seperti yang lazimnya diamalkan di negara ini, namun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi 'lampu hijau' kepada vaksin berkenaan.

"Kami serahkan kepada individu untuk membuat keputusan sama ada untuk mengambil vaksin itu atau sebaliknya. Bagi kementerian, kami menganggapkannya selamat," katanya.

Dalam pada itu, Liow berkata kerajaan telah mengarahkan pembinaan fasiliti penghasilan vaksin dalam masa terdekat.

"Kami sedang dalam proses membina sebuah fasiliti penghasilan vaksin. Ninebio Sdn Bhd telah diarahkan supaya menubuhkan fasiliti berkenaan," katanya.

Selain itu, selaras dengan amaran WHO mengenai kemungkinan gelombang kedua H1N1, Liow berkata kabinet telah meluluskan RM158 juta untuk menambah katil dan kelengkapan di unit rawatan rapi (ICU) bagi menghadapi kemungkinan itu.

Katanya, kementerian sedang membuat perancangan teliti dalam menghadapi kemungkinan amaran yang dikeluarkan WHO itu terutamanya menjelang musim tengkujuh akhir tahun ini. BERNAMA

Malaysiakini

Ole-ole raya PKR untuk saudara Rosmah - Malaysiakini

Seminggu menjelang sambutan Aidilfitri, ahli keluarga terdekat isteri perdana menteri Rosmah Mansor - seperti pernah dilihat dalam siri klip video di Internet - mendapat hadiah dan duit raya daripada Angkatan Muda PKR.

Ketuanya Shamsul Iskandar Md Akin berkata, hampir 10 pemimpin sayap kanan PKR itu mengunjungi ibu saudara dan sepupu isteri Datuk Seri Najib Razak di Kampung Mertang, Kuala Pilah kelmarin.

"Kunjungan ini untuk mencari kebenaran. Kalau sebelum ini, kita lihat kehidupan mereka dalam Youtube sahaja.

"Keadaan mereka amat daif. Kita berikan bantuan sekadar termampu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Dalam beberapa klip video tersebut, anggota keluarga dekat Rosmah itu melahirkan rasa tidak senang dengan sikap wanita pertama negara yang tidak lagi mengunjungi mereka dan kampung asalnya itu.

Rosmah bagaimanapun tidak pernah memberikan reaksinya berhubung kandungan video tersebut, atau mengesahkan mereka anggota keluarganya, yang kelihatan memaparkan imej negatif kepadanya.

Shamsul (kiri) berkata, rombongan mereka dari Kuala Lumpur tiba di kampung tersebut kira-kira jam 1.15 tengah hari dan menghabiskan masa kira-kira dua jam di sana.

Mengulas reaksi ahli keluarga Rosmah terhadap kunjunganya, beliau berkata: "Ada yang menangis sebab Rosmah tidak ingat lagi pada mereka."

Diminta menggambarkan kedaifan ahli keluarga perempuan pertama itu, Shamsul berkata, mereka bekerja kampung yang berpendapatan tidak sampai RM500 sebulan dan "mempunyai rumah kayu yang agak reput."

Beliau juga bercadang mengheret isu tersebut dalam kempen pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang yang akan bermula pada 3 Oktober ini.

"Sudah pasti, kerana dia (Rosmah) mungkin turut berkempen," jawabnya ketika ditanya kemungkinan perkara itu dibangkitkan lagi.

"Ia untuk menggambarkan sikap sebenar Rosmah yang kononnya prihatin dengan dengan nasib masyarakat. Sedangkan keluarganya sendiri dibiarkan daif dan miskin.

"Kalau kerajaan berkata, (dalam konsep) Satu Malaysia, rakyat didahulukan, keadaan ahli keluarganya (Rosmah) menunjukkan sebaliknya."

Kampung tersebut terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Kuala Pilah, kata Shamsul.

Malaysiakini

Mengisi Minggu Terakhir Ramadhan - Anwar Ibrahim

Selesai iftar bersama Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar dengan YM Tuan Guru Sheikh Mahmud di Madrasah Nurul Iman, Hulu Langat, saya meluru ka Masjid Bagan Pinang di Teluk Kemang untuk solat Isya’ dan tarawikh.

Sementara menunggu bermula ceramah, saya, YB Dato’ Kamarul Bahrin, Ahli Parlimen Teluk Kemang dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan saudara Zulkifli Muhd minum teh di warung berdekatan.

Sambutan di perkarangan rumah bekas Ketua Cawangan UMNO, saudara Zainal hangat dan memberangsangkan. Satu kubu tradisi UMNO mampu dipecahkan.

Satelah berehat sabentar, kami kini menuju Masjid As-Sharif di Pekan Meru, Kapar untuk qiyamullail.

ANWAR IBRAHIM

Kes liwat: Anwar gagal lucutkan kelayakan pendakwaan - mStar

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam permohonannya untuk melucutkan kelayakan keseluruhan pasukan pendakwaan berhubung perbicaraan kes liwatnya.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan perkara tersebut kerana Anwar gagal untuk mematuhi syarat-syarat permohonan semakan semula kehakiman.

Hakim berkata, permohonan bagi semakan kehakiman di bawah Peraturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 adalah bagi mencabar satu keputusan, perbuatan atau peninggalan pihak berkuasa.

"Saya memutuskan berdasarkan kes undang-undang, ia mesti ada perbuatan tertentu atau kesalahan tertentu ataupun penyalahgunaan kuasa tertentu.

"Ini adalah perkara dasar bagi sesuatu permohonan semakan kehakiman," katanya.

Anwar memfailkan permohonan untuk melucutkan kelayakan keseluruhan pasukan pendakwaan dalam kes liwatnya pada 11 Ogos lalu, dengan menyebut alasannya sebagai "sama seperti mempersenda keadilan".

Beliau menamakan Peguam Cara 1 Datuk Idrus Harun, Peguam Cara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, para Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Shamsul Sulaiman dan Noorin Badaruddin, Pendakwa Raya dan Kerajaan sebagai responden.

Anwar menyatakan tindakan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, dalam menandatangani sijil Seksyen 418A, jelas menunjukkan hakikat yang beliau adalah orang yang bertanggungjawab bagi keadaan "main tarik tali dan manipulasi oleh pihak pendakwaan mengikut kehendaknya."

Antara lain, beliau memohon diisytiharkan pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwatnya tidak layak untuk mewakili Pendakwa Raya dan/atau menjalankan prosiding atau rayuan terhadapnya.

Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun tahun lepas.

Hakim Azilatul juga berkata, Anwar tidak dicabar mana-mana penyalahgunaan kuasa oleh tujuh orang responden berkenaan yang memerlukan mahkamah menghalang mereka.

Semasa menghuraikan hujahan kehakimannya, Azilatul berkata dalam permohonannya, Anwar mahu menghalang pihak pendakwaan mengendalikan kes berkenaan dengan alasan wujudnya amalan berat sebelah, konflik kepentingan dan salah laku pendakwaan.

mStar

Wednesday, September 16, 2009

PKR hulur hadiah pada keluarga Rosmah - Malaysiakini

Seminggu menjelang sambutan Aidilfitri, ahli keluarga terdekat isteri perdana menteri Rosmah Mansur - seperti pernah dilihat dalam siri klip video di Internet - mendapat hadiah dan duit raya daripada Angkatan Muda PKR.

Ketuanya Shamsul Iskandar Md Akin berkata, hampir 10 pemimpin sayap kanan PKR itu mengunjungi ibu saudara dan sepupu isteri Datuk Seri Najib Razak di Kampung Mertang, Kuala Pilah kelmarin.

"Kunjungan ini untuk mencari kebenaran. Kalau sebelum ini, kita lihat kehidupan mereka dalam Youtube sahaja.

"Keadaan mereka amat daif. Kita berikan bantuan sekadar termampu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Dalam beberapa klip video tersebut, anggota keluarga dekat Rosmah itu melahirkan rasa tidak senang dengan sikap wanita pertama negara yang tidak lagi mengunjungi mereka dan kampung asalnya itu.

Rosmah bagaimanapun tidak pernah memberikan reaksinya berhubung kandungan video tersebut, atau mengesahkan mereka anggota keluarganya, yang kelihatan memaparkan imej negatif kepadanya.

Malaysiakini

80% golongan muda tidak sokong BN - Daim - Harakah

KUALA LUMPUR, 16 Sept: 80 peratus dari golongan muda tidak menyokong Barisan Nasional (BN), kata bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Para siswazah menganggur, kebanyakannya Melayu, akhirnya terlibat dengan politik dan mereka menyertai PAS akibat rasa marah kepada kerajaan kerana tidak mempunyai pekerjaan, kata bekas Bendahari Umno itu di dalam temubual dengan China Press Ahad lalu.

Menurut beliau, keadaan sedemikian berlaku kerana kerajaan tidak memupuk bakat yang sepatutnya untuk kehendak pasaran.

Dalam temubual tersebut yang disiarkan oleh The Sun Online Ahad lalu, Daim berkata, universiti-universiti tidak menawarkan kursus-kursus yang menepati dengan kehendak industri mengakibatkan banyak siswazah tidak mempunyai pekerjaan disebabkan apa yang mereka pelajari tidak memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

Beliau berkata, bukan sahaja golongan muda yang menentang kerajaan, malah kira-kira sejuta dari tiga juta ahli Umno juga tidak mengundi parti itu.

Menurut beliau, ramai ahli Umno yang hilang keyakinan kepada parti itu dan para pemimpinnya.

"Politik wang rasuah adalah masalah terbesar yang dihadapi oleh parti itu," katanya.

Di luar Umno pula, Daim percaya, perpecahan di dalam MCA akan menjejaskan kerjasama dan reformasi di dalam BN.

Rakyat, katanya, tidak menghormati mana-mana parti yang berpecah.

Manakala perubahan di dalam BN pula, katanya, terlalu perlahan untuk memenuhi kehendak rakyat.

"Rakyat mahu melihat perubahan, sama ada di dalam BN atau Pakatan Rakyat (PR), siapa yang lebih dahulu berjaya melaksanakan reformasi akan memenangi sokongan mereka," katanya.

Mengenai kemelut Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ), Daim berkata: "Kerajaan mesti menghukum kesemua yang melanggar undang-undang, hanya dengan cara itu ia boleh mengembalikan keyakinan umum".

Pada masa lalu, katanya, rakyat tidak melihat mereka yang menyalahgunakan kuasa dihukum.

Mengulas mengenai PR, beliau menyifatkan pakatan itu mengecewakan rakyat.

Rakyat, katanya, menaruh harapan yang tinggi kepada PR tetapi kerajaan negeri-negeri yang dikuasai PR terus memainkan peranan sebagai pembangkang.

"Jangan buang masa melemparkan tuduhan kepada BN, kamu adalah pakatan yang memerintah (di negeri-negeri yang dikuasai PR), kamu sepatutnya memfokuskan kepada usaha untuk menunaikan janji-janji pilihan raya kamu"

Beliau berkata, rakyat mula melihat bahawa PR tidak boleh melakukan dengan lebih baik berbanding BN, walaupun diberi peluang.

Itulah kekecewaan terbesar rakyat, katanya._

Harakah

Alhamdulillah, Abah dah balik rumah.. - Laila

Panggilan dari Rahim dan rahmah of Malaysiakini amat memeranjatkan saya. Kenapa? Kerana mereka kata Menteri Dalam Negeri kata, Mat Sah antara 5 orang yang akan dibebas dari ISA!!!Beberapa minit lepas itu, telefon saya mendapat panggilan bertalu-talu tanpa henti dari semua bangsa di malaysia. Mesej sms? Beratus-ratus jumlahnya dan ada yang saya beum sempat jawab lagi.

Secara umumnya, dari pembebasan ini, saya ucapkan syukur pada Allah SWT yang akhirnya memberi izin supaya mat sah mendapat kembali kebebasannya setelah 7 tahun 3 bulan dikurung tanpa sebab di Kem Kamunting.Kegembiraan saya adalah berdasarkan 3 perkara berikut:-
1- Mat Sah mendapat kembali kebebasan beliau.
2-Dia dapat bersama keluarganya semula.
3-Dia akan hidup sebagai manusia yang bebas dan merdeka.

Tiada siapa yang akan faham bagaimanakah perasaan keluarga dan dan mangsa ISA dalam situasi begini. 7 tahun yang berlalu tak akan dapat di ganti kembali dengan mudah....namun kami akan cuba menyesuaikan diri dengan suasana baru ,menerima seseorang yang telah 7 tahun dipisahkan dari kami.

"Tidak sempurna iman seseorang sebelum dia diuji..." Doakanlah saya dan Suhaib akan tetap bersabar dengan apa saja ujian yang bakal mendatang.Kami sudah melepasi ujian perpisahan 7 tahun, dan kami bersedia untuk menghadapai cabaran kehidupan dihari yang selanjutnya....

Laila

Muzik: Berdialog dengan Pemuda PAS - Harakah

"MINTA maaf ya, ustaz, saya ada pengakuan," kata saya. "Dalam kolum saya, teruk juga saya tibai ustaz tentang pendirian Pemuda PAS berkenaan konsert Michael Learns to Rock."

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan at Tantawi, senyum selamba saja. "Saya tak ambil hati. Kalau macam tu, Datuk Zaid Ibrahim pun mengkritik kami juga." Rakan-rakan Nasrudin dari Pemuda PAS tersenyum dan mengangguk-angguk.

Dengan itu, dialog anjuran musicForum antara saya dan Nasrudin bermula. Ia melihat penglibatan kira-kira 30 orang muda-mudi Melayu Islam yang lain. Masanya lepas solat terawih, dan tarikhnya 2 Sept 2009. Tempatnya di Studio Poket, Pusat Bandar Puchong Utama. Tajuknya, Di mana muzik dalam politik Islam?.

Dengan ikhlas saya mengaku, saya berdebar-debar juga mahu berhadapan dengan Nasrudin. Akan tetapi, walaupun moderator dialog tersebut, Fathi Aris Omar, memperkenalkan saya sebagai seorang pemuzik dan anggota bersekutu Sisters in Islam (SIS), Nasrudin dan kawan-kawannya tidak terkejut. Malah, tidak seorang pun yang memperlekehkan atau mengutuk SIS seperti yang saya biasa lihat di pelbagai blog dan siaran akhbar.

Saya sebenarnya dijemput oleh pihak penganjur sebagai seorang pemenang Anugerah Industri Muzik, jadi bab keanggotaan SIS saya memang tidak masuk tajuk pun.

Saya diminta membuka tirai dialog tersebut, jadi saya mengupas pendapat imam al-Ghazali. Menurut al-Ghazali, kesenian itu sebenarnya merupakan kurniaan daripada Allah yang Maha Berkuasa. Ia menghidupkan jiwa kita untuk kita lebih menghayati keindahan ciptaan Allah. Ini termasuklah bidang muzik dan tarian. Dan inilah yang mendorong saya untuk berkarya sebagai seorang artis beragama Islam.

Saya juga mengupas dua hadis sahih daripada saidatina Aishah, di mana Rasulullah sendiri telah membenarkan Aishah untuk berhibur dan menonton persembahan tarian dan nyanyian. Malah, apabila saidina Abu Bakar menegur penghibur-penghibur tersebut sebagai "serunai syaitan", Rasulullah sendiri berkata, "Biarkan mereka � bukankah ini hari perayaan?"

Malah, belum terdapat ijma yang benar-benar kukuh tentang hukum muzik dalam Islam. Ada ulama yang berkata hanya nyanyian suara saja yang dibenarkan, ada yang berkata hanya instrumen tidak bertali yang dibenarkan, tetapi ada juga yang berkata kesemuanya dibenarkan bergantung kepada niat dan mesej yang terkandung dalam karya muzik tersebut.

Pendirian PAS

Kemudian, pihak Nasrudin dan pemuda PAS yang lain pula memberikan hujah mereka. PAS tidak anti-kesenian. PAS bukan anti-muzik, malah bukan anti-konsert. PAS hanya menentang bentuk-bentuk hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan, dan yang menggalakkan pergaulan bebas yang boleh membawa kepada pelbagai jenis kemudaratan yang lain.

"Saya faham pendirian PAS sebagai sebuah parti Islam," saya membalas. "Tetapi kenapa PAS tidak terangkan saja kepada masyarakat umum pendirian seperti ini? Bukankah itu dakwah PAS? Kenapa respons pertama daripada PAS selalunya menjurus kepada mengharamkan sesuatu yang PAS tidak suka?"

Panjang lebar juga jawapan yang diberikan oleh pihak pemuda PAS, tetapi akhirnya naib ketua Pemuda PAS, Ahmad Sabki Yusof, tersenyum dan berkata, "Kami pun sentiasa mengalami evolusi dalaman. Kami pun sedang berusaha."

Banyak juga soalan kritikal yang ditujukan kepada PAS oleh mereka yang hadir. Contohnya, insan atau institusi mana yang berkuasa untuk menentukan apa itu "bermoral" dan apa itu "tidak bermoral"? Bukankah pihak berkuasa Islam juga pernah menggunakan alasan "moral" untuk mematahkan sentimen yang mengkritik kerajaan? Apakah PAS tidak mampu bertolak-ansur?

Di sini saya sendiri telah memetik pengalaman Yusuf Islam, yang pernah membuat persembahan dalam konsert HIV/AIDS di Afrika Selatan. Para penghibur lain di konsert tersebut banyak juga mempromosi pendekatan "sekular" untuk menangani HIV/AIDS, tetapi Yusuf Islam tetap berkongsi pentas dengan mereka.

Tetapi sekali lagi saya ingin tekankan keindahan dan keikhlasan dalam dialog antara saya dan Nasrudin. Sepertimana difirmankan Allah dalam Surah An-Nahl, ayat 125: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik." Nasrudin dan saya memang berbahas dengan baik dan manis.

Erti dialog

Tetapi "berdialog" bukannya bererti "tumbang dan setuju seratus-peratus dengan pihak lain". Apabila mengakhiri sumbangan saya terhadap dialog tersebut, saya menekankan lagi sekali bahawa saya tidak bersetuju dengan pendirian PAS. Saya bersetuju dengan hak PAS untuk bersuara dan berdakwah, dan juga menghormati hujah-hujah yang dikemukakan.

Saya berikan analogi ini kepada pihak Pemuda PAS. Sekarang ini pihak Pakatan Rakyat (PR) dan aktivis hak asasi banyak mengecam akta-akta seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Tapi mungkin satu hari kelak, PAS akan mendapat mandat untuk memerintah negara ini dan akan meluluskan undang-undang hudud.

Apakah PAS akan membenarkan bantahan terhadap undang-undang hudud oleh pihak pembangkang, artis, wartawan dan aktivis? Apakah PAS akan akur jika sebilangan besar rakyat tidak mahukan undang-undang hudud?

Menurut Nasrudin, sudah tentu PAS akan mendengar suara rakyat. Katanya lagi, "Kami berpegang kepada prinsip yang didukung oleh khulafa ar-rashidun. Kalau kami betul, sokonglah kami. Kalau kami salah, perbetulkanlah kami."

Bagi saya, jawapan ini masih perlu dilihat dalam konteks sosio-politik tanahair secara keseluruhan. Sejak 8 Mac 2008, kredibiliti BN semakin merosot, dan pada masa yang sama saham PR semakin naik. Malah, rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam pun sudah sanggup mengundi PAS demi menjatuhkan kerajaan BN.

Dan tidak dapat dinafikan, kerajaan BN juga menggunakan pelbagai taktik kotor dan ganas untuk kekal berkuasa � lihatlah saja rampasan kuasa di Perak, penggunaan meriam air dan gas pemedih mata terhadap demonstrasi anti-ISA, dan sebagainya.

Dalam situasi kini, PAS dan rakan-rakan PRnya sudah nyaris-nyaris menawan puncak kuasa. Dan dalam keadaan seperti ini, memang mudah untuk mana-mana pemimpin politik dari kalangan mereka membuat pelbagai janji manis. Akan tetapi, kita juga perlu menumpukan perhatian kepada pendirian lain yang dibawa oleh parti komponen PR.

Dalam kes PAS, kita perlu mengkaji pelbagai kenyataan para pemimpinnya tentang isu hukuman sebat, pelaksanaan undang-undang hudud, isu pertukaran agama kanak-kanak, pihak yang tidak bersetuju dengan tafsiran Islam PAS, dan juga mazhab minoriti seperti golongan Ahmadiyah. Apakah pendirian PAS dalam isu-isu ini konsisten dengan sistem demokrasi dan masyarakat madani yang ideal?

Kesanggupan kita untuk berdialog bukannya bererti kita berhenti bersifat kritikal antara satu sama lain. Selagi kita bersikap kritikal, selagi itulah masyarakat kita akan menikmati satu sistem semak dan imbang yang kukuh dan berprinsip. Dan selagi itulah kita akan dapat mencari jalan penyelesaian yang benar-benar menghormati perasaan dan pendirian semua pihak yang terlibat.

Oleh itu, amatlah penting jika PAS terus menyuarakan pendiriannya tentang pelbagai isu, dan berikhtiar untuk menyebarkan ideologinya di kalangan umum. Sumbangan PAS terhadap perkembangan demokrasi tanahair kita sangatlah besar. Akan tetapi, kita yang lain pun perlu menyuarakan pendirian kita dan menyumbang kepada perbincangan umum tentang pelbagai isu kemasyarakatan.

Kesimpulannya, kita masing-masing mengidamkan keamanan dan kebahagiaan dalam hidup ini. Pada penghujung dialog saya dengan Nasrudin, kami saling berpeluk dan bersalaman. Saya dapat merasakan keikhlasannya dan saya pasti dia juga dapat merasakan keikhlasan saya. Hakikatnya kami tidak bersetuju dalam beberapa hal, tetapi hanya Allah yang Maha Mengetahui segala-galanya.

Shanon Shah amat berbesar hati kerana dapat berbual, bergurau dan makan sekali dengan kepimpinan Dewan Pemuda PAS._

Harakah

Perarakan di London lebih bertamadun - Nik Aziz - Harakah

KOTA BHARU, 15 Sept: Walaupun bimbang adanya dalang di sebalik tunjuk perasaan memperingati tragedi runtuh menara berkembar World Trade Centre (WTC) di London 11 September lalu, PAS menyifatkan ia lebih bertamadun berbanding perarakan kepala lembu di Shah Alam

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perarakan di Shah Alam tidak bertamadun kerana ia membangkitkan isu perkauman dan penghinaan terhadap agama lain.

Baru-baru ini demonstrasi antiIslam diadakan berdekatan Masjid Utama Harrow, barat laut London dianjurkan Pertubuhan Hentikan Pengislaman Eropah (SIOE).

Seorang anggotanya, Stephen Gash dilaporkan menegaskan tidak mahu sebarang masjid dibina sehingga isu kebencian diselesaikan.

Demontrasi itu mencetuskan kemarahan kira-kira 1,000 pemuda Islam sehingga berlaku ketegangan antara kedua-dua pihak sehingga memaksa polis menahan 10 orang yang terlibat ketika menyuraikan keadaan.

Kebimbangan mengenai keganasan kian meningkat selepas berlaku pergaduhan ketika perarakan menentang fundamentalisme Islam oleh sebuah kumpulan pelampau kanan, Liga Pertahanan England di Birmingham.

Nik Aziz Khuatir kalau-kalau demonstrasi didalangi Yahudi yang mahu melaga-lagakan penganut agama Islam dan Kristian.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, sejarah menunjukkan terdapat seorang rabbi Yahudi mengakui menjadi punca kepada setiap kejahatan yang berlaku.

"Hal ini dicatatkan dalam sejarah pada zaman Rasulullah saw, di mana terdapat seorang paderi Yahudi yang bernama Kaab bin Ashraf pernah memberitahu mengenai perihal pengakuan kejahatan yang dilakukan pihaknya.

"Semua peristiwa itu terakam dalam ayat 51, surah An Nisa'," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Oleh itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak menolak kemungkinan penglibatan Yahudi yang cuba untuk melaga-lagakan antara golongan Kristian dan Islam di London.

"Benarlah Yahudi merupakan golongan penghasut untuk mengadu domba dengan menggunakan pelbagai alasan yang remeh-temeh.

"Tunjuk perasaan yang berlaku di London sebenarnya bukan masalah keganasan yang dituduh terhadap umat Islam tetapi ia merupakan dendam kesumat golongan yang tidak suka kepada Islam," katanya.

Beliau juga berkata, keganasan sengaja dibangkitkan pihak tersebut sebagai kerana Islam kini semakin mendapat tempat dalam masyarakat di seluruh dunia.

Menurutnya puak pelampau terbabit sengaja menggunakan alasan memperingati tragedi serangan 11 September untuk menanam kebencian terhadap Islam.

Beliau juga berharap pendakwah-pendakwah Islam di London dan Eropah tidak lagi mengharap pendakwah yang datang daripada luar untuk menyebarkan agama suci itu di tempat mereka.

"Bahkan suatu hari nanti kita akan melihat orang-orang Inggeris menjadi pendakwah sesama mereka, lebih-lebih lagi orang Inggeris memiliki pemikiran yang terbuka," katanya.

Beliau juga mahu perbezaan agama diselesaikan menerusi perbincangan secara ilmiah. _

Harakah

Kroni Rosmah Terima Projek Bas PLKN? - TVA

Sebuah syarikat milik individu yang mempunyai pertalian rapat dengan Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Najib Razak, dikatakan bakal diberi kontrak mewah membekalkan 400 unit bas untuk Program Khidmat Latihan Negara (PLKN).

Bas-bas itu dikatakan akan dimport dari China dan dijangka memintas kepentingan pengusaha bas tempatan yang setia menampung keperluan pengangkutan peserta PLKN, sejak ia dilancarkan pada tahun 2004.

Bas-bas itu dikatakan ditempah daripada syarikat Dong Feng di China dan akan dijual kepada kerajaan pada harga RM600,000 sebuah - hampir dua kali ganda berbanding harga asal.

Difahamkan, Kementerian Kewangan yang diterajui oleh Najib mengarahkan Syarikat-syarikat Kaitan Kerajaan atau GLC untuk menyediakan dana kepada syarikat pembekal berkenaan untuk membawa masuk bas-bas terbabit dari China.

Ini kerana syarikat pembekal yang dikaitkan dengan isteri Najib itu hanya mempunyai modal berbayar RM2 pada masa ini tetapi akan mengaut keuntungan puluhan juta ringgit.

Bas 40 penumpang itu adalah mirip bas Syarikat Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL), yang beberapa ratus buah tersadai di Rawang dan Selayang.

Sumber-sumber memberitahu Suara Keadilan bahawa kerajaan akan memanggil tender rasmi untuk kontrak itu pada hujung tahun ini untuk memberi gambaran bahawa urusniaga berkenaan dijalankan secara telus.

Hakikatnya ialah segala keputusan mengenai kontrak itu sudahpun dibuat. Malah sebuah agensi perkapalan juga telah dikenalpasti oleh Kementerian Kewangan bagi menguruskan kerja-kerja logistik termasuk membawa masuk bas berkenaan dari China.

Sumber itu memberitahu Suara Keadilan, dana bagi pembelian bas berkenaan oleh syarikat terbabit akan dibiayai oleh Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) atau lebih dikenali sebagai 'Prasarana'.

Sumber juga mendakwa, Prasarana telah 'diarah' oleh pihak atasan untuk menyediakan dana itu bagi membeli dan membekal bas berkenaan atas nama syarikat yang dikaitkan dengan Rosmah.

Prasarana adalah syarikat di bawah Kementerian Kewangan yang didaftarkan pada 11 Ogos 1998 untuk mengambil alih projek-projek pengangkutan yang gagal, dengan kelulusan kerajaan.

Syarikat itu dipertanggungjawabkan untuk menyediakan sistem pengangkutan di Lembah Klang dan Pulau Pinang dan mengambil alih bebrapa syarikat pengangkutan lain seperti Sistem Transit Ringan LRT, PUTRA dan juga STAR.

Dalam pada itu, seeorang pengusaha pengangkutan yang berpengalaman dalam pembinaan bas berkata pemilihan bas buatan China menimbulkan banyak persoalan.

Beliau yang enggan namanya disiarkan berkata, bas buatan China mempunyai banyak masalah teknikal selain tidak efisyen manakala kos penyenggarannya tinggi.

"Kita boleh lihat sendiri apa yang berlaku kepada ratusan bas jenis sama milik Rapid KL yang tersadai hingga menjadi besi buruk di merata Lembah Kelang. Adakah kita mahu perkara yang sama berulang?" soal beliau.

"Bagaimana pula keselamatan atau kesejahteraan anak -anak muda kita yang bakal dihantar ke kem-kem PKLN di seluruh negara menggunakan bas-bas ini?" tambahnya. - Suara Keadilan

TVA

Selcat : Adun BN Salahguna Wang Peruntukan - TVA

Sekumpulan pegawai kerajaan di Selangor tampil mendedahkan wakil rakyat Umno-Barisan Nasional menghabiskan peruntukan sehingga RM10 juta ringgit dalam tempoh beberapa minggu sahaja bagi tujuan memenangi pilihanraya umum lalu.

Ada antara peruntukan itu diluluskan dalam masa hanya seminit, sebagaimana yang diakui oleh pegawai kanan Majlis Daerah Gombak Tahir Bujang.

Seorang lagi pegawai menjelaskan mereka terpaksa meluluskan peruntukan itu secepat mungkin bagi mengelak diambil tindakan oleh pucuk pimpinan Umno-BN.

"Bergantung kepada Adun berkenaan...kalau mereka mahu habiskan dengan segera. Kalau kita tahan, lain pula jadinya. Jadi kita kena luluskan secepat mungkin," kata Huzaini Samsi yang menjadi Pegawai Daerah Gombak sejak 2007.

Pegawai-pegawai berkenaan memberi keterangan pada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor minggu lalu.

Selcat menerima keterangan rasmi yang menunjukkan RM10 juta peruntukan prasarana Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Gombak habis digunakan oleh wakil rakyat Umno-BN untuk kempen pilihanraya umum pada 8 Mac tahun lalu.

Pengerusi Selcat Teng Chang Kim berkata, dana itu diluluskan Kerajaan Negeri untuk tahun 2008 tetapi dihabiskan dalam tempoh dua bulan sebelum pembubaran dewan negeri dan Parlimen.

“Keterangan dari Pegawai Daerah Gombak Huzaini Samsi adalah jelas: RM10 juta untuk setiap daerah bagi pembinaan prasarana itu diselewengkan untuk digunakan semasa pilihanraya umum 2008.

Bagi kami itu adalah satu penyalahgunaan kuasa dan dana kerajaan kerana kegunaannya lebih menjurus kepada kempen pilihanraya umum,” kata beliau.

Teng berkata, peruntukan RM10 juta itu sepatutnya dibentangkan di sidang Dewan Negeri bagi memastikan pengagihan dilakukan secara terancang, adil dan telus.

"Tetapi apa yang berlaku RM10 juta itu diberikan kepada setiap daerah sedangkan di bawah setiap daerah kawasan DUN adalah berlainan.

Contohnya di Gombak cuma ada lima kawasan DUN, Petaling ada 13 DUN, Klang ada sembilan DUN, jadi bererti peruntukan itu tidak diagihkan dengan adil dan saksama,” katanya.

Teng juga menyifatkan tindakan pejabat daerah meluluskan permohonan peruntukan tanpa menyemak butir program adalah tidak wajar kerana mungkin akan berlaku penyalahgunaan.

Pada 11 September lalu, Selcat memanggil Huzaini untuk memberi keterangan berhubung isu peruntukan enam DUN Barisan Nasional di daerah Gombak sejak dari Februari sehingga Mac.

Enam DUN itu adalah Batu Caves, Gombak Setia, Hulu Klang, Kuang,Taman Templer dan Rawang.

Hampir RM3 juta peruntukan habis dibelanjakan dalam tempoh satu bulan setengah, sebelum menjelang pilihanraya umum Mac tahun lalu dengan 888 permohonan.

Teng turut menerima pengakuan Tahir Bujang, bekas Ketua Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Gombak yang kini Ketua Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Sepang, bahawa ada permohonan diluluskan dalam masa seminit.

Teng terkejut dengan pengakuan itu.

“Saya keliru sekarang ini, berapa lama masa sebenarnya diambil untuk satu permohonan sehingga keluar cek? Dalam satu minit sahaja boleh selesai, sangat mengkagumkan. Tak semak dahulukah permohonan tu? Satu minit sahaja boleh siap?,” katanya.

Sesi kedua Selcat menyaksikan Pegawai-pegawai daerah di Selangor memberi penjelasan mengenai peruntukan setengah juta yang mereka habiskan dalam masa dua hingga tiga bulan pertama 2008.

Adun BN menerima RM500,000 manakala Exco menerima penambahan RM100,000. Daripada 56 Adun pada masa itu, hanya 54 saja menerima peruntukan itu manakala Adun pembangkang tidak menerima peruntukan kerajaan Khir Toyo.

Huzaini memberitahu Selcat bahwa wakil rakyat terbabit akan membelanjakan peruntukan mereka begitu cepat pada musim pilihanraya.

Huzaini berkata perbelanjaan bulanan selalunya sekitar RM20,000 hingga RM30,000 namun menjelang pilihanraya umum, wakil-wakil rakyat BN ini akan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan itu.

"Keadaan yang luarbiasa berlaku menjelang pilihanraya kerana wang dibelanjakan sebanyak mungkin dengan cepat sekali," katanya.

Huzaini mendedahkan tidak ada mekanisme memantau tabiat berbelanja Adun-adun BN terbabit. - Suara Keadilan

TVA

Isu Kuil: Selangor Dengar Pandangan Rakyat - TVA

Kerajaan Negeri Selangor mengambil sikap mendengar pandangan rakyat dalam membuat sebarang keputusan terutamanya melibatkan isu sensitiviti perkauman.

Walaupun pelbagai taktik kotor dimainkan Umno Barisan Nasional bagi menghalang tindakan Kerajaan Negeri Selangor untuk memindahkan kuil di Seksyen 19 ke Seksyen 23.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Exco Kerajaan Negeri Rodziah Ismail bersama Datuk Bandar Shah Alam Datuk Ramli Mahmud akan mengadakan perjumpaan dengan Jawatankuasa Kuil Seksyen 19 untuk membincangkan mengenai isu ini.

“Mereka akan mengadakan perbincangan seterusnya. Terdapat satu keadaan perbincangan yang sangat baik tetapi kita mesti memberi masa kepada mereka supaya dapat memperhalusi apa-apa yang perlu untuk satu keputusan yang baik dapat dibuat,” katanya pada sidang media Pakatan Rakyat.

Abdul Khalid berkata Exco kerajaan negeri akan meneliti hasil perbincangan berkenaan sebelum sebarang keputusan diluluskan.

Bagaimanapun, kerajaan negeri akan memastikan masyarakat di sekitar kawasan baru yang akan menempatkan kuil berkenaan akan juga dipanggil untuk mendapatkan persetujuan.

Isu kuil berkenaan mula timbul apabila segerombolan individu upahan Umno Barisan Nasional mengadakan demostrasi di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dengan mengheret, memijak dan meludah kepala lembu.

Usaha kerajan negeri mengadakan dialog bersama penduduk Seksyen 23 juga menjadi kecoh apabila beberapa ‘orang luar’ dan pihak yang terbabit dalam tunjuk perasaan berkenaan menimbulkan kekecohan.

Kuil itu berusia lebih 100 setahun. Kerajaan negeri Pakatan Rakyat bercadang memindahkannya dari Seksyen 19 kerana ia terletak hanya 20 meter daripada kawasan perumahan. Tapak baru yang dicadangkan kerajaan BN di Seksyen 18 terletak di dalam kawasan perindustrian dan membahayakan nyawa penganut, manakala kuil yang dicadangkan Pakatan Rakyat di Seksyen 23 terletak di pinggir kawasan industri dan lebih 200 meter daripada kawasan perumahan.

TVA