Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Manik Urai. Show all posts
Showing posts with label Manik Urai. Show all posts

Thursday, July 16, 2009

Dulu kata letak kayu pun Umno menang! Penarik Beca

Kali terakhir PAS menang pilihan raya kecil di Kelantan ialah dalam pilihan raya Pulai Chondong pada 7 Januari 1997.

Calon PAS, Zulkefli Mamat memperolehi 4,778 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Yusoff Hamzah yang mendapat 4,660 undi. Menang dengan majoriti tipis sebanyak 118 undi sahaja. Kira-kira kira-kira 75.43 peratus pengundi keluar mengundi.

Sama seperti calon yang dikemukakan dalam pilihan raya kecil Manek Urai semalam, BN pada masa itu juga mengemukakan yang terbaik dan hebat di mata rakyat.

Yusoff adalah bekas Timbalan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar). Bagaimanapun, PAS mengemukakan calon yang tidak dihina pekerjaannya.

Zulkefli adalah bekas pensyarah Institut Teknologi Mara (ITM) Kelantan.

Pulai Chondong adalah kubu tradisi BN sejak 1959 sehinggalah dikuasai Parti Semangat 46 pada pilihan raya umum 1990.

Selepas itu, dalam pilihan raya kecil Semerak pada 11 Ogos 1997, PAS kalah lagi. Calon BN, Datuk Kamaruddin Mohd Noor menewaskan calon PAS, Wan Fauzi Wan Hussain.

Kamaruddin berjaya mendapat 5,370 undi untuk meraih majoriti 778 undi menewaskan Wan Fauzi yang mendapat 4592 undi. Pilihan raya tersebut memperlihatkan jumlah keluar mengundi terbesar di dalam sejarah pilihan raya di negara sejak pilihan raya pertama diadakan, iaitu 82.42 peratus daripada 12,342 orang pengundi.

Kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil di Kelantan berulang lagi dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir 6 Disember 2005. Dalam pilihan raya tersebut, calon PAS Hanifa Ahmad hanya mendapat 7,290 undi dan tewas kepada calon BN, Hanafi Mamat yang mendapat 7,419 undi. Majoriti yang diperolehi oleh Hanafi ialah 129 undi.

Dalam pilihan raya itu, calon yang dianggap boleh menang bila-bila masa di Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali hanya mendapat 414 undi sahaja dan hilang wang pertaruhan. Ibrahim adalah antara hulubalang utama Umno dalam pilihan raya kecil Manek Urai baru-baru ini.

Sama seperti yang berlaku dalam pilihan raya kecil Pulai Chondong, calon PAS dalam pilihan raya Semerak dan Pengkalan Pasir tidak dihina pekerjaannya.

Berbeza dengan ketiga-tiga calon PAS dalam pilihan raya kecil di Kelantan itu, calon PAS dalam pilihan raya kecil Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah terpaksa berhadapan dengan ayat-ayat cela terhadap pekerjaannya sebagai peraih ikan (peraih ikan adalah istilah yang digunakan untuk pemborong ikan di Kelantan).

Perkataan seperti bahaya dan terseleweng digunakan untuk menolak Fauzi. Pada 28 Jun lalu, Malaysiakini melaporkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata:

"Calon kita nak bela umat Islam dan bawa obor perpaduan. Beliau seorang yang berpengalaman, ada rekod kerja yang baik di sini, bukan seorang penjual ikan, dan berkelulusan tinggi".

"Penting untuk pilih calon yang berilmu kerana dialah yang nak bimbing masyarakat di sini, tak ada ilmu bahaya kerana mungkin dia terseleweng".
Kenyataan itu tanpa berselindung menggambarkan bahawa memilih penjual ikan yang tidak berkelulusan tinggi mengundang bahaya kerana "mungkin dia terseleweng".

Selepas itu, pada 2 Julai, Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan menggambarkan PAS memperlekehkan mentaliti penduduk Manek Urai kerana memilih pemborong ikan sebagai calon.

Pada 6 Julai pula, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata, berkata calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, adalah bekas seorang pegawai Kesedar, manakala lawannya Mohd Fauzi Abdullah dari Pas adalah seorang pemborong ikan.

Di samping bersikap sinis terhadap pekerjaan Fauzi, Umno terus meratib-ratib bahawa mereka meletakkan calon terbaik. Diriuh-rendahkan bahawa Tuan Aziz adalah Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Program Kesedar. Bingitlah Manek Urai dan satu Malaysia dengan tayangan kehebatan Tuan Aziz yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dari Universiti Teknologi Malaysia.

Mereka fikir penghinaan itu dihempuk ke atas kepala Fauzi sahaja. Mereka tidak sedar ramai yang merasa terhina termasuk aku yang tak mengaji ni. Awat? Mentang-mentang aku ni tak dak pelajaran, hampa ingat hampa boleh pedajai aku dengan ayat demi ayat yang sarkastik tu?

Berapa pun majoriti yang diperolehi Fauzi yang dihina pekerjaannya, ia tetap mengalahkan Tuan Aziz yang terbaik serta hebat dari segi kelulusan dan pengalaman.

Setelah PAS Kelantan tidak pernah menang pilihan raya kecil di negeri itu sejak kira-kira 12 tahun lalu, akhirnya ia menang juga. Lantak pi lah majoriti seciput mana pun. Dulu kalah sekarang menang.

Umno mungkin melihat majoriti PAS yang dikurangkan itu sebagai petanda akan bersinarnya cahaya di hujung lubang gelap. Tak kisah. Silakan berpesta.

Bagi orang-orang tak mengaji seperti saya, kekalahan BN di Manek Urai memperlihatkan permulaan kehancuran kepercayaan yang dibagakkan oleh Umno selama ini. Orang-orang Umno sebelum ini selalu berkata, kalau kami letak kayu sekalipun, BN tetap menang. Begitu tebal kepercayaan itu di dalam jiwa mereka.

Kali ini, calon terbaik Umno tumpas di kaki seorang pak lebai kampung yang dihina pekerjaan halalnya.

Lebih baik jual ikan dari jual maruah Melayu!

Penarik Beca

Wednesday, July 15, 2009

Fauzi: Terima Kasih Rakyat, Saya Akan Pikul Tanggungjawab Dengan Amanah - TVA

Pemenang Pilihanraya Kecil N41 Manek Urai Mohd Fauzi Abdullah mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada rakyat kerana tidak termakan sogokan dan omong politik Umno-BN.

Beliau berkata kepercayaan yang diberikan pengundi kepada Pas akan dipikulnya dengan rasa amanah dan tanggungjawab.

“Saya bersyukur dengan kemenangan ini. Saya berterima kasih kepada semua, khususnya kepada petugas-petugas yang bertungkus-lumus disebalik persaingan Umno yang sengit. Kita dapat kekalkan kerusi N41 Manek Urai diatas kepercayaan rakyat dan sokongan dari Pas dan Pakatan Rakyat kita dapat kejayaan hari ini” kata Fauzi.

Tepat jam 9.01 malam, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) mengumumkan kerusi N41 Manek Urai dimenangi calon Pas-Pakatan Rakyat Mohd Fauzi Abdullah.

PRK Manek Urai menyaksikan pertarungan sengit, dimana Pas meraih 5,348 undi manakala BN meraih 5,283 undi. Pas mendahului BN dengan 65 majoriti.

Fauzi menujukan kemenangan ini kepada kepimpinan dan akar umbi Pas yang telah memberi kepercayaan kepada beliau.

“Memang sengit pilihanraya ini, walaupun kecil, tetapi semua menteri turun ke Dun Manek Urai ini,” katanya.

“Saya ucap terima kasih kepada rakyat yang tidak termakan dengan sogokan dan janji-janji yang dibuat, yang saya fikir kerana ketahanan diri mereka yang kuat. Faktor kemenangan ini juga kerana hubungan rakyat dengan akar umbi kerana kalau kita tidak hampir kepada rakyat, kita tidak mungkin dapat mempertahan Dun Manek Urai,” tambah Fauzi.

Sementara itu, Exco Kelantan Husam Musa berkata Pas mampu meraih sokongan lebih besar sekiranya politik wang Umno-BN dibendung SPR.

“Kemenangan ini sesuatu yang berharga pada kami, kerana politik wang amat berleluasa, tetapi rakyat mampu bertahan dan Pakatan Rakyat mencapai kemenangan pusingan ke enam. Kalau kena tiga lagi pusingan, dengan izin Allah, Umno tumbang,” tegas Husam.

“Secara teori, Umno percaya menjadi alat untuk memenangkan kawasan luar bandar, tetapi kerana kekuatan iman dan kefahaman politik para pengundi, rakyat dapat bertahan disebalik serangan wang yang begitu dahsyat sekali,” katanya.

“Saya ingat BN tentu amat kecewa sekali. Dengan pelaburan sebesar itu mereka masih gagal. Ini satu pukulan hebat kerana walaupun dengan 11 tawaran Perdana Menteri, masih mereka belum menang disini,” kata Husam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar yang mengikuti perkembangan Manek Urai dari Nottingham, United Kingdom menyaggah dakwaan media perdana bahawa sokongan terhadap Pas semakin terhakis.

“Tidak sekali-kali berkurangan. Di kawasan Manek Urai, dengan rakyat yang banyak bergantung kepada kerajaan dari segi bantuan, namun mereka masih memilih calon Pakatan Rakyat – walaupun dengan majoriti yang kecil – tetapi ini adalah petanda positif rakyat Kelantan masih bersama-sama Pas dalam apa keadaan sekalipun,” tegas beliau.

“Kita bersyukur rakyat telah cuba dirasuahkan tetapi rakyat masih lagi berpegang kepada perjuangan bersama Pas, disebalik ugutan dan rasuah dari pihak Umno-Barisan Nasional,” tambahnya.

TVA

Husam: PAS hampir tewas kerana politik wang - Malaysiakini

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Husam Musa mendakwa, kemenangan tipis calon PAS dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai adalah berpunca daripada politik wang.

Katanya, PAS telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung perkara tersebut dan berharap tindakan selanjut diambil.

Dalam pilihanraya kecil hari ini, calon PAS Mohd Fauzi Abdullah, menang dengan majoriti tipis 65 undi.

Beliau mendapat 5,348 undi manakala calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendapat 5,283 undi.

Menurut Husam lagi, PAS juga kalah di pusat pengundian Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama.

Oleh itu, katanya, BN harus membina jambatan baru yang dijanjikannya kerana ia menang di situ.

Husam juga menafikan kemenangan tipis PAS itu mencerminkan pengaruh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat semakin merosot.

Sebaliknya, kata beliau, pengaruh menteri besar Kelantan itu semakin meningkat

"Kita kalah kerana politik wang," katanya.

Manakala Mohd Fauzi yang lebih dikenali sebagai Abe Uji berkata, beliau menghormati keputusan pilihanraya kecil hari ini.

Beliau berharap dapat berkhidmat kepada para pengundi sebaik mungkin walaupun menang tipis.

Malaysiakini

BN terus ditolak rakyat, PAS perlu kaji menang tipis - Harakah

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Hrkh)-Penasihat Jentera Operasi Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Dato' Wan Rahim Wan Abdullah berpandangan PAS perlu melakukan post mortem serta membuat kajian secara mendalam mengenai aliran pengundi yang tidak memihak kepada PAS dalam Pilihan Raya Kecil Manek Urai pada 14 Julai lalu.

Mengulas mengenai kemenangan tipis PAS dengan majoriti 65 undi, Wan Abdul Rahim menolak faktor golongan muda yang tidak keluar mengundi yang menyebabkan kemerosotan majoriti berbanding Pilihan Raya Umum ke 12 lalu.

Jelasnya, berdasarkan keputusan yang di perolehi di beberapa peti undi seperti Manek Urai Baru PAS menang dalam semua empat saluran kecuali saluran dua.

Justeru katanya PAS perlu membuat semakan faktor yang menyebabkan golongan berusia menolak PAS.

Dalam pada itu beliau juga tidak menolak kemungkinan kemenanganan tipis tersebut disebabkan kelemahan PAS di Kuala Krai yang baru sahaja selesai membuat perubahan kepimpinan di peringkat kawasan.

Sementara itu beliau juga berpandangan faktor calon sebelum ini, Ismail Yaakub meninggalkan suatu 'kekosongan' kepada rakyat Manek Urai.

"Pak Su Wil merupakan satu 'lagenda' yang cukup sinonim dengan rakyat Manek Urai. Walaupun pengganti beliau, Abe Uji merupakan pilihan yang terbaik beliau masih perlukan pendedahan.

"Dan saya yakin Abe Uji akan dapat meneruskan usaha serta kesinambungan yang diteruskan oleh Pak Su Wil dengan jalinan kemesraan dengan rakyat akar umbi,"katanya.

Dalam pada itu, Wan Abdul Rahim sewaktu dihubungi Harakah turut merakamkan terima kasih kepada seluruh pimpinan Pakatan Rakyat yang turut berganding bahu dalam memastikan kemenangan PAS.

Beliau menegaskan, kemenangan tersebut membantu PAS dan meneruskan kesinambungan kekuatan parti di kubu kuat PAS itu.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Barisan Nasional(BN) kerana dapat mengekalkan suasana yang 'lunak' dan 'persaudaraan' dalam tempoh berkempen tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Jelasnya dengan kemenangan tersebut, BN telah mengalami nasib ditolak oleh rakyat di semua pelusuk negara dalam siri-siri pilihan raya kecil oleh masyarakat pelbagai kaum.

"Walaupun di Manek Urai 99.9 peratus terdiri daripada kaum Melayu, nampaknya BN terus ditolak voleh rakyat. Ini memberikan peluang serta potensi yang cukup baik kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk mencuba mencapai kemenangan yang lebih baik dalam Pilihan Raya Umum ke 13,"katanya. - azm _

Harakah

Tuesday, July 14, 2009

Keputusan Rasmi Manek Urai

Mohd Fauzi Abdullah (PAS) - 5,348
Tuan Aziz Tuan Mat (BN) - 5,283
Majoriti - 65

Mohd Fauzi Abdullah (PAS) - Menang

PAS dijangka raih majoriti lebih besar - Harakah

KUALA KRAI, 14 Julai (Hrkh) - Impian Umno mahu bertapak semula di Manek Urai semakin sukar dengan kehadiran lebih 1,300 pengundi luar yang pulang mengundi sehingga jam 4 petang ini.

Gelombang pasca Mac 2008 nampaknya masih lagi dipertahankan majoriti pengundi di Manek Urai bagi meneruskan kesinambungan perjuangan Allahyarham Haji Ismail Yaacob (Paksu Wil).

Menurut sumber sehingga jam 4 petang tadi PAS nampaknya mendahului Umno hampir keseluruhan peti undi. Paling menarik apabila peti undi Manjor yang menjadi kubu tradisi Umno sebelum ini nampaknya tidak mampu lagi dipertahankan.

Petanda yang jelas misi Umno tidak kesampaian apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin difahamkan sudah meninggalkan Manek Urai sedang menuju ke Kota Bharu untuk kembali ke Kuala Lumpur.

Manakala petugas-petugas Umno di tempat mengundi di Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama sudah meninggalkan tempat tersebut.

Begitu juga di tempat mengundi Sekolah Kebangsaan Peria sudah keletihan dan mencari tempat berlindung. Keghairahan Umno sudah semakin malap sekarang.

Sekarang hanya tinggal perayu undi PAS yang setia menjalankan tugas.

Menurut sumber Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan setakat ini PAS sudah mendahului sebanyak 2,200 undi setelah 84 peratus keluar mengundi. - mj_

Harakah

Terkini: PRK Manek Urai

5:00 pm- semua tempat mebuang undi ditutup. jangkauan awal mengatakan 86% pengundi keluar keluar mengundi. sama-sama tunggu keputusan. satu kejadian kemalangan berlaku di hadapan SK Perial

4:50 pm- Maklumat yang baru diterima mendapati Markaz induk BN ditepi jalan utama Kuala Krai-Gua Musang telah mula kosong mengikut pemberi maklumat sekitar jam 3.30 petang tadi.

Gambaran ini mungkin menjawab desas desus yang kedengaran setakat ini hampir disahkan 5 dari 9 peti undi telah pun dimenangi oleh PAS setakat ini.

4.39 petang - Calon PAS, Abe Uji tiba di markas Induk PAS. Para penyokong menyambut dengan laungan takbir berkali-kali

4:34pm: Pihak keselamatan memberitahu bahawa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah berlepas pulang ke Kuala Lumpur. Ini suatu petanda bahawa BN sudah Kalah!

Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin BN lain sudah meninggalkan Manek Urai menuju ke Kota Bharu dengan diiringi polis trafik.

4.22pm Peratus keluar mengundi sehingga pukul 4 petang tadi sudah mencecah 86.4 peratus atau 10,626 pemilih menunaikan tanggungjawab - sejam lagi sebelum pusat pembuangan undi ditutup.

4.16 petang - Calon PAS, Abe Uji dalam perjalanan menuju ke Markas Induk daripada UPU Temali

4.15 petang - Peratusan yang telah keluar mengundi sebanyak 84 %

Kenderaan bergerak sangat perlahan dari persimpangan Manek Urai Baru ke Sungai Perial

4:10 pm petang - Beberapa pemerhati daripada MAFREL masih kelihatan berada di peti undi memantau perjalanan pilihan raya kecil Manek Urai.

4:10 pm - Peratus keluar mengundi sehingga pukul 3 petang tadi sudah mencecah 83.9 peratus atau 10,312 pemilih menunaikan tanggungjawab - dua jam sebelum pusat pembuangan undi ditutup.

4:04 pm: Sementara itu, mengulas mengenai sikap penyokong PAS yang mengibarkan bendera pada kenderaan mereka, Musa berkata beliau telah mengarahkan Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi supaya mengenakan tindakan saman terhadap mereka yang berkenaan.

Katanya tindakan mereka itu membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, selain diri sendiri kerana bendera bersaiz besar yang dipasang pada kenderaan boleh menghalang penglihatan pemandu.

3:59 pm- Menurutnya, bancian selepas pengundian mendapati calonnya dijangka menang dengan majoriti hampir 2,000 undi.

Fatah berkata, jentera pilihanraya parti itu telah mengumpul dan mengira pembuangan undi setakat ini

3.57 petang - Di Temali, calon PAS tiba di pusat pengundian. Beliau disambut oleh kira-kira 150 penyokong dan diiringi dengan bacaan doa

3.56 petang - Seramai 150 hingga 200 penyokong PAS kembali berkumpul di hadapan pusat pengundian Sungai Peria

3.40 petang: Setakat pukul 3 petang, seramai 10,312 pengundi (83.8 peratus) telah menunaikan tanggungjawab mereka. SPR turut mengesahkan belum ada pusat pengundian yang ditutup dan ia hanya akan ditutup pada pukul 5 petang.

3:40 pm- Pengarah Operasi Keselamatan PAS Dun Manek Urai, Mejar (B) Mohamad Ibrahim berkata, pihaknya telah bersiap sedia dengan mengerahkan petugas keselamatan berada di sekitar tempat pembuangan undi.

"Mulai jam 3 hingga 5 petang adalah waktu yang paling kritikal kerana segala kemungkinan boleh berlaku apabila kita lalai biar pun sesaat.

3:30 pm- muhyiddin ada kat mrsm kuala kerai. tengah pelahap makan kot? tak pun sambung tidur. sebab tu muka jadi sembab..kahkahkah

3.09 petang - Di Sungai Peria, dua orang petugas muslimat PAS, dimasukkan ke hospital Kuala Krai akibat cedera parah akibat balingan batu dari kumpulan penyokong BN

3.00 petang - Perjalanan ke beberapa UPU masih sesak. Diantaranya Sungai Peria, Sungai Sok, Chuchoh Putri dan Laloh

KerabuBersuara

PAS: Kita menang 2,000 undi - Malaysiakini

Berdasarkan pengundian sehingga jam 3 petang tadi, Pengarah pilihanraya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun yakin calon parti itu - Mohd Fauzi Abdullah - sudah menang pilihanraya kecil DUN Manek Urai.

Menurutnya, bancian selepas pengundian mendapati calonnya dijangka menang dengan majoriti hampir 2,000 undi.

Fatah berkata, jentera pilihanraya parti itu telah mengumpul dan mengira pembuangan undi setakat ini.

"Saya tak ingat berapa peratusan yang diperoleh oleh PAS dan BN.

“Tetapi saya boleh kata, kita akan menang dengan majoriti hampir 2,000 undi,” tambahnya.

Pada jam 3 petang tadi peratus pengundian mencecah 83.89 peratus atau 10,312 orang walaupun ada dua jam lagi untuk mengundi, sebelum pengundian tamat pada jam 5 petang.

Malaysiakini

Apa Sebenarnya Berlaku di Pria, PRK Manek Urai?

12:27 pm Pria - keadaan tidak terkawal ekoran penyokong kedua-dua pihak menyerbu ke dalam tempat pusat pengundian. Ini bermula ketika pegawai spr datang memasuki pusat pengundian, ia telah diikuti pula oleh kereta berlambang Dacing. Penyokong PAS tidak berpuas hati dan mnyerbu pusat pengundian tersebut. Akhirnya penyokong BN turut menyerbu sama. Penyokong kedua2 pihak juga salin baling botol dan batu antara satu sama lain. Polis dilihat tidak dapat mengawal keadaan yang semakin teruk itu.

KerabuBersuara

Terkini: Manik Urai

kemaskini 2.48pm Lebih kurang 300 penyokong PAS dan BN dilaporkan bertembung di pusat membuang undi SK Peria dekat kira-kira 12 tengah hari ini.

Pergaduhan tersebut berjaya dileraikan oleh polis dan empat buah trak unit tindakan ringan diletakkan di situ bagi meningkatkan keselamatan, lapor laman web Utusan Malaysia.

Susulan pergaduhan itu, beberapa orang penyokong kedua-dua belah pihak mengalami kecederaan dan semuanya dihantar ke Hospital Kuala Krai.

Akhbar yang sama juga melaporkan, kira-kira jam 11 pagi terjadi insiden membaling batu dan botol antara kedua-dua belah pihak di sekolah berkenaan.

Sementara itu laman web The Star pula melaporkan, lima anggota Puteri Umno mengalami kecederaan dalam kekecohan dua kumpulan penyokong parti yang bersaing itu di luar SK Peria kira-kira 10.30 pagi.


kemaskini 2.05pm Calon BN Tuan Aziz Tuan Mat yakin peluangnya merampas kerusi DUN Manek Urai "lebih cerah" jika peratusan keluar mengundi meningkat.

Ditemui dekat pusat membuang undi di Chuchoh Puteri, beliau berkata peratusan tinggi itu bermakna ramai pengundi muda keluar membuat pilihan dan memangkah BN.


kemaskini 1.55pm Dua ahli Puteri Umno Kelantan dikejarkan ke Hospital Kuala Krai selepas dibaling dengan batu ketika bertugas di pusat pembuangan undi SK Peria, lapor laman web Utusan Malaysia.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari, masing-masing cedera di belakang dan pengsan di tempat kejadian akibat terkena balingan batu oleh perayu undi parti yang bertanding.

Difahamkan ada kalangan mereka yang cedera sehingga patah gigi kerana masing-masing membaling botol air dan batu ketika meraih undi, lapor akhbar itu lagi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi dipetik berkata, kejadian berlaku berikutan provokasi yang dilakukan oleh perayu-perayu undi parti yang bertanding.

kemaskini 1.25pm Jumlah penyokong PAS jauh mengatasi kumpulan kecil penyokong BN di pusat pembuangan undi Lata Rek dengan kadar 150 orang berbanding lima orang, semuanya Wanita dan Puteri Umno.

Kumpulan wanita disorak agar "balik ke rumah" tetapi tetap bersemangat dengan berpayung di bawah terik matahari, sambil mengibarkan bendera.

Manakala kumpulan penyokong PAS pula berada di bawah khemah yang dilengkapi kipas angin, makanan dan minuman. Mereka berehat dengan santai, termasuk makan tengah hari di situ

Beberapa penyokong Umno kelihatan berteduh di pokok-pokok berhampiran.


kemaskini 1.23pm Peratus keluar mengundi sehingga pukul 1 tengah hari sudah mencecah 76.2 peratus atau 9,359 pemilih mengundi pilihan masing-masing - sama ada calon BN Tuan Aziz Tuan Mat atau calon PAS Mohd Fauzi Abdullah.

Mengikut trend pembuangan undi setakat ini, peratus keluar mengungi kemungkinan akan lebih tinggi daripada 85 peratus seperti disasarkan lebih awal oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


kemaskini 12.58pm Seorang bekas pemimpin Umno Kuala Krai mendakwa parti itu menghadapi masalah pembahagian duit kepada pengundi Umno di DUN Manek Urai.

"Saya difahamkan duit tidak cukup, terpaksa menunggu duit baru," katanya, yang enggan namanya disiarkan, kepada Malaysiakini.

Ketua Wanita Umno Kuala Krai, Rohani Abdul Majid bagaimanapun berkata, duit berkenaan bukannya untuk pengundi DUN Manek Urai, sebaliknya untuk perayu undi dan penampal poster.

kemaskini 12.22pm Peratus keluar mengundi sehingga pukul 12 tengah hari sudah mencecah 68.4 peratus atau 8,415 pemilih menunaikan tanggungjawab - empat jam selepas pusat pembuangan undi dibuka.

kemaskini 12.03pm Kira-kira 40 dilihat beratur di hadapan sebuah rumah kayu dalam kawasan bangunan pejabat Kesedar, yang terletak kira-kira 50 meter dari pusat mengundi di SK Peria.

Malaysiakini nampak mereka menghulurkan kad pengenalan masing-masing kepada beberapa petugas di depan pintu rumah tersebut.

11.35am Peratus keluar mengundi sehingga pukul 11 pagi ini sudah mencecah 57.6 peratus atau 7,085 pemilih menunaikan tanggungjawab - tiga jam selepas pusat pembuangan undi dibuka.

11.20am Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yakin parti itu akan mengekalkan kerusi DUN Manek Urai, tetapi dengan majoriti yang berkurangan.

Mahfuz, yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, beliau juga menjangka jumlah pemilih yang keluar mengundi hari ini ialah di sekitar 84 peratus.

"Saya tidak menjangka ramai akan pulang (untuk mengundi) kerana hari ini Selasa (hari bekerja di luar Kelantan).

"Namun begitu, dari maklum balas yang diterima, ada yang telah pulang (untuk mengundi).

"Kerana itu kita menjangka menang tetapi jumlah majoriti kurang," katanya.

10.50am Penyokong PAS mengepung sebuah kereta yang dinaik mereka disyaki menyamar sebagai pegawai SPR yang mengguna pelekat dan masuk ke pusat pengundian di Manjor.

Mereka meminta identiti mereka. Polis kemudiannya campurtangan dan mengesahkan mereka bukan pegawai SPR dan mengarahkan mereka beredar dari situ.

Penyokong PAS itu turut mengoyak pelekat tersebut sambil melaungkan 'penyamar'.

kemaskini 10.39am Di SK Manek Urai Lama, kira-kira 250 penyokong PAS balas-membalas sorakan dengan lebih kurang 200 penyokong BN.

Penyokong PAS menjerit "rasuah" dan "Altantuya" (Shaariibuu) kepada lawannya, dan kedengaran ungkapan lucah berkonotasi liwat dari arah kumpulan BN yang berada di seberang sebatang jalan kampung.


kemaskini 10.23am Peratus keluar mengundi sehingga pukul 10 pagi ini sudah mencecah 38.3 peratus atau 4,706 pemilih menunaikan tanggungjawab - dua jam selepas pusat pembuangan undi dibuka.


kemaskini 10.05am Di Manek Urai Baru pula, seorang wanita dipercayai penyokong Umno "naik angin" kerana tidak tahan mendengar bacaan salawat dan takbir yang kuat dan tidak henti-henti oleh penyokong PAS.

Insiden dekat SK Manek Urai Baru bermula lebih kurang 9.10 pagi, tidak lama selepas MB Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggalkan kawasan tersebut.

Laungan takbir yang diselang-seli dengan selawat kira-kira 150 penyokong PAS, kebanyakan lelaki - yang berada di sebelah sekumpulan 50 penyokong BN, rata-ratanya wanita - menimbulkan rasa gelisah wanita terbabit.

Beliau kelihatan berbincang dengan beberapa petugas PAS dan dengan muka berangnya bersuara dengan nada sedikit tinggi. Bagaimanapun suaranya ditenggelami laungan penyokong PAS.

Beberapa anggota polis kemudian kelihatan cuba memisahkan kumpulan parti-parti politik bertanding itu. Kira-kira 30 anggota polis ditempatkan di situ.


kemaskini 9.29am Proses pengundian bagi pilihanraya kecil DUN Manek Urai bermula jam 8 pagi tadi, dengan kedua-dua calon, Tuan Aziz Tuan Man dari BN dan Mohd Fauzi Abdullah dari PAS meninjau pusat pengundian.

Kedua-duanya bukan pengundi dalam DUN tersebut.

Pengundian akan berjalan sehingga jam 5 petang ini, manakala keputusannya dijangka diketahui menjelang jam 8 malam ini.

Manek Urai mempunyai 12,293 pengundi, dengan 99.2 peratus Melayu manakala bakinya pemilih Cina dan India.

Keputusan pilihanraya kecil hari ini akan menandakan sama ada PAS dan Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat mampu mengekalkan pengaruhnya di Kelantan yang telah ditadbir selama 19 tahun.

Manakala BN, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pula mengharapkan kemenangan di Manek Urai bagi menamatkan kekalahan berterusan BN dalam semua pilihanraya kecil - kecuali DUN Batang Ai di Sarawak - selepas pilihanraya umum tahun lalu.

Nik Aziz yang tiba di pusat mengundi di SK Perai 10 minit awal, terpaksa menunggu ketibaan Mohd Fauzi.

Calon PAS itu tiba jam 8.10 pagi dan mencium tangan menteri besar tersebut sebagai tanda hormat, manakala para penyokong pula melaungkan "Allahu Akbar".

Manakala kumpulan Wanita Umno di bersebelahannya pula menempik "Hidup Melayu". Calon BN kemudiannya beredar ke Manek Urai Lama.

Nik Aziz dan Fauzi yakin PAS akan mempertahankan kerusi DUN Manek Urai dalam pilihanraya kecil hari ini.

Manakala Tuan Aziz pula berkata pula yakin sekurang-kurangnya 51 peratus pemilih akan mengundi BN.

"Setakat semalam, sokongan makin meningkat," katanya.

Sebelum ini, para pengundi mula menyemak nama masing-masing dalam senarai pemilih di pondok yang disediakan oleh SPR.

Keadaan di sekitar Manek Urai Lama bergerak perlahan. Cuaca baik dan anggota polis mengawal di setiap simpang. Banyak kawasan dijadikan jalan sehala.


kemaskini 9.05am Sembilan pusat pengundian dibuka yang melibatkan 27 saluran dan diselia kumpulan pegawai lantikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diketuai pegawai pengurus Adnan Hussin, yang juga ketua jajahan Kuala Krai.

Pusat pembuangan undi dan jumlah pemilih yang layak seperti berikut:

1. SK Temalir (983 orang)
2. SK Peria (2,019)
3. SK Manek Urai (1,890)
4. SK Manek Urai Baru (1,093)
5. SK Sungai Sok (980)
6. SK Chuchoh Puteri (1,517)
7. SK Lata Rek (1,094)
8. SK Kampung Karangan (1,049)
9. SMK Laloh (1,643)

Jumlah keseluruhan pemilih, termasuk 25 orang melalui pos, 12,293 orang.

SPR mensasarkan kira-kira 85 peratus daripada pengundi akan keluar mengundi ada pilihan raya kecil ini.

Selepas pengundian ditutup pukul 5 petang ini, dan kemudian pengiraan undi di semua sembilan pusat berkenaan, penjumlahan undi akan dilakukan di SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.

Keputusannya dijangka seawal-awalnya pukul 8 malam ini.

Malaysiakini

Manek Urai: Pengundian bermula - mStar

KUALA KRAI: Hari penentuan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai bermula 8 pagi tadi dengan PAS dan Umno masing-masing meletakkan keyakinan akan menguasai kerusi tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan sembilan pusat pengundian dengan 27 saluran mengundi.

Pusat pengundian tersebut ialah Temalir, Sg Peria, Manjo, Manek Urai Baru, Manek Urai Lama, Chuchoh Puteri, Laloh, Lata Rek dan Pahi.

Pengundian bermula pukul 8 pagi dan berakhir 5 petang. Keputusan dijangkakan selewat-lewatnya pukul 8 malam ini. Proses penjumlahan undi akan dijalankan di Dewan Petra, Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.

Barisan Nasional (BN) menurunkan bekas Pengurus Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Tuan Aziz Tuan Mat manakala PAS diwakili Mohd. Fauzi Abdullah. Kedua-dua calon bukan pengundi di DUN Manek Urai. Tuan Aziz merupakan anak jati Kuala Krai manakala calon PAS, Fauzi atau lebih dikenali dengan panggilan Ábe Uji merupakan pengundi di DUN Guchil. Kerusi DUN Manek Urai kosong berikutan kematian Ismail Yaacob pada 22 Mei lalu. Ismail, 60, daripada PAS memenangi kerusi Manek Urai sejak pilihan raya umum 1985 kecuali pada 2004. Pada pilihan raya umum ke-12, Ismail yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kuala Krai menewaskan Mohamed Zulkifli dari BN dengan majoriti 1,352 undi.

Seramai 12,293 pengundi layak untuk calon pilihan mereka antara Tuan Aziz dan Fauzi.Hampir 99.2 peratus pemilih adalah kaum Melayu sementara hanya 0.46 peratus Cina, 0.23 peratus India dan 0.11 peratus kaum-kaum lain. UMNO: PELUANG TERBAIK

Bagi Umno bukan satu tugas yang mudah untuk menembusi kubu kuat PAS ini. Namun kesungguhan mereka dalam pilihan raya kecil kali ini dilihat mampu memberi saingan sengit kepada PAS yang dilihat semakin selesa dengan kedudukan mereka di Kelantan.Kenyataan tersebut turut disokong oleh Ketua Pembangkang di DUN Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmad.

Kata beliau, isu pembangunan menjadi faktor utama kepada pengundi di Manek Urai pada pilihan raya kali ini.

“Hampir 20 tahun PAS memerintah Kelantan, ramai lagi rakyat di sini yang daif terutamanya di kawasan luar bandar.

"Inilah peluang terbaik untuk rakyat membuat pilihan bijak untuk memilih parti yang boleh membawa pembangunan.

“Kerajaan pusat telah mengemukakan beberapa janji seperti menjadikan Manek Urai sebagai ‘anak emas’ kepada kerajaan persekutuan, membina jambatan baru bernilai RM7 juta di Kampung Manek Urai Lama dan menjadikan Manek Urai sebagai kota agropolitan... kita lihat kerajaan Barisan Nasional betul-betul serius untuk membantu penduduk di Manek Urai.

“Ini bukan hanya janji pilihan raya semata-mata tapi merupakan tanda kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib (Tun Razak) melaksanakan apa yang terkandung dalam konsep 1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Jelasnya, wakil BN kali ini Tuan Aziz Tuan Mat merupakan calon yang disenangi ramai, terutamanya dengan pendidikan tinggi dan pengalaman dimilikinya.

Alwi berkata, sudah tiba masanya penduduk di Manek Urai memberi peluang kepada BN untuk mewakili mereka dan menyediakan kemudahan asas yang masih perlu dipertingkatkan di kawasan tersebut.

Ditanya mengenai peluang BN, Alwi mengakui PAS masih calon ‘favourite’ untuk mempertahankan kerusi Manek Urai.

“Peluang untuk menang tetap ada, saya letak peluang kita masih 50–50.

"Kalau mereka (pengundi) di Manek Urai mahukan perubahan mereka perlu undi calon BN,” katanya. FAKTOR NIK AZIZ

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, faktor Tok Guru (Datuk Nik Aziz Nik Mat) menjadi kekuatan untuk pengundi di Manek Urai menyokong calon PAS.

“Kita akui Tok Guru punya faktor penarik terhadap pengundi PAS di Kelantan. Rakyat Kelantan masih menghormati dan yakin dengan setiap apa yang Tok Guru,” katanya.

Fatah yang juga ADUN Rantau Panjang turut mengakui kekuatan BN dalam pilihan raya kecil kali ini tidak boleh diperlekehkan.

“Walaupun kita yakin untuk menang, tapi kita kena berjaga-jaga lebih-lebih lagi pada hari terahkir kempen. Kita harap pengundi masih tetap istiqamah dan memilih calon kita, Abe Uji (Mohd Fauzi Abdullah),” katanya.

Menurut Fatah, isu pendidikan calon dan pembangunan bukan senjata yang ampuh untuk menawan hati penduduk di Manek Urai.

"Rakyat di sini mempunyai sentimen yang kuat terhadap PAS," katanya.

Jelas beliau, PAS masih lagi yakin parti itu akan mempertahankan kerusi DUN Manek Urai.

“Kalau tengok momentum daripada pengundi dan mereka yang hadir ceramah kita yakin peluang kita 60 peratus untuk menang, tapi kita masih kena kerja kuat takut ada pengundi yang berubah hati di saat akhir,” katanya.

mStar

Terkini dari Manek Urai

http://linasoo.com/blog/?p=1445
http://perisik-rakyat.com

Monday, July 13, 2009

N41 Manek Urai, UNDILAH CALON PAKATAN RAKYAT!










Nik Aziz istihar esok cuti! - Harakah

KOTA BHARU, 13 Julai (Hrkh) - Semua kakitangan kerajaan negeri, Persekutuan dan swasta yang bertugas di negeri ini mendapat 'cuti am' esok (14 Julai 2009) yang diambil atas 'Cuti Peristiwa'.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengumumkan perkara itu di pejabatnya kira-kira pukul 9.15 pagi tadi.

"Setelah menghalusi dan mempertimbangkan keadaan hari pembuangan undi pilihan raya kecil Manek Urai yang barangkali dilihat sedikit tidak cermat, yang jatuhnya pada hari bekerja dan boleh menimbulkan banyak kesulitan, maka bersifat simpati kepada para pengundi dan anggota keluarga terlibat, saya bercadang untuk mengistiharkan 14 Julai sebagai cuti am bagi seluruh negeri Kelantan,"ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, dalam semangat pro demokrasi kerajaan negeri mengutamakan kepentingan rakyat dan mendahulukan pencapaian.

Katanya, cuti berkenaan diambil mengikut peruntukkan undang-undang kerajaan negeri, iaitu atas 'cuti peristiwa' di samping mendapat rungutan pelbagai lapisan masyarakat khususnya pengundi sendiri.

Tambahnya, sebelum ini beliau mendapat maklumat Kerajaan Pulau Pinang turut mengisytiharkan cuti yang sama bagi menghadapi pilihan raya kecil di negeri itu baru-baru ini yang juga jatuhnya pada hari bekerja.

Sambungnya, walaupun pilihan raya hanya diadakan di Dun Manek Urai, tetapi terdapat ramai juga pengundi yang berada di luar Kelantan, termasuk luar jajahan di samping.

"Lagipun ada juga pengundi di Dun Manek Urai terdiri dari pegawai kerajaan, oleh yang demikian bagi mengurangkan kesulitan mereka, kita mengisytiharkan cuti tersebut,"katanya.

Sambungnya lagi, tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengumumkan hari pengundian jatuh pada hari bekerja begitu pelik berbanding sebelum ini pilihan raya diadakan pada hari Sabtu.

"Saya pun tak tahu kenapa SPR buat cuti pada hari bekerja dan bukannya hari Sabtu sebagaimana biasa,"ujarnya lagi.

Menyentuh tentang cuti am itu bakal menjadi rungutan khususnya bagi pihak swasta, beliau berkata,"yalah takkanlah pihak majikan nak kira untungnya sahaja,"ujarnya lagi. - mks. _

Harakah

Anwar cabar SPRM siasat janji Muhyiddin - Malaysiakini

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa tawaran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membina jambatan baru di Manek Urai sekiranya pengundi memilih calon BN dalam pilihanraya kecil esok, adalah satu perbuatan rasuah

Sehubungan itu, beliau mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat perkara tersebut.

Anwar menegaskan demikian dalam ceramahnya bersama Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan pemimpin DAP, Lim Kit Siang di hadapa hampir 5,000 penyokong - jumlah terbesar dalam tempoh berkempen - di Sungai Peria malam tadi.

"Mana ada jambatan siap sehari. Mu (kamu) Muhyiddin, bukan Nabi Sulaiman. Barangkali dia nak ikut kita masa pilihanraya dulu, (berjanji kalau) Pakatan menang hari ini, esok turun harga minyak. Itu bolehlah, itu isytihar saja.

"Dari sudut undang-undang ini salah, saya cabar SPRM, kalau kamu betul-betul amanah, mu siasat dan igat (tangkap) Muhyiddin kerana dia (buat) janji palsu ini.

"Kalau dia beranilah. Mana boleh, kalau nak jambatan pangkah Umno-BN. Mu pangkah BN pada 14 haribulan, 15 haribulan buat jambatan. Dia ingat bapak dia punya negeri," katanya.

Semalam, Muhyiddin menawarkan untuk membina jambatan baru di Manek Urai Lama, yang dianggar berharga RM7 juta hingga RM10 juta, sekiranya pengundi memilih BN dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai Selasa ini.

Muhyiddin dilaporkan berkata: "Kita boleh bagi (jambatan baru), insya-Allah, tetapi ada syarat. Yang itu senang saja, pangkah saja (BN). Kita nak beritahu semua, mu (kamu) nak lalu sini, mu kena pangkah BN."

Manek Urai Lama merupakan sebuah kawasan dalam Manek Urai yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar Kuala Krai. Bersempadan dengan Manek Urai Lama, ia dihubungkan sebuah jambatan satu lorong sejauh 300 meter.

Tidak ada jalan alternatif lain bagi penduduk kawasan tersebut untuk keluar ke jalan besar yang menghubungkan bandar Kuala Krai dengan Gua Musang.

Menurut penduduk kampung, jambatan sekarang dibina kerajaan pusat pada awal tahun 90-an dan mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan. Kosnya dipercayai hampir RM5 juta.

Malaysiakini

Cemuh Peraih Ikan, Imej UMNO Makin Tercalar - TVA

Tindakan UMNO memperlekehkan calon Pas, Fauzi Abdullah yang merupakan seorang peniaga ikan akhir memakan diri apabila Persatuan Pemborong dan Penjual Ikan Kelantan mengadakan demonstari mengutuk UMNO.

Peniaga ikan dari seluruh Kelantan berhimpun hari ini menyatakan solidarity kepada Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat, dan menyifatkan tindakan UMNO itu sebagai ’menggali lubang sendiri’.

“Perkataan ini boleh terguris hati dan perasan penjual ikan seluruh Malaysia khususnya Kelantan sendiri sehingga wakil dari Kedah bersama buat bantahan.

“Sebagai ahli politik, perkara itu tambahan bebaban UMNO yang sudah ada lubang, dan korek dalam lagi lubang untuk buruk imej pandangan masyarakat.

”Dalam Islam semua kerja hahal mulia tidak kira penjual ikan ,penoreh getah, asal hahal ia mulia. Sebaliknya usaha dari rasuah kerja hina, haram bawak maksiat. Saya bersimpati dengan calon Manik Urai, usahawan perlu disanjung kerana kerja halal, wajib kita sokong dan senaraikan sebagai usahawan mulia, berdikari dan jati diri,” katanya pada sidang media selepas meghadir demonstrasi peraih ikan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Pas akan mengadakan forum penerangan mengenai isu royalti minyak yang dinafikan Umno-BN kepada rakyat Kelantan.

”Beri kesedaran kepada rakyat bahawa petrol di Kelantan memang wujud. Alasan pusat bahawa klantan tidak dapat petrol sebab kawasan bertindih. Peliknya kawsan bertindih tapi dia makan seorang tidak boleh beri pada Kelantan. Kalau bertindih tidak perlu makan la..mintak lah bank negara ke bank antarabangsa.

”Tapi kawasan JDA dikatakan bertindih tidak boleh Kelantan, pusat makan. Mu makan aku tak boleh, barang aku punya. Tidak logik, kena ada forum atau wacana untuk terangkan dan tambah kesedaran rakyat terhadap negara,” katanya.

TVA

Friday, July 10, 2009

Polis Arah Bilik Gerakan PKR Ditutup, Bendera Diturunkan - TVA

Ketua Pengarah Pilihanraya PKR, Saifuddin Nasution mengutuk tindakan polis mencabuli sistem demokrasi apabila mengarahkan supaya bilik gerakan parti itu untuk pilihanraya kecil Manek Urai ditutup dan semua bendera diturunkan.

Dalam kejadian itu, bilik Gerakan PKR diserbu oleh pegawai Polis bernama ASP Suzaimi yang mengarahkan semua bendera PKR diturunkan dengan alasan Pakatan Rakyat masih belum berdaftar sebagai entiti politik.

ASP Suzaimi juga memberitahu petugas PKR bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengarahkan Ketua Polis Kelantan untuk memastikan tiada sebarang logo atau bendera parti itu diguna atau dinaikkan pada pilihan raya kecil itu.

Menurut Saifuddin, BN telah memperalatkan pihak polis untuk menghalang PKR daripada memberikan sokongan kepada Pas.

"Tindakan menghalang penyertaan aktif parti-parti rakan khasnya PKR dalam membantu PAS pada pilihanraya kecil Manek Urai bermotif politik dan mencabul hak asasi demokrasi secara nyata,"katanya pada sidang media di Markas Pas.

"Penyertaan parti-parti politik sahabat dalam Pakatan rakyat dalam mana-mana pilihan raya kecil adalah elemen biasa dalam amalan politik di Malaysia dan telah dipraktiskan dalam pilihan raya kecil sebelum ini,"katanya.

Menurutnya, tindakan polis itu adalah penyalahgunaan kuasa dan melampaui perlembagaan persekutuan, perlembaagn negeri serta Akta dan peraturan pilihnaraya berkaitan.

Saifuddin berkata sikap pilih kasih polis dalam melayan pembangkang dan Barisan Nasional begitu ketara pada setiap pilihanraya dan trend itu berteruskan di Manek Urai.

Saifuddin berkata PKR tidak harus dihalang memberi sokongan dan kerjasama kepada PAS kerana Kod Etika Pilihanraya dengan jelas menyatakan tidak harus ada larangan untuk calon mendapat sokongan atau bantuan dari parti-parti sekutunya.

"Sebaliknya kod etika Pilihanraya dengan jelas menurut perkara 6.2 (b) menyebut semua calon, ejen pilihanraya, parti politik dan pekerja serta penyokong calon dan parti politik....tidak boleh menggunakan kenderaan atau alat-alat komunikasi milik kerajaan untuk tujuan berkempen," katanya.

Ringkasnya, dari segi prinsip kemudahan jentera dan institusi milik kerajaan adalah dilarang daripada digunakan atau disalahguna bagi tujuan dan kepentingan sempit politik kepartian namun peruntukan itu tidak langsung diendahkan oleh BN dan dibenarkan secara terbuka oleh polis.

"Di Manek Urai, kita lihat penglibatan yang sangat ketara oleh agensi kerajaan seperti Risda, masa inilah dia bagi bantuan anak benih getah, bagi bantuan subsidi. Felcra, Jabatan Pembangunan Persekutuan negeri, Jabatan Pelajaran, Jabatan Kesihatan, JAKIM semuanya menjadi sebahagian kempen BN yang sesungguhnya berlawanan dengan pengendalian pilihanraya yang bersih dan adil," kata saifuddin.

TVA

Thursday, July 9, 2009

Manek Urai; Khairy elak jawab isu utama - TVA

EXCO Kerajaan Negeri Kelantan Husam Musa berkata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin cuba mengalihkan isu royalti minyak Kelantan dengan menuduh kononnya beliau menghalang timbalan presiden PAS berkempen di Manek Urai.

Menafikan tuduhan Khairy, Husam berkata beliau sekadar ahli jawatankuasa (AJK) pusat PAS dan tiada kuasa menghalang Nasharuddin Mat Isa berceramah pada pilihanraya kecil DUN tersebut yang sedang berlangsung hingga Selasa depan.

"Saya ingat dia (Khairy) nak larikan perhatian daripada isu royalti minyak. Royalti minyak yang dia kena jawab. Ini Umno yang buat," kata beliau.

"Kita tak ada sekat sesiapa. Mungkin dia (Nasharuddin) ada kerja lain, (jadi) dia tak datang lagi. Di Parlimen pun dia tak pergi," katanya apabila diminta mengulas isu ketidakhadiran pemimpin kanan PAS itu yang dijadikan modal kempen Umno di Manek Urai.

"Takkan di Parlimen pun saya yang larang. Mungkin sehari dua lagi (dia datang)," kata Husam lagi, yang kalah di tangan Nasharuddin sewaktu bertanding merebut jawatan nombor dua itu pada muktamar PAS, awal bulan lepas.

Susulan perebutan itu, Khairy mendakwa Husam "berdendam akibat kalah" di tangan penyandang jawatan tersebut dan dilaporkan mengarahkan Nasharuddin dilarang.

Ditanya sama kemunculan Nasharuddin beberapa hari lagi boleh meyemarakkan semula isu kerajaan perpaduan yang cuba di bawa oleh Umno di Manek Urai Husam berkata:"Modal ini tidak tahan lama. Kita akan tumpu pada isu royalti minyak."

Petronas sebelum ini berjanji akan memberi penjelasan kepada kerajaan PAS Kelantan berhubung tuntutan royalti minyak bernilai RM1.7 bilion, menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

TVA

Zaid: Najib harus jelaskan isu Altantuya, royalti - TVA

KUALA KRAI, - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dalam ceramah pertamanya di atas pentas Pakatan Rakyat meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menjelaskan isu royalti minyak untuk Kelantan, isu pembunuhan Altantuya Shariibuu (gambar) dan kontroversi pembelian kapal selam.

Najib diminta supaya berterus terang kepada rakyat Kelantan berkaitan isu tuntutan royalti minyak oleh kerajaan negeri yang didakwa tertunggak sejak 2004 dengan anggaran nilaian berjumlah RM1 bilion.

Ceramah Zaid, bekas anggota Parlimen Kota Bharu itu diadakan di kampung Lela Jasa, dekat sini. Turut hadir adalah Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub, serta beberapa kepimpinan PAS kawasan.

Berbeza dengan siri kempen pilihan raya kecil Penanti, isu Altantuya masih belum dihalang dari dibicarakan.

Dalam ceramah itu juga, Zaid menyelar sikap pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) merendah-rendahkan karektor calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, tidak mempunyai latar belakang akademi sebagai serangan peribadi tidak berasas.

Beliau berkata, prinsip Pakatan Rakyat jauh berbeza dengan BN dalam memilih calon yang mengutamakan kualiti penampilan calon dari kepelbagaian sudut selaras dengan kehendak rakyat.

Zaid merujuk kepada sejarah ketamadunan kerajaan Islam zaman Rasulullah yang berjaya mentadbirkan negara dengan telus dan adil kepada seluruh masyarakat tanpa mendapat kelulusan ijazah universiti.

“Pengajian tinggi tidak penting. Yang penting ialah pengalaman, sebab pengalaman tidak akan didapati walau mengaji setinggi manapun. Kerajaan di zaman Rasulullah dulupun tidak terbentuk daripada individu yang berpendidikan di peringkat universiti.

“Bahkan tidak ada universiti pada zaman nabi tetapi boleh memerintah dengan telus dan adil kepada rakyat. Ada ijazahpun buat apa kalau banyak putar belit yang akhirnya menyusahkan rakyat,” katanya.

Melalui ceramah sulung beliau selepas menyertai PKR, Zaid berkeyakinan rakyat Manek Urai memerlukan calon yang benar-benar bertanggungjawab dan tidak semestinya mempunyai pendidikan tinggi.

Mohd Fauzi Abdullah, seorang pemborong ikan di Kuala Krai, dipilih sebagai calon pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai tidak mempunyai latar belakang berpendidikan tinggi, sering menjadi modal serangan BN.

Fauzi dibezakan dengan calon BN Tuan Aziz Tuan Mat merupakan bekas pengurus bahagian pemantauan projek Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang mempunyai kelulusan ijazah.

Sementara itu, Salahuddin memberitahu akan terus memperjuangkan nasib rakyat bersama ahli parlimen Pakatan di Dewan Rakyat yang dikatakan terbeban dengan cengkaman kadar kenaikan insuran kenderaan awam.

"Satu Malaysia, rakyat diutamakan adalah slogan retorik Najib mengaburi mata rakyat. Mana realiti slogan itu? belumpun sampai setengah tahun jadi perdana menteri unsur cengkaman terhadap rakyat sudah mulai nampak.

“Insya-Allah kami akan serang habis-habisan perkara ini dalam sidang bajet bulan sepuluh nanti supaya kerajaan kaji balik insuran kereta dan motosikal,” jelasnya.

Kadar kenaikan insuran kereta dan motosikal melebihi 100 peratus sebelum ini menjadi rungutan rakyat rasa terbeban.-Malaysian Insider

TVA

Wednesday, July 8, 2009

Keadilan Akan Bantu Kemenangan PAS - TVA

Naib Presiden KEADILAN, Azmin Ali berkata parti itu telah diberikan tanggungjawab untuk menumpukan jenteranya di tiga daerah mengundi dalam kawasan DUN Manek Urai bagi memastikan kemenangan PAS dalam pilihanraya kecil itu.

"Kita akan membantu untuk memastikan pengundi Manek Urai yang menetap di luar daerah termasuk di Kuala Lumpur yang berjumlah hampir 1,700 orang pulang mengundi. Kita akan cuba hubungi seramai yang mungkin untuk mengundi pada 14 Julai nanti," katanya.

Menurutnya, selain isu di peringkat negeri yang memerlukan kepimpinan telus dan bertanggungjawab, di peringkat nasional seperti isu royalti minyak di Kelantan yang telah berlarutan sejak sekian lama.

"Di manakah komitmen Perdana Menteri tentang soal 1Malaysia apabila Pakatan Rakyat (PR) berjaya membongkar penyelewengan di mana royalti minyak untuk rakyat Kelantan tidak pernah dibayar. Sekiranya royalti ini dibayar sudah tentulah Kelantan akan jauh lebih maju dan boleh dibangunkan," katanya.

Justeru itu katanya, PR akan memberikan kesedaran kepada rakyat di Manek Urai bukan sekadar mengekalkan kemenangan tetapi memberi isyarat yang jelas kepada kerajaan dan menuntut kerajaan menunaikan janji sepertimana yang dilaungkan melalui konsep 1Malaysia dan pembaharuan yang ingin dilakukan.

TVA