Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, July 16, 2009

Dulu kata letak kayu pun Umno menang! Penarik Beca

Kali terakhir PAS menang pilihan raya kecil di Kelantan ialah dalam pilihan raya Pulai Chondong pada 7 Januari 1997.

Calon PAS, Zulkefli Mamat memperolehi 4,778 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Yusoff Hamzah yang mendapat 4,660 undi. Menang dengan majoriti tipis sebanyak 118 undi sahaja. Kira-kira kira-kira 75.43 peratus pengundi keluar mengundi.

Sama seperti calon yang dikemukakan dalam pilihan raya kecil Manek Urai semalam, BN pada masa itu juga mengemukakan yang terbaik dan hebat di mata rakyat.

Yusoff adalah bekas Timbalan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar). Bagaimanapun, PAS mengemukakan calon yang tidak dihina pekerjaannya.

Zulkefli adalah bekas pensyarah Institut Teknologi Mara (ITM) Kelantan.

Pulai Chondong adalah kubu tradisi BN sejak 1959 sehinggalah dikuasai Parti Semangat 46 pada pilihan raya umum 1990.

Selepas itu, dalam pilihan raya kecil Semerak pada 11 Ogos 1997, PAS kalah lagi. Calon BN, Datuk Kamaruddin Mohd Noor menewaskan calon PAS, Wan Fauzi Wan Hussain.

Kamaruddin berjaya mendapat 5,370 undi untuk meraih majoriti 778 undi menewaskan Wan Fauzi yang mendapat 4592 undi. Pilihan raya tersebut memperlihatkan jumlah keluar mengundi terbesar di dalam sejarah pilihan raya di negara sejak pilihan raya pertama diadakan, iaitu 82.42 peratus daripada 12,342 orang pengundi.

Kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil di Kelantan berulang lagi dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir 6 Disember 2005. Dalam pilihan raya tersebut, calon PAS Hanifa Ahmad hanya mendapat 7,290 undi dan tewas kepada calon BN, Hanafi Mamat yang mendapat 7,419 undi. Majoriti yang diperolehi oleh Hanafi ialah 129 undi.

Dalam pilihan raya itu, calon yang dianggap boleh menang bila-bila masa di Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali hanya mendapat 414 undi sahaja dan hilang wang pertaruhan. Ibrahim adalah antara hulubalang utama Umno dalam pilihan raya kecil Manek Urai baru-baru ini.

Sama seperti yang berlaku dalam pilihan raya kecil Pulai Chondong, calon PAS dalam pilihan raya Semerak dan Pengkalan Pasir tidak dihina pekerjaannya.

Berbeza dengan ketiga-tiga calon PAS dalam pilihan raya kecil di Kelantan itu, calon PAS dalam pilihan raya kecil Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah terpaksa berhadapan dengan ayat-ayat cela terhadap pekerjaannya sebagai peraih ikan (peraih ikan adalah istilah yang digunakan untuk pemborong ikan di Kelantan).

Perkataan seperti bahaya dan terseleweng digunakan untuk menolak Fauzi. Pada 28 Jun lalu, Malaysiakini melaporkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata:

"Calon kita nak bela umat Islam dan bawa obor perpaduan. Beliau seorang yang berpengalaman, ada rekod kerja yang baik di sini, bukan seorang penjual ikan, dan berkelulusan tinggi".

"Penting untuk pilih calon yang berilmu kerana dialah yang nak bimbing masyarakat di sini, tak ada ilmu bahaya kerana mungkin dia terseleweng".
Kenyataan itu tanpa berselindung menggambarkan bahawa memilih penjual ikan yang tidak berkelulusan tinggi mengundang bahaya kerana "mungkin dia terseleweng".

Selepas itu, pada 2 Julai, Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan menggambarkan PAS memperlekehkan mentaliti penduduk Manek Urai kerana memilih pemborong ikan sebagai calon.

Pada 6 Julai pula, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata, berkata calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, adalah bekas seorang pegawai Kesedar, manakala lawannya Mohd Fauzi Abdullah dari Pas adalah seorang pemborong ikan.

Di samping bersikap sinis terhadap pekerjaan Fauzi, Umno terus meratib-ratib bahawa mereka meletakkan calon terbaik. Diriuh-rendahkan bahawa Tuan Aziz adalah Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Program Kesedar. Bingitlah Manek Urai dan satu Malaysia dengan tayangan kehebatan Tuan Aziz yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dari Universiti Teknologi Malaysia.

Mereka fikir penghinaan itu dihempuk ke atas kepala Fauzi sahaja. Mereka tidak sedar ramai yang merasa terhina termasuk aku yang tak mengaji ni. Awat? Mentang-mentang aku ni tak dak pelajaran, hampa ingat hampa boleh pedajai aku dengan ayat demi ayat yang sarkastik tu?

Berapa pun majoriti yang diperolehi Fauzi yang dihina pekerjaannya, ia tetap mengalahkan Tuan Aziz yang terbaik serta hebat dari segi kelulusan dan pengalaman.

Setelah PAS Kelantan tidak pernah menang pilihan raya kecil di negeri itu sejak kira-kira 12 tahun lalu, akhirnya ia menang juga. Lantak pi lah majoriti seciput mana pun. Dulu kalah sekarang menang.

Umno mungkin melihat majoriti PAS yang dikurangkan itu sebagai petanda akan bersinarnya cahaya di hujung lubang gelap. Tak kisah. Silakan berpesta.

Bagi orang-orang tak mengaji seperti saya, kekalahan BN di Manek Urai memperlihatkan permulaan kehancuran kepercayaan yang dibagakkan oleh Umno selama ini. Orang-orang Umno sebelum ini selalu berkata, kalau kami letak kayu sekalipun, BN tetap menang. Begitu tebal kepercayaan itu di dalam jiwa mereka.

Kali ini, calon terbaik Umno tumpas di kaki seorang pak lebai kampung yang dihina pekerjaan halalnya.

Lebih baik jual ikan dari jual maruah Melayu!

Penarik Beca

No comments: