Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, July 15, 2009

Fauzi: Terima Kasih Rakyat, Saya Akan Pikul Tanggungjawab Dengan Amanah - TVA

Pemenang Pilihanraya Kecil N41 Manek Urai Mohd Fauzi Abdullah mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada rakyat kerana tidak termakan sogokan dan omong politik Umno-BN.

Beliau berkata kepercayaan yang diberikan pengundi kepada Pas akan dipikulnya dengan rasa amanah dan tanggungjawab.

“Saya bersyukur dengan kemenangan ini. Saya berterima kasih kepada semua, khususnya kepada petugas-petugas yang bertungkus-lumus disebalik persaingan Umno yang sengit. Kita dapat kekalkan kerusi N41 Manek Urai diatas kepercayaan rakyat dan sokongan dari Pas dan Pakatan Rakyat kita dapat kejayaan hari ini” kata Fauzi.

Tepat jam 9.01 malam, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) mengumumkan kerusi N41 Manek Urai dimenangi calon Pas-Pakatan Rakyat Mohd Fauzi Abdullah.

PRK Manek Urai menyaksikan pertarungan sengit, dimana Pas meraih 5,348 undi manakala BN meraih 5,283 undi. Pas mendahului BN dengan 65 majoriti.

Fauzi menujukan kemenangan ini kepada kepimpinan dan akar umbi Pas yang telah memberi kepercayaan kepada beliau.

“Memang sengit pilihanraya ini, walaupun kecil, tetapi semua menteri turun ke Dun Manek Urai ini,” katanya.

“Saya ucap terima kasih kepada rakyat yang tidak termakan dengan sogokan dan janji-janji yang dibuat, yang saya fikir kerana ketahanan diri mereka yang kuat. Faktor kemenangan ini juga kerana hubungan rakyat dengan akar umbi kerana kalau kita tidak hampir kepada rakyat, kita tidak mungkin dapat mempertahan Dun Manek Urai,” tambah Fauzi.

Sementara itu, Exco Kelantan Husam Musa berkata Pas mampu meraih sokongan lebih besar sekiranya politik wang Umno-BN dibendung SPR.

“Kemenangan ini sesuatu yang berharga pada kami, kerana politik wang amat berleluasa, tetapi rakyat mampu bertahan dan Pakatan Rakyat mencapai kemenangan pusingan ke enam. Kalau kena tiga lagi pusingan, dengan izin Allah, Umno tumbang,” tegas Husam.

“Secara teori, Umno percaya menjadi alat untuk memenangkan kawasan luar bandar, tetapi kerana kekuatan iman dan kefahaman politik para pengundi, rakyat dapat bertahan disebalik serangan wang yang begitu dahsyat sekali,” katanya.

“Saya ingat BN tentu amat kecewa sekali. Dengan pelaburan sebesar itu mereka masih gagal. Ini satu pukulan hebat kerana walaupun dengan 11 tawaran Perdana Menteri, masih mereka belum menang disini,” kata Husam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar yang mengikuti perkembangan Manek Urai dari Nottingham, United Kingdom menyaggah dakwaan media perdana bahawa sokongan terhadap Pas semakin terhakis.

“Tidak sekali-kali berkurangan. Di kawasan Manek Urai, dengan rakyat yang banyak bergantung kepada kerajaan dari segi bantuan, namun mereka masih memilih calon Pakatan Rakyat – walaupun dengan majoriti yang kecil – tetapi ini adalah petanda positif rakyat Kelantan masih bersama-sama Pas dalam apa keadaan sekalipun,” tegas beliau.

“Kita bersyukur rakyat telah cuba dirasuahkan tetapi rakyat masih lagi berpegang kepada perjuangan bersama Pas, disebalik ugutan dan rasuah dari pihak Umno-Barisan Nasional,” tambahnya.

TVA

No comments: