Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, July 15, 2009

BN terus ditolak rakyat, PAS perlu kaji menang tipis - Harakah

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Hrkh)-Penasihat Jentera Operasi Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Dato' Wan Rahim Wan Abdullah berpandangan PAS perlu melakukan post mortem serta membuat kajian secara mendalam mengenai aliran pengundi yang tidak memihak kepada PAS dalam Pilihan Raya Kecil Manek Urai pada 14 Julai lalu.

Mengulas mengenai kemenangan tipis PAS dengan majoriti 65 undi, Wan Abdul Rahim menolak faktor golongan muda yang tidak keluar mengundi yang menyebabkan kemerosotan majoriti berbanding Pilihan Raya Umum ke 12 lalu.

Jelasnya, berdasarkan keputusan yang di perolehi di beberapa peti undi seperti Manek Urai Baru PAS menang dalam semua empat saluran kecuali saluran dua.

Justeru katanya PAS perlu membuat semakan faktor yang menyebabkan golongan berusia menolak PAS.

Dalam pada itu beliau juga tidak menolak kemungkinan kemenanganan tipis tersebut disebabkan kelemahan PAS di Kuala Krai yang baru sahaja selesai membuat perubahan kepimpinan di peringkat kawasan.

Sementara itu beliau juga berpandangan faktor calon sebelum ini, Ismail Yaakub meninggalkan suatu 'kekosongan' kepada rakyat Manek Urai.

"Pak Su Wil merupakan satu 'lagenda' yang cukup sinonim dengan rakyat Manek Urai. Walaupun pengganti beliau, Abe Uji merupakan pilihan yang terbaik beliau masih perlukan pendedahan.

"Dan saya yakin Abe Uji akan dapat meneruskan usaha serta kesinambungan yang diteruskan oleh Pak Su Wil dengan jalinan kemesraan dengan rakyat akar umbi,"katanya.

Dalam pada itu, Wan Abdul Rahim sewaktu dihubungi Harakah turut merakamkan terima kasih kepada seluruh pimpinan Pakatan Rakyat yang turut berganding bahu dalam memastikan kemenangan PAS.

Beliau menegaskan, kemenangan tersebut membantu PAS dan meneruskan kesinambungan kekuatan parti di kubu kuat PAS itu.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Barisan Nasional(BN) kerana dapat mengekalkan suasana yang 'lunak' dan 'persaudaraan' dalam tempoh berkempen tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Jelasnya dengan kemenangan tersebut, BN telah mengalami nasib ditolak oleh rakyat di semua pelusuk negara dalam siri-siri pilihan raya kecil oleh masyarakat pelbagai kaum.

"Walaupun di Manek Urai 99.9 peratus terdiri daripada kaum Melayu, nampaknya BN terus ditolak voleh rakyat. Ini memberikan peluang serta potensi yang cukup baik kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk mencuba mencapai kemenangan yang lebih baik dalam Pilihan Raya Umum ke 13,"katanya. - azm _

Harakah

No comments: