Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, June 11, 2008

Kenaikan Harga Minyak: AMK Akan Gerakkan Protes Seluruh Negara

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) membidas tindakan kerajaan Barisan Nasional kerana meneruskan ‘tradisi membebankan rakyat’ berikutan kenaikan harga petrol dan diesel masing-masing pada kadar RM2.70 dan RM2.58 seliter berkuatkuasa semalam.

Ini juga disusuli dengan kenaikan tarif elektrik yang bakal menyusul pada tarikh 1 Julai 2008.
Pengumuman Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi seperti biasa akan disusuli oleh kenyataan ‘Malaysia masih lagi menjadi antara negara yang menawarkan harga bahan api terendah di rantau ini’, dengan membandingkan Malaysia dengan Singapura dan Thailand yang bukan merupakan negara pengeluar minyak.

AMK yakin tindakan kerajaan yang meletakkan beban di bahu rakyat untuk menanggung kenaikan minyak mendadak pasti akan disusuli dengan kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan di seluruh negara.

Semasa membentangkan Bajet 2008, kerajaan telah memperuntukkan RM12 bilion hasil daripada penjimatan subsidi petrol serta diesel untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam dan penubuhan Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam (KWAPA) namun hasil yang diharap-harapkan belum tercapai.

Malah, baru-baru ini diumumkan kadar tambang bas pula akan dinaikkan. Justeru wujud kesangsian sama ada usaha-usaha kerajaan ini yang kononnya mahu membelanjakan penjimatan subsidi petrol dan diesel ini ke arah kesejahteraan rakyat adalah benar atau sebaliknya memandangkan Perdana Menteri begitu ghairah dengan projek-projek mega dan koridor ekonomi yang menelan belanja puluhan billion ringgit?

Tindakan terbaru kerajaan ini jelas menggambarkan tiada kepedulian sosial yang diambil oleh kerajaan di dalam mengurus ekonomi negara. Pastinya generasi muda ialah kumpulan sasar yang paling terkesan hasil daripada kenaikan mendadak ini dalam keadaan inflasi terus parah tanpa kawalan bijak oleh kerajaan.

Ini juga menggambarkan bahawa pengurusan ekonomi negara berada di tahap yang lemah, dalam keadaan pelaburan asing jatuh merudum pada aras 4% dan indeks Gross Domestic Product (GDP) hanya di aras 9% berbanding negara-negara Asia yang lain sebagaimana yang didedahkan oleh Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Singapura 20 Mei lepas.

AMK menggesa agar perincian menyeluruh Laporan Kewangan Tahunan Petronas, termasuk sumber keuntungan dan perbelanjaan didedahkan kepada umum melalui Parlimen agar rakyat boleh menilai keupayaan kerajaan mentadbir urus keuntungan Petronas dengan saksama.

AMK juga ingin menegaskan komitmen AMK untuk menggerakkan protes rakyat di seluruh negara hasil daripada kenaikan mendadak ini agar kerajaan dapat melihat ketidakcekapan mereka mengurus ekonomi negara sama sekali tidak boleh diterima majoriti rakyat Malaysia.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Dipetik dari;

http://www.angkatanmuda.org/

No comments: