Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, June 17, 2008

TAMBAK LAUT - SIASAT KERAJAAN NEGERI MELAKA

Oleh – Md. Yusof Abdullah

Kerja-kerja tambakan laut di sepanjang pantai negeri Melaka telah mencapai hamper 1/3 dari keseluruhan jumlah pantai sepanjang 96 km itu. Laut Melaka telah mula ditambak mulai pertengahan tahun 1980 an dengan pembangunan kawasan Melaka Raya. Penambakan berikutnya dibuat sekitar tahun 1998 dengan pembinaan ‘Pulau Melaka’, pulau buatan berkembar seluas 40 hektar, yang pertama di Malaysia. Pembangunan pulau yang menelan belanja RM 2 billion ini merangkumi pembinaan 1,518 unit kedai pejabat, 92 unit lot banglo, 1,012 unit condotel, pusat jeti, kompleks komersial serta pejabat ( New Straits Times-27 Okt 1997).

Menurut laporan, pada 31 Januari 2005, sebanyak 1,419 unit telah dijual dengan penghasilan sebanyak RM 195.3 Juta telah diterima dari transaksi tersebut oleh Pulau Kembar Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik Talam.Walaubagaimanapun sehingga kini, projek ‘Pulau Melaka” tidak menunjukkan sebarang kemajuan selepas 10 tahun dijalankan. Yang pasti, sejumlah unit bangunan yang dibangunkan kini terbengkalai dan hampir 95% kawasan dari jumlah kawasan tersebut ditinggalkan tanpa penyelenggaraan kecuali di Masjid Selat, satu-satunya binaan yang siap dan berpenghuni ( sewaktu Solat Jumaat dan bilangan kecil waktu solat 5 waktu ).

Kerajaan negeri Melaka tidak ‘ghairah’ dalam memastikan pemaju untuk menyiapkan projek tersebut berbeda dengan waktu pelancarannya yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir pada tahun 1996. Kesannya adalah ratusan pembeli yang membuat pinjaman untuk memiliki premis tersebut kini diburu dengan beban hutang. Tanpa penyelenggaraan, pemandangan di kawasan tersebut serta persekitarannya amatlah memalukan dengan cerucuk-cerucuk yang karat terpacak serta bangunan separuh siap yang semakin buruk serta luntur oleh cuaca.


Binaan separuh siap yang ditinggalkan memburukkan pemandangan



Deretan kedai pejabat yang tidak dapat disiapkan oleh pemaju.

Projek ‘Pulau Melaka’ bukan sahaja gagal disempurnakan tetapi lebih memburukkan keadaan bila kesan yang negatif turut terpalit kepada kawasan sekitarnya. Tambakan yang dibuat telah memusnahkan alam sekitar serta ekologi di kawasan lain sepanjang pantai Melaka sehingga ke Pantai Puteri di Tanjong Keling yang terletak 15 KM dari ‘Pulau Melaka’. Aliran ombak yang berubah telah memusnahkan pantai Limbongan, Kelebang Kecil, Kelebang Besar, Tanjong Keling serta Pantai Puteri di pasir-pasir pantai telah dihakis dan akibatnya banyak kos terpaksa dibelanjakan bagi membina benteng-benteng konkrit untuk mengelakkan robohan tanah daratan.


Kos membina dan menyelenggara benteng ini menelan ribuan ringgit kerana benteng yang dibina kerap roboh oleh pukulan ombak yang kuat tanpa benteng semulajadi iaitu pasir pantai.Apa yang dikesalkan, kejadian ini tidak memberi kesan kepada kerajaan negeri Melaka di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam. Disebalik kejadian ini, kerajaan ini bukan mengambil tindakan memperbaiki keadaan tetapi menambah-luaskan kawasan tambakan dengan mensasarkan tambakan dari Melaka Raya melalui Kota Laksamana sehingga ke Tanjong Keling ( Lereh ). Pada tahun 2002 Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar ( EIA ) mendapati bahawa tambakan laut yang dilakukan di sepanjang pantai Melaka dari Kuala Linggi hingga ke Sungai Rambai sepanjang 96 km menyebabkan hidupan laut dan pinggir pantai negeri tersebut terjejas serta mengganggu eko-sistem kawasan pantai tersebut. Kawasan pantai yang tersebut mengambil masa yang agak lama untuk pulih. ( Berita Harian 2002 ). Namun nyata, kerakusan kerajaan negeri pimpinan Ali Rustam tidak mempedulikan kesan jangka panjang ini dan meneruskan kerja-kerja penambakan laut ini.



Kawasan tambak yang luas beratus-ratus hektar


Penambakan laut yang berterusan disepanjang pantai ( yang terbesar di Malaysia ), memberikan kesan kepada banyak sektor. Di samping kerosakan ekologi dan struktur laut persisiran pantai, projek tambak laut ini ‘memaksa’ nelayan pesisir pantai untuk meninggalkan aktiviti perekonomian mereka. Di sepanjang kawasan ini terdapat sebanyak 9 pengkalan bot nelayan yang ‘terkambus’ oleh tambakan laut ini. Ini melibatkan seramai 250 ketua keluarga yang bergantung hidup kepada penangkapan ikan dan udang ( termasuk udang geragau untuk belacan dan cencaluk ) di pesisir pantai. Ini bermakna kerajaan negeri ‘memaksa’ 250 keluarga untuk berhadapan dengan masalah ekonomi bagi menyara hidup. Apalah ertinya saguhati yang bernilai RM 3000 ke RM 8000 berbanding dengan kehilangan pekerjaan seumur hidup yang menjadi darah daging mereka selama ini? Rata-rata kalangan nelayan meluahkan rasa kesal mereka dengan tindakan kerajaan negeri ini. Malah ada nelayan usia emas yang mengalirkan air mata memikirkan bagaimana untuk meneruskan pencarian rezeki untuk keluarga yang masih menggantung harapan kepada mereka. Yang paling dikesalkan bila Ketua Menteri, Datuk Seri Ali Rustam menyebut bahawa kerja-kerja penambakan laut di kawasan Kelebang adalah untuk tujuan pembinaan kawasan ‘rekreasi’, sesuatu yang mengejutkan kerana beliau sanggup ‘mengorbankan’ 250 keluarga kerana satu tujuan yang bukan keutamaan pada masa ini.

Bersama Pengerusi J/Kuasa bertindak nelayan Kelebang


Kerajaan negeri sepatutnya mengambil kira laporan EIA yang pernah dibuat pada tahun 2002 sebelum melanjutkan kerja-kerja ini. Apatah lagi, kawasan yang ditambak sudah meliputi keluasan lebih dari ratusan hektar. Sesuatu yang tidak wajar dilakukan oleh pemerintah sesebuah negeri apabila tiada pertimbangan dibuat untuk rakyat terbanyak yang terbabit dengan sesuatu projek yang dibuat. Kegagalan projek ‘Pulau Melaka’ seharusnya dinilai oleh kerajaan negeri sebelum melanjutkan dengan projek berikutnya. Tetapi kegagalan yang ‘merugikan’ ratusan pembeli itu rupanya tidak dipedulikan oleh kerajaan negeri. Sebaliknya mereka dengan rakus telah ‘membunuh’ lebih ramai rakyat di negeri ini dengan ‘menutup periuk nasi’ mereka tanpa mempertimbangkan alternatif yang boleh diberikan kepada mereka. Mereka tetap nelayan yang mahu bekerja di laut dan peralatan dan perkakasan mereka tidak sesuai untuk digunakan untuk mencari rezeki di darat. Malah, perkakasan dan peralatan mereka juga tidak mampu digunakan untuk menempuh laut dalam. Begitu juga dengan keperluan asas mereka untuk jeti dan sebagainya tidak dipedulikan oleh kerajaan negeri.

Di samping kesengsaraan yang dihadapi oleh nelayan pesisir pantai, tambakan laut ini juga mempunyai kesan lain yang tidak kurang pentingnya. Kebelakangan ini kerap berlaku banjir di kawasan huluan walaupun dengan kadar hujan lebat yang sekejap. Sungai tidak dapat menampung aliran air dari kejadian hujan kerana arus yang perlahan. Sungai Melaka merupakan sungai utama yang melingkari negeri ini dan menampung kebanyakan aliran air sungai dari kawasan-kawasan di huluan. Kesan tambak laut menyebabkan hiliran sungai menjadi sempit dan tidak dalam. Justeru itu aliran air keluar ke laut tidak cukup kuat untuk mengalir dengan laju dan mengakibatkan limpahan air keluar dari sungai dan membanjiri banyak kawasan termasuk pesisiran Bandar Alor Gajah, Berisu dan sebagainya serta kawasan sepanjang sungai Melaka bermula dari Empangan Durian Tunggal.

Mungkin ada sesuatu ‘imbuhan’ yang diberi kepada pihak tertentu disebalik kerakusan kerajaan negeri meneruskan kegiatan tambakan laut ini. Kejadian terbaru, projek mengorek bijih di kawasan 1 batu nautika dari pinggir pantai Kuala Linggi juga akan menerbitkan satu lagi fenomena kerosakan alam semula jadi di kawasan laut Melaka. Di samping nelayan tidak dapat beroperasi, kesan korekan ini pasti menggugat ekologi dan struktur bumi di kawasan tersebut dan tidak mustahil boleh memusnahkan kawasan perkampungan nelayan di Kuala Linggi serta Kuala Sungai Baru. Dengan kontrak selama 7 tahun yang ditawarkan kepada syarikat terbabit bermakna seluruh ‘karangan laut’ serta dasar laut di Kuala Linggi akan musnah dan berubah bentuk. Yang pasti, tiada lagi hidupan laut yang akan mendiami kawasan tersebut dan ini bermakna nelayan pantai akan kehilangan sumber pendapatan mereka. Sekali lagi saguhati ditawarkan kepada nelayan pada nilai RM 500 ke RM 1600. Apakah ini ‘umpan’ yang digunakan oleh kerajaan negeri untuk’membunuh’ nelayan di kawasan ini?

Nyata dasar kerajaan untuk memastikan kajian EIA yang dibuat dengan objektif untuk melihat kesan pembangunan sesuatu projek kepada persekitaran ; alam sekitar dan juga manusia hanya menjadi mitos. Kajian yang diwartakan di bawah seksyen 34A, Akta Alam Sekitar 1974 tidak dipedulikan oleh Kerajaan Negeri Melaka. Sepatutnya kajian ini mampu memberikan maklumat kepada kerajaan untuk sekurang-kurangnya mencari alternatif yang sesuai di dalam pelaksanaan projek ini. Jika kerajaan negeri Melaka prihatin dengan nasib pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan projek ini, pasti satu plan yang komprehensif dan berasas akan dibuat dengan mengambil kira semua faktor kepentingan sosial dan ekonomi semua pihak.

Tetapi yang nyata, kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Ali Rustam hanya mengambil kira kepentingan pemaju / kerajaan tanpa mempedulikan masalah dan masa depan pihak nelayan, peniaga di tepian laut serta mereka yang menggantung harapan untuk mencari rezeki dari laut yang terbentang. Justeru itu, adalah wajib untuk kerajaan negeri Melaka khususnya Ketua Menteri Melaka disiasat bagi mendapatkan rasional serta jawapan atas tindakan rakus mereka untuk menambak laut ini.

2 comments:

Anonymous said...

SAYA NAK MENDAPATKAN NO PHONE BAGI SPECIAL REPORT SAYA.

SAYA HARAP DAPAT INTERVIEW PENDUDUK DI SEKITAR KLEBANG,KG PINANG DAN PEMBELI RUMAH.

ia untuk digunakan dalam news ntv7.

APA2 BOLEH CONTACT SAYA DI zuliskandar@ntv7.com.my
atau no phone saya di
012-2464014

Anonymous said...

Salam,

Cuma saya nak tahu, tanah tambak di kawasan pantai Klebang Besar tu milik siapa? Adakah milik kerajaan negeri Melaka atau dah jadi milik individu yang berkepentingan? Atau sudah menjadi milik Datuk Ali Rustam dan keluarganya? Tolong lakukan siasatan.