Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, September 7, 2009

Kadar sangat tidak berbaloi, sepatutnya RM3,000 seorang - Harakah

KUALA LUMPUR, 7 Sept:Saban tahun sejak 2003, Felda melalui Dato' Seri Najib Tun Razak menyalur 'duit raya' kepada peneroka sekitar RM350 -RM400. Namun hakikatnya, ia merupakan duit titik peluh peneroka sendiri dan bukannya bonus seperti digembar-gemburkan.

Malah pada kadar harga kelapa sawit sekitar RM420 satu tan, para peneroka boleh memperolehi jumlah antara RM3,000 ke RM5,000 seorang sebagai habuan duit raya di kala keadaan kos keperluan asas dan harga barangan yang meningkat.

Bagi Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Se Malaysia (Anak) Mazlan Aliman pengunaan istilah bonus atau duit raya itu juga adalah tidak tepat kerana ianya berasaskan gaji yang diterima oleh seseorang khususnya bagi kakitangan kerajaan ataupun swasta yang bekerja, sebaliknya bagi peneroka ianya merupakan hasil titik peluh mereka mengerjakan ladang kelapa sawit.

Dalam konteks peneroka Felda, mereka perlu mengerjakan tanah terlebih dahulu dan insentif yang diberikan itu adalah atas penghasilan dari ladang-ladang mereka dan penggunaan istilah itu adalah tidak tepat, katanya.

"Dengan pelbagai hutang-piutang seperti rumah, kelengkapan kerja dan bermacam-macam potongan oleh Felda...peneroka hanya menerima sekitar RM700 ke RM800 bersih sebulan.

"Dalam keadaan menyambut Aidilfitri ini dengan beban sara hidup bertambah, kadar yang diberi itu tidak mencukupi. Sepatutnya dapat RM3,000 seorang setelah Felda mendapat keuntungan berlipat kali ganda," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Hakikatnya, Felda memperolehi keuntungan yang banyak disebalik keringat yang diperah daripada peneroka, sedangkan kehidupan mereka masih berada dalam keadaan yang getir dan susah, kata Mazlan.

"Kerajaan cuba mempamerkan kepada masyarakat bahawa mereka prihatin kepada peneroka dengan memberi inisiatif 'duit raya'. Ini nak mengelabui mata tentang realiti, kehidupan peneroka yang cukup susah yang tidak dipedulikan," katanya yang juga merupakan penulis buku 'Felda Dulu Tolong sekarang Along'.

Sementara itu, beliau bersyukur buku karyanya itu telah mendapat sambutan menggalakkan dan mendapat maklum balas daripada para peneroka Felda khususnya generasi kedua yang semakin sedar tentang 'penindasan' yang dilakukan terhadap hak-hak mereka.

Baginya perjuangan generasi baru Felda masih jauh tersasar terutama kini tatkala berdepan dengan cabaran dan pelbagai masalah yang paling asas seperti perumahan, peluang pekerjaan , gejala sosial dan sebagainya. Masalah keperluan asas mereka pun masih belum selesai oleh Felda dengan sebaiknya.

"Ada generasi baru Felda ini terpaksa tinggal di atas tanah ?sekangkang kera? milik ibu bapa mereka di tanah rancangan, dan ada terpaksa menyewa rumah didalam kawasan tanah rancangan.

"Malah lebih dukacita, Felda membawa masuk buruh asing untuk bekerja sekaligus menafikan peluang pekerjaan kepada generasi baru Felda atas faktor komersil.

Mazlan berkata, Felda diasaskan bukan untuk tujuan komersil sebaliknya untuk menyusun semula masyarakat terutama orang Melayu yang tidak bertanah.

"Justeru, ada yang beranggaoan apa yang dikecapi peneroka dikira telah sampai ke tahap maksima sedangkan Felda mengaut kekayaan sebenar, hanya sedikit sahaja kekayaan itu dikembalikan kepada peneroka,"katanya.

Mazlan menambah, kempen kesedaran akan diteruskan oleh Anak bagi memastikan generasi kedua tahu akan hak-hak mereka di samping berusaha mendapat pulangan yang lebih baik berbanding sekarang.

"Himpunan Anak akan dibuat di peringkat negeri-negeri dan akan dimulakan di Trengganu selepas Aidilfitri ini. Objektifnya sebagai interaktif hubungan dua hala antara peneroka dan Anak, sebagai platform untuk menyalurkan masalah dan pandangan.

"Mereka tidak menuntut sesuatu yang bukan milik mereka. Mereka menuntut hak-hak mereka yang dinafikan Felda...itu saja," katanya.

Mazlan sebelum ini pernah membuat tawaran dan cabaran terbuka kepada Pengerusi Majlis Belia Felda (MBF), Dato' Ramli Ismail untuk berdebat mengenai isu-isu yang dibangkitnya di dalam bukunya itu.

Katanya, apa yang beliau tulis didalam buku berkenaan adalah hasil kajian yang dibuatnya selepas mengadakan lawatan hampir keseluruh rancangan Felda di Malaysia bertemu dengan masyarakat peneroka serta generasi baru Felda termasuk juga peserta Felda Plantations ( istilah digunapakai Felda ialah Buruh Plantations).

"Ia dibuat dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai generasi kedua Felda yang menghabiskan banyak masa masyarakat bawahan Felda.

"Saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan daripada perjuangan ini, jauh sekali untuk mencari kekayaan melalui perjuangan ini sebagaimana pihak tertentu yang berkepentingan serta kaya raya hasil penat lelah peneroka,? katanya.

Menurut laporan sejumlah 101,672 peneroka bersama Felda atau 90.27 peratus akan menerima RM350 seorang, berjumlah RM35.59 juta manakala seramai 10,963 atau 9.73 peratus peneroka yang tidak bersama Felda pula akan menerima RM150 seorang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.64 juta.

Harakah

No comments: