Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, September 3, 2009

Nasrudin jawab tulisan Zaid - Harakah

KUANTAN, 3 Sept: Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan menegaskan Pemuda PAS pimpinannya tidak anti hiburan sebagaimana yang digambarkan oleh Datuk Zaid Ibrahim dalam tulisannya baru-baru ini.

Apa yang dibantah oleh beliau adalah budaya leka yang dibawa oleh penyanyi dari barat berkenaan.

Zaid Ibrahim, bekas menteri ketika di dalam Umno dan baharu sahaja menyertai PKR baru-baru ini dalam tulisannya telah mempersoalkan tindakan Pemuda PAS yang mendesak supaya konsert Micheal Learns To Rock yang akan diadakan di Genting Highland dibatalkan.

Bagi Zaid PAS sepatutnya lebih menonjolkan keupayaan membuat keputusan dan mentadbir dengan lebih harmoni, lembut dan mengambil kira semua aspek kehidupan.

Ustaz Nasrudin dalam reaksi balasnya menyifatkan Zaid gagal memahami risalah yang cuba dibawa oleh Dewan Pemuda PAS. Nasrudin bertegas bahawa PAS bukan anti hiburan.

Sebaliknya, ujar Nasrudin, apa yang dibantah oleh Pemuda PAS adalah budaya leka dan alpa, cara berpakaian dan tarian yang keterlaluan, pergaulan bebas serta lagu yang lebih banyak bertemakan nafsu-nafsi.

Bagi Nasrudin, hiburan sepatutnya bersifat menyegar dan menyuburkan, menggembirakan hati yang sedih serta memberi kepuasan yang abadi.

Bukanlah hiburan yang menawarkan keseronokan timbul-tenggelam, malah tambah Nasrudin cara ini akan membuat jiwa terus hanyut dibuai fantasi.

Dalam kenyataannya, Nasrudin sempat menjelaskan bahawa motif utama bantahan Pemuda PAS adalah kerana penganjuran konsert tersebut dibuat dalam bulan Ramadhan.

Nasrudin mengaku yang hiburan adalah positif tetapi jika ia dibuat tanpa mengira masa, maka ia akan menjadi keterlaluan.

Nasrudin percaya bahawa apa yang ingin disampaikan oleh Pemuda PAS bukanlah sesuatu yang sukar untuk difahami, apalagi oleh orang seperti Zaid Ibrahim.

Nasrudin secara jelas merumuskan yang peranan beliau bersama-sama rakan pimpinan dalam Dewan Pemuda PAS adalah untuk menghidupkan jiwa anak muda dengan nilai-nilai baik dan moral, di samping beliau sendiri dan rakan pimpinan mampu memperoleh manfaat ilmu secara tidak langsung.

Dalam pada itu, janji beliau, Pemuda PAS tidaklah pula menentang hiburan secara membuta-tuli.

Harakah

No comments: