Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, September 26, 2008

574 produk disahkan bebas Melamine

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan 574 produk daripada 25 syarikat selamat serta bebas daripada bahan kimia melamine dan tidak mengandungi susu yang diperolehi dari China selepas dilakukan ujian kimia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican berkata, sehingga hari ini penyitaan ke atas produk yang disyaki di pasaran tempatan adalah melibatkan 132 produk di seluruh negara dengan nilai RM18,335.

"Semalam, jumlah produk yang diisytiharkan bebas daripada melamine ialah 324 dari 11 syarikat, tapi ia telah bertambah hari ini dan orang ramai bebas menggunakan produk tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai 53 produk yang disita oleh kementerian semalam, Dr. Ismail berkata, tujuh daripada produk berkenaan diisytiharkan selamat untuk digunakan.

"Kesemua tujuh produk itu ialah Chocolate Coated Wafer daripada jenama Passion, Oreo White Chocolate Wafer Stick daripada jenama Kraft, Mini Cornetto Chocomint & Tiramisu Flavoured daripada jenama Walls, Susu Tepung 123 Honey daripada jenama Dutch Lady, susu berperisa Strawberry daripada jenama Dutch Lady dan Susu Tepung Rumusan Bayi daripada jenama Frisolac," katanya.

Sementara itu, Dr. Ismail berkata, penyebaran wabak denggi dan chikungunya di negara ini berada dalam keadaan terkawal dan tidak membimbangkan kerana walaupun peningkatan dilaporkan berlaku di beberapa buah negeri, jumlahnya berkurangan berbanding tahun sebelumnya.

"Dari Januari hingga 20 September tahun ini, sejumlah 31,536 kes demam denggi dengan 72 kematian dilaporkan, iaitu melibatkan penurunan sebanyak 4,287 kes berbanding 37,745 kes tahun 2007. Antara negeri yang mengalami peningkatan pada minggu ke38 (14 hingga 20 September 2008) ialah Selangor, Johor, Perak, Terengganu dan Sarawak," katanya.

Dr. Ismail berkata sejumlah 2,230 kes chikungunya pula dilaporkan sehingga 20 Sept tahun ini tanpa melibatkan sebarang kematian.

"Johor mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 1,170 kes diikuti oleh Melaka (513), Perak (195), Pahang (164), Negeri Sembilan (129), Selangor (47), Putrajaya (empat), Sarawak (tiga), Kuala Lumpur (dua), Pulau Pinang (dua) dan Kelantan satu kes," katanya.

Mengulas mengenai penyebaran kedua-dua wabak berkenaan yang dibawa oleh nyamuk aedes, beliau berkata, aktiviti masyarakat setempat yang tidak mengawal pembiakan nyamuk berkenaan adalah punca utama.

"Kita tidak menjalankan tanggungjawab kita dalam memastikan pembiakan nyamuk ini dapat dibanteras.

"Walaupun wabak ini masih terkawal dan tidak serius, namun ia adalah sesuatu yang menyedihkan kerana (penyebaran) wabak ini sesuatu yang dapat dicegah," katanya. BERNAMA


Sumber: mSTAR

No comments: