Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, September 19, 2008

PM tolak sidang tergempar Parlimen

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menolak desakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Parlimen mengadakan sidang tergempar untuk membahaskan usul tidak percaya terhadap kerajaan.

"Saya tidak nampak keperluannya kerana Parlimen akan bersidang selepas Ramadan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Tertinggi di PWTC hari ini.

Parlimen dijadual bersidang semula pada 13 Oktober depan.

Awal hari ini, Anwar berkata, beliau telah menghantar surat kepada Abdullah supaya mengadakan sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan usul tidak percaya terhadap kepimpinannya.

Katanya, beliau telah membuat permohonan rasmi meminta supaya diadakan sidang tergempar Parlimen untuk membahaskan usul tidak percaya terhadap kepimpinan Abdullah, selewat-lewatnya pada 23 September.

Untuk tujuan persidangan tergempar parlimen itu, Abdullah berkata surat yang dihantar oleh Anwar "perlu dalam bentuk surat, bukan kenyataan akhbar".

"Panjang perkara itu. Biarlah saya tengok dulu. Ini pun bukan surat, hanya kenyataan akhbar semata-mata. Cadangan-cadangan semacam ini hendaklah dihantar dalam bentuk surat bukan hanya dibuat kenyataan akhbar sahaja. Mestilah ikut peraturan," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibukota petang ini.

Abdullah juga berkata beliau tidak mempunyai rancangan untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) "terhadap Anwar atau sesiapapun".

"Saya tiada apa-apa rancangan untuk mengenakan ISA kepada sesiapa pun. Saya tidak kata apa-apa pun. Kalau ada orang terasa dia nak kena ISA itu, mungkin dia rasa bersalah, saya tidak tahulah," katanya.

Abdullah kini berdepan dengan usaha Anwar untuk mengambil alih kuasa melalui penyertaan ahli-ahli parlimen BN yang akan melompat menyertai Pakatan Rakyat.

Diminta mengulas permintaan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) memintanya mempercepatkan proses peralihan kuasa, secara sinis beliau berkata:

"Tak apalah. Biarlah mereka hendak cakap apa pun. Mereka pun dah orang pencen semua itu"

Mubarak hari ini meminta Abdullah mempercepatkan peralihan kuasa kepada timbalannya Najib elewat-lewatnya sebelum perhimpunan agung Umno pada 16 Disember ini bagi mengelakkan pergolakan dalam parti.

Abdullah juga enggan mengulas lanjut bila ditanya mengenai kesediaannnya mempertahankan kerusi presidennya dalam pemilihan Agung Umno akan datang.

"Mesyuarat belum bermula lagi dan apa-apa yang perlu saya laksanakan, apa-apa yang akan saya buat sekali lagi, itu terserah kepada saya. Saya akan cakap dengan Najib, tidak perlulah kamu ulang-ulang tanya," katanya.

Mesyuarat MT hari ini, kata Abdullah, turut membincangkan laporan Jawatankuasa Pengurusan bahawa terdapat ahli-ahli Umno yang dipecat setelah didapati menyokong dan menyertai parti pembangkang semasa pilihanraya umum Mac lalu.

Menurutnya lagi, parti akan menghantar surat kepada mereka - seorang dari Beluran, tiga daripada Beaufort - kesemuanya dari Sabah.

Beliau berkata, pertukaran portfolio beliau sebagai menteri kewangan dengan timbalannya turut disebut semula untuk catatan rekod, katanya.

Bagaimanapun, isu 'panas' penyertaan semula Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam Umno tidak dibawa dalam perbincangan mesyuarat kali ini, kata Abdullah menjawab soalan pemberita.

Sumber: Malaysiakini

No comments: