Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, September 15, 2008

Muhyiddin: 'Saya tak buat salah, tidak akan letak jawatan'

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, beliau tidak akan meletakkan jawatan dalam Kabinet hanya kerana desakan beberapa anggota jemaah menteri berikutan gesaannya supaya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menimbang semula tarikh peralihan kuasa Jun 2010.


"Saya tidak akan meletakkan jawatan dalam Kabinet hanya kerana desakan mereka (anggota Kabinet)," kata beliau selepas merasmikan Anugerah Usahawan Wanita Kebangsaan 2008 di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim minggu lalu ekoran pandangan Muhyiddin itu.

Tambah Muhyiddin, beliau telah menjalankan tugas dalam kabinet dan parti malah menurutnya ramai lagi yang menyuarakan pendapat yang bertentangan terhadap kerajaan.


Rabu lepas, Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menggesa Abdullah supaya menimbang semula tarikh peralihan kuasa yang dijadualkan pada 2010 kerana tempoh itu terlalu lama.

Malah, Abdullah juga telah melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Muhyiddin itu kerana ia dibuat oleh seorang anggota Kabinet beliau sedangkan pelan itu dipersetujui oleh Kabinet dan Majlis Tertinggi Umno.

Dalam kenyataan hari ini, Muhyiddin menambah, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dengan memberikan pandangan sedemikian.

Kata beliau, apa yang disuarakan minggu lalu adalah pendapat ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi.

"Saya hanya menyuarakan pendapat saya dan apa yang ahli-ahli Umno peringkat akar umbi mahukan," katanya.

Kata beliau: "Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan meminta Perdana Menteri berhenti, cuma minta Perdana Menteri memikirkan semula tempoh peralihan kuasa yang dianggap terlalu lama."

Jelasnya, beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk menilai kedudukan beliau dalam Kabinet jika apa yang disuarakannya selama ini adalah satu bentuk kesalahan.

"Saya tidak lihat kenyataan saya itu bercanggah dan tidak sehaluan dengan Perdana Menteri. Saya suarakan pendapat beberapa pihak terhadap parti. Kenyataan saya tidak provokatif," katanya.

Jelasnya, kenyataan mengenai pelan peralihan kuasa yang dibuatnya di Singapura tidak dibuat secara terbuka sebaliknya ia dibuat dalam sidang akhbar yang diadakan selepas program tersebut.

Tambah Muhyiddin, beliau hanya memberi respon kepada media selepas diajukan soalan berkaitan pelan peralihan kuas tersebut.

"Adakah menjadi kesalahan untuk menyatakan sesuatu yang hak. Apakah sebagai anggota Kabinet saya tidak berhak untuk bersuara sedangkan kita mengamalkan demokrasi."

"Saya bukanlah mendesak tapi hanya memberikan pandangan dan ia bukanlah suatu perkara yang luar biasa," katanya

Tambahnya, apa yang disuarakan itu adalah sekadar pendapat dan terpulang kepada Perdana Menteri untuk menilai perkara tersebut.

"Sama Perdana Menteri hendak menerima atau tidak terpulanglah. Saya tidak punya kuasa untuk menentukannya."

"Saya tidak fikir kenyataan yang disuarakan itu membawa beban kepada negara. Saya sekadar menyuarakan pendapat," katanya.

Jelasnya, apa yang disuarakan itu adalah suatu yang amat penting untuk kepimpinan parti melihat kembali pandangan akar umbi Umno itu sendiri.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Muhyiddin berkata beliau bersetuju dengan cadangan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai cadangannya menyerahkan peralihan kuasa ditentukan oleh ahli Umno diperingkat bahagian.

"Itu pendapat orang nombor kedua dalam parti, yang bersikap lebih terbuka walaupun beliau tahu pelan peralihan kuasa itu telah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi (MT) parti," katanya.

Muhyiddin yang juga Ketua Umno bahagian Pagoh berkata, apa yang diputuskan oleh MT itu tidak akan mengikat ahli-ahli Umno untuk membuat keputusan yang hendak dibuat diperingkat bahagian.

Tambah beliau, hal peralihan kuasa ini tidak termaktub dalam perlembagaan parti dan ia merupakan persefahaman yang dipersetujui diperingkat MT Umno.

"Ahli-ahli parti diperingkat bahagian yang berhak menentukan kepimpinan parti dan mereka ini tidak boleh dipaksa kerana masing-masing sudah matang dan boleh membuat keputusan sendiri," katanya

Minggu lalu, Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata beliau menyerahkan kepada ahli Umno di peringkat bahagian menentukan tempoh pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui oleh MT Umno Jun lalu.

Sumber: mSTAR

No comments: