Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, September 24, 2008

Langkah Seterusnya Untuk Membentuk Kerajaan

— KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA—

PETALING JAYA, MALAYSIA, 23 SEPTEMBER 2008

Hari Selasa bersamaan 23 September 2008 saya telah menemui kepimpinan Pakatan Rakyat. Pertemuan bersama pimpinan PAS yang terdiri daripada Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang diadakan di Kota Bharu. Mereka menegaskan komitmen mereka mengenai semangat dan matlamat Pakatan Rakyat. Manakala YAB Ketua Menteri Pulau Pinang, saudara Lim Guan Eng ketika pertemuannya dengan saya, menyatakan rasa puas hati beliau di dalam setiap perkembangan untuk memperkukuh dan memperkemaskan konsensus di kalangan parti Pakatan Rakyat serta penyokong daripada Barisan Nasional.

Kami juga membincangkan langkah seterusnya yang akan diambil oleh Pakatan Rakyat bagi membentuk sebuah kerajaan yang ternyata mencerminkan sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen. Keengganan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi untuk membenarkan permohonan kami agar diadakan satu Sidang Khas Parlimen membuktikan usaha Kerajaan BN pimpinan Umno untuk mensabotaj proses demokrasi.

Sungguhpun begitu saya dan teman-teman di dalam Pakatan Rakyat tetap yakin dan percaya bahawa hasrat rakyat untuk melihat perubahan akan menjadi kenyataan. Kami akan meneruskan usaha dengan penuh hemah dan berhati-hati demi mencapai matlamat dan telah mencapai kata sepakat untuk tidak melayan sebarang provokasi mahupun pendekatan yang tidak bertanggungjawab serta membawa kepada ketidakstabilan dan ketidaktentuan buat negara. Saya tidak tahu mengenai adanya perundingan yang dilakukan antara Pakatan Rakyat dan Perdana Menteri - di mana kenyataan yang telah dibuat semalam menyarankan ruang komunikasi yang dibuka telah disalahtafsir.

Kini wujud satu krisis keyakinan terhadap kepimpinan negara di saat rakyat Malaysia mengkehendaki penyelesaian kenaikan harga barangan yang tertinggi di dalam tempoh dua dekad, peningkatan kadar pengangguran dan keyakinan pelabur yang semakin terhakis.

Tatkala Menteri Kewangan yang baru berdegar-degar menyatakan kedudukan ekonomi negara masih stabil, fakta yang ada merungkai cerita yang berbeza. Untuk tahun 2008 sahaja lebih daripada RM125 billion telah ditarik keluar oleh para pelabur yang semakin jelak dengan sebuah kerajaan yang gagal untuk melaksanakan hatta satu perubahan demi menjamin kebebasan sistem kehakiman dan meneruskan penggunaan undang-undang kuku besi seperti ISA untuk menahan rakyatnya tanpa menuruti proses perundangan.

Perubahan-perubahan ini adalah sendi kepada visi Pakatan Rakyat untuk memulihkan ekonomi, untuk mencipta pekerjaan buat rakyat Malaysia dan memacu pertumbuhan serta menarik pelaburan asing, juga untuk memastikan jaminan perlembagaan dijunjung termasuklah yang berkaitan dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, kebebasan beragama bagi penganut agama lain, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tanpa menyekat kebebasan bahasa ibunda lainnya, dan juga status Raja-raja Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputra.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Ketua Umum KeADILan.

No comments: