Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, September 19, 2008

Syed Azidi ditahan reman 2 hari


KOTA BHARU, 18 Sept (Hrkh) - Penulis bloger Syed Azidi Syed Abdul Aziz (Kickdefella) hari ini dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapat perintah penahanan reman. Beliau direman dua hari bermula semalam.

Beliau ditahan di bawah Seksyen 4, Akta Hasutan. Syed Azidi kelihatan tersenyum ketika keluar dari mahkamah kira-kira jam 1.15 tengahari dengan kedua-dua tangan bergari.

Turut kelihatan di mahkamah Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa yang juga anggota Exco kerajaan negeri.

Selain itu, isterinya, Bariah Ishak, Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani dan beberapa rakan lain.

Syed Azidi ditahan di rumahnya petang semalam setelah didatangi beberapa anggota polis berpakaian biasa sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.

Difahamkan beliau ditahan berdasarkan artikel disiarkan dalam blognya kickdefella.worldpress.com yang dipercayai berbaur hasutan.

Beliau bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Korporat di Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Husam berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan peguam sekiranya Syed Azidi dibawa ke Kuala Lumpur hari ini.

Berdasarkan kepada perkembangan itu, beliau berkata, kerajaan BN kini berada dalam gelisah sehingga ada wartawan dan penulis blog ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Hasutan.

"Saya yakin ini adalah tindakan mahu menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara dan langkah ini digunakan untuk menakut-nakutkan blogger.

"Sedangkan dalam isu penahanan Teresa, azan dimanipulasikan media pro Barisan Nasional, namun mereka tidak diambil sebarang tindakan, sebaliknya Teresa pula ditahan di bawah ISA," ujar beliau.

Beliau juga berkata, Malaysia akan dicap melanggar perjanjian dunia berkenaan dasar langit terbuka.

"Saya berpendapat penulis blog boleh disiasat secara lebih elok dan mereka akan memberi kerjasama sekiranya diminta pihak berkuasa tanpa perlu mengunakan cara yang lebih keras kerana ia boleh mencemarkan imej negara.

"Sikap toleransi yang lebih luas sepatutnya diamalkan kerajaan di saat berlakunya kekalutan sekarang," katanya. - mj _

Sumber: HarakahDaily

No comments: