Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, May 25, 2009

Kejayaan Umno 2004 tak mungkin berulang - Harakah

JELI, 25 Mei (Hrkh) - Ketika Umno mengharapkan suntikan baru dengan pelantikan Dato' Mustapa Mohamed sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, namun di jajahan ini minat golongan muda bersama PAS pula meningkat.

Keadaan itu menggambarkan anak-anak muda tidak lagi bersama Umno memandangkan kecamuk parti itu dengan masalah dalaman.

Malah penduduk di sini berpendapat anggota parlimen Jeli itu tidak mampu mengulangi kejayaan ketika mengetuai Umno Kelantan semasa menghadapi pilihan raya umum 2004.

Ramai berhujah kejayaan Umno yang hampir menumbangkan PAS ketika itu bukan kerana faktor Mustapa, sebaliknya aura Dato? Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Yang Dipertua PAS Jeli, Haji Mohd Apandi Mohamad berkata, biar pun Mustapa dikembalikan ke jawatan lama di Perhubungan Umno Kelantan, namun fenomena yang berlaku sekarang berlainan.

"Pada pilihan raya umum 2004 Umno berjaya melonjakkan kedudukan kerana pengaruh Abdullah yang dilihat warak dan jujur ketika mula-mula berada di kerusi Perdana Menteri.

"Gambaran yang diberi media mempamerkan Abdullah mengimamkan solat tidak dinafikan berjaya mempengaruhi orang ramai.

"Namun Perdana Menteri sekarang tiada kelebihan tersebut. Sebaliknya imej beliau banyak tercemar dengan pelbagai isu. Maka kehadiran pengerusi baru dilihat tidak lagi dapat membantu Umno seperti berlaku pada pilihan raya 2004," katanya pada program 'Jom Sertai PAS' di sini, baru-baru ini.

Program itu dianjurkan Dewan Pemuda PAS Jeli dengan kerjasama Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO.

Ia diadakan di Padang Istiadat Jeli.

Sempena program itu juga Mohd Apandi melancarkan Liga Bolasepak Dun dan Parlimen peringkat Jeli.

Pelbagai program menarik diadakan antaranya persembahan dikir barat oleh kumpulan Dikir Barat Sri Kalai yang diketuai Jen Endoro.

Manakala bekas penyanyi rock yang baru menyertai PAS, Ringgo Arrow menyanyikan lima lagu yang bertemakan ketuhanan dan perjuangan.

Program tersebut berjaya menarik 32 permohonan untuk menyertai PAS.

Sementara itu di majlis berasingan, lebih 100 imam dan bilal surau dan madrasah mukim Jeli menyertai kursus yang dianjurkan Urusan Ulama PAS Jeli dengan kerjasama Unit Dakwah Halaqat.

Perasmiannya juga disempurnakan Mohd Apandi. - mks._

Harakah

No comments: