KUALA LUMPUR, 18 Mei (Hrkh)- Wanita Pakatan Rakyat akan turun padang untuk bertemu rakyat bagi mengumpul sejuta tandatangan sebagai gambaran suara hati sebenar rakyat untuk mendesak supaya pembubaran Dewan Undangan Negeri Perakdengan segera bagi membolehkan pilihan raya baru diadakan.
Kempen tersebut dilancarkan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta, 15 Mei lalu yang dipengerusikan oleh Wanita KeADILan Zuraida Kamaruddin.
Memorandum berkenaan akan dipersembahkan kepada Sultan Perak secepat mungkin bersama sejuta tandatangan rakyat Perak yang melambangkan kesungguhan Pakatan Rakyat untuk melihat pilihan raya diadakan bagi mengatasi kemelut politik di negeri itu.
Dalam ucapannya Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, kempen untuk mendesak pembubaran Dewan akan menjadi kenyataan jika semua pihak terutama golongan wanita di negeri ini memainkan peranan masing-masing.
Tambah beliau golongan wanita merupakan 52% daripada jumlah pengundi berdaftar di negeri Perak dan mampu menjadi satu kuasa pendesak yang berkesan untuk mencapai objektif pembubaran Dun dalam masa terdekat.
"Kempen untuk mendesak agar Dun Perak dibubar memerlukan peranan wanita kerana mereka memainkan peranan penting dalam kempen ini," kata Zuraida yang dipetik daripada Suara KeADILan
Sementara itu Ketua Wanita DAP Chong Eng yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata sudah sampai masanya golongan wanita tampil ke depan untuk meniupkan semangat juang agar kempen mendesak pembubaran Dun menjadi kenyataan.
"Saya berasa kempen ini sangat bermakna kerana ianya pertama kali diadakan yang diterajui oleh wanita. Sudah sampai masa untuk wanita bangkit dan mengambil bahagian dalam perkara yang penting seperti ini," tegas beliau.
Kempen ini juga akan mendapatkan kerjasama ketua kampung di seluruh negeri Perak bagi mendapatkan tandatangan penduduk kampung yang kemudiannya akan diserahkan kepada wakil rakyat masing-masing.
Turut hadir pada pelancaran kempen mengumpul tandatangan ini ialah Ketua Muslimat Pas Ustazah Nuridah Mohd Salleh serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat Perak. - azm _
Harakah
Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment