Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, May 13, 2009

Nasib Khir Toyo diketahui 19 Mei ini - TVA

Bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo hari ini dipanggil memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri Selangor kerana enggan hadir pada perbicaraan awam, pertengahan Mac lalu.

Khir juga didakwa mengikut Seksyen 70, Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan media yang menghina dewan.

Empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri Umno Barisan Nasional turut dipanggil memberi penjelasan kerana mengeluarkan kenyataan di bawah Enakmen Penghinaan DUN Selangor 2008.

Mereka ialah ADUN Sabak Bernam, Warno Dogol, ADUN Hulu Bernam, Mohamed Idris Abu Bakar, ADUN Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim dan ADUN Dengkil, Marsum Paing.

Kesemua mereka, termasuk Khir Toyo diwakili 7 orang peguam, termasuk peguam bela Kamarul Hisham, yang mengendalikan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Khir Toyo bagaimanapun enggan mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media selepas menghadiri perjumpaan tertutup lebih sejam di bangunan Annexe, Shah Alam.

Khir sebelum ini pernah memberitahu bahawa beliau tidak takut untuk membuat sebarang penjelasan terhadap dakwaan atau tohmahan yang dilemparkan kepada beliau dan isterinya.

Sementara itu, Speaker DUN Selangor, Teng Chang Kim yang ditemui kemudian, juga tidak mendedahkan butir-butir yang dibincangkan dalam perjumpaan itu.

Katanya, keputusan mengenai kedudukan Khir dan empat ADUN itu akan dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan DUN Selangor pada 19 Mei ini.

Teng berkata, jika mereka didapati bersalah, Jawatankuasa yang dipengerusikan olehnya, boleh sama ada memberi teguran, amaran, menggantung keahlian atau meluputkan gaji mereka sebagai wakil rakyat.

Dalam pada itu, Teng berkata jawatankuasa itu juga telah membuat laporan polis minggu lalu berhubung keengganan isteri Khir, Zaharah Kechik hadir pada perbicaraan awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Mac lalu.

Menurut Teng, disebabkan Zaharah bukan wakil rakyat dan tidak tertakluk kepada peraturan dewan, pihaknya meminta polis menjalankan siasatan dan membuat laporan kepada Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.

Jika sabit kesalahan, Zaharah yang dituduh mengikut Seksyen 3(b) Enakmen Penghinaan Dewan Undangan Negeri Selangor 2008, boleh dihukum penjara sehingga 12 bulan atau denda tidak lebih RM5,000.

Khir dan isterinya enggan hadir pada perbicaraan hampir 2 minggu itu dengan mendakwa jawatankuasa Selcat berkenaan tidak diiktiraf oleh Peguam Negara.

Seramai 14 saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung penyelewengan dan salah guna kuasa Badan Kebajikan Isteri-Isteri Selangor (Balkis) yang dipengerusikan oleh Zaharah Kechik.

TVA

No comments: