Kerajaan Selangor telah mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya mengadakan perbincangan terbuka pada 5 September depan antara penduduk sebenar Seksyen 23, Shah Alam, pegawai MBSA dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
“Perbincangan itu nanti bukan sahaja mendengar luahan pendapat masyarakat setempat tetapi juga memberikan peluang kepada kerajaan negeri menjelaskan fakta sebenar dan alasan yang menyebabkan keputusan menempatkan semula kuil Hindu di Seksyen 19 ke Seksyen 23,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Sementara menunggu tarikh perjumpaan tersebut, katanya, kerajaan negeri menggesa penduduk berkenaan supaya bertenang dan tidak dipengaruhi fakta-fakta yang tidak benar “yang sengaja diapi-apikan oleh kumpulan yang memang berniat jahat terhadap keharmonian rakyat dan kestabilan politik kerajaan Selangor”.
“Sekali lagi, marilah kita sama-sama memelihara sikap bertimbang rasa, rasional dan saling hormat menghormati kerana inilah cara terbaik bagi menyelesaikan hal ini,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Kerajaan negeri, katanya, kesal dengan tindakan menghina, menghasut dan menimbulkan kemarahan di kalangan penganut agama lain yang diapi-apikan oleh segelintir kumpulan pembantah yang berarak membawa kepala lembu sebagai tindakan membantah pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23, Shah Alam.
Abdul Khalid berkata, ketika rakyat sedang bersiap sedia untuk menyambut Kemerdekaan negara, sikap tidak bertolak ansur terhadap agama lain yang masih wujud di kalangan segelintir rakyat Malaysia itu, sangatlah dikesali.
“Kejadian dan tindakan menghina agama orang lain itu menyebabkan seluruh negara ini dilihat undur kebelakang dalam usaha mewujudkan rasa hormat terhadap kepelbagaian agama dan adat resam dalam kalangan penduduk pelbagai keturunan.
“Walhal usaha tersebut, sebenarnya sudah dilakukan sejak kemerdekaan tahun 1957 lagi, demi pembinaan satu negara bangsa yang memperlihatkan persamaan visi dan identiti,” tegasnya.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri berharap semua rakyat bersikap matang dan tidak mudah terpengaruh dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pembantah tersebut kerana ia dikhuatiri boleh mewujudkan ketegangan antara kaum.
“Dalam hal ini, walaupun kita wajar mengecam tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab tersebut, namun kita lebih baik menyerahkan kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan,” tegasnya.
Katanya, kerajaan negeri meminta polis segera mengambil tindakan secara adil dan melakukan penyiasatan termasuk mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang mengugut para pemimpin kerajaan negeri.
Malaysiakini
Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment