KUALA LUMPUR, 25 Sept (Hrkh) - Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini dihebohkan sebagai merupakan usaha terakhir Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyambung hayat jawatannya sebagai Perdana Menteri manakala timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan berada dalam keadaan tersepit.
Menurut seorang blogger Umno, A Voice (anotherbrickinwall.blogspot.com), mesyuarat khas MT itu dijangka akan mempersetujui penangguhan perhimpunan agung (PAU) dan pemilihan kepimpinan Umno yang sepatutnya diadakan Disember ini akan ditangguhkan.
Perhimpunan itu dijangka akan ditangguhkan kepada 9 Mei akan datang. Dengan itu, kata A Voice, Abdullah akan kekal memegang jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno sehingga tarikh itu.
Perancangan Abdullah dijangka dapat dilaksanakan kerana, menurut blogger penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad itu, suara-suara yang menentang tidak dapat hadhir kerana pelbagai sebab.
Bagaimanapun, pertemuan beberapa Ketua Perhubungan Umno negeri baru-baru ini sudah memutuskan untuk meneruskan mesyuarat dan pemilihan di peringkat bahagian-bahagian.
"Jika jadi, ini adalah satu keanihan kerana sesyuarat Bahagian Umno akan dikekalkan mengikut jadual yang ditetapkan bermula pada 9 Oktober hingga ke 9 November.
"Dengan tertangguhnya tarikh PAU ke 9 Mei 2009, ini bermakna persidangan tersebut diadakan 6 bulan selepas berakhir mesyuarat Bahagian Umno," katanya.
Anih
Lebih anih lagi, katanya, ada pula yang menyatakan Abdullah berjanji tidak akan bertanding jawatan Presiden, mungkin mengundur diri tetapi mahu dia dikekalkan dalam jawatan Perdana Menteri hingga masa peralihan pada 9 Mei.
Mengenai pemilihan Umno, ini bukan pertama kali ditangguhkan. Ia sudah dua kali ditangguhkan. Alasan mulanya adalah untuk menumpukan kepada rancangan pembangunan. Kemudian pula, alasannya adalah Pilihan Raya Umum (PRU) 8 Mac lalu.
A Voice menyifatkan penangguhan tersebut menyalahi undang-undang kerana PAU harus diadakan sebelum 9 Januari 2009. Malah, katanya, "penangguhan pun sudah menyalahi perlembagaan Umno tetapi dimanipulasi".
"Kalau ikut rancangannya, PRU ke 12 akan melihatkan seteru-seteru Abdullah tumpas dan Umno/BN cemerlang, gemilang dan terhalang. Ini akan memperlihatkan Abdullah dan keluarga mengetatkan kuasa dalam parti," katanya.
Malang bagi Abdullah dan keluarganya, rancangan itu tidak terjadi. Barisan Nasional dianggap kalah dalam pilihan raya itu.
Rancangan yang beliau dakwa sebagai "rancangan jahat Abdullah, keluarganya dan kuasa-kuasa belakang tabir seberang Tebrau" gagal.
Khairy
Meskipun semua rancangan gagal, A Voice mendakwa Perdana Menteri berkeras untuk mempertahankan jawatannya hingga Mei akan datang untuk membantu menantunya, Khairy Jamaluddin menjadi Ketua Pemuda Umno.
"Disebabkan bersungguh sangat Khairy inginkan jawatan itu, ia juga menjadi penyebab Abdullah sanggup cari apa saja cara untuk kekal.
"Walaupun diri sedar sudah tiada lagi kepercayaan rakyat jelata dan akar umbi Umno, dan sudah dibenci pelbagai lapisan rakyat, negara dan Umno, Abdullah masih mahu kekal di jawatan Presiden dan Perdana Menteri supaya boleh disalahguna jentera parti dan kerajaan untuk membolehkan Khairy menang jawatan itu," katanya.
Dalam keadaan tersepit, A Voice menjangkakan reputasi Najib akan terjejas jika dia mempersetujui rancangan tersebut.
"Malah, pencalonan jawatan Presiden yang boleh dengan sekali lalu melenyapkan Abdullah boleh berubah. Abdullah (kini berada) dalam keadaan di mana senjata "undi kuota" memakan tuannya. Tetapi jika Najib tidak ada 'finishing', dia boleh melepas," kata beliau.
Bagi blogger penyokong kuat Datuk Mukhriz,anak Dr Mahathir itu, pihaknya hanya mampu menunggu dan mengharap.
"Kita tunggu bagaimana suara-suara yang menentang akan memberi reaksi kepada cadangan anih yang membelakangkan amalan demokrasi," katanya.._
Sumber: HarakahDaily
Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment