Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, September 24, 2008

Eksklusif: Tukar Kerajaan, Satu Tanggung Jawab Demi Menyelamatkan Generasi Akan Datang !!


Berita panas yang diterima diseluruh dunia kini sememangnya ramai pemimpin utama mereka yang mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan. Ia dilakukan antara dua, sama ada parti mereka ditolak rakyat ataupun kempimpinan mereka ditolak oleh anggota parti itu sendiri. Kita biasa mendengar hal-hal perletakkan jawatan seseorang pemimpin ini, bila mereka lihat mereka ternyata gagal untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang ditadbir. Persoalannya sekarang, apakah pertukaran pemimpin bakal menghancurkan negara terbabit seperti yang diwar-warkan oleh puak-puak UMNO dan Barisan Nasional. Jika hancur, mengapakah Jepun lebih maju dari kita. Walhal kita selalu mendengar berita tentang perletakkan jawatan para pemimpin mereka. Bahkan terkadang setiap dua tiga tahun perkara ini akan berlaku. Namun, apakah negara "matahari terbit" itu hancur dan gagal membangun.

Semua ini adalah kenyataan manusia yang takut kehilangan kuasa sebenarnya. Sebagai individu yang bertanggungjawab, langkah ini perlu diambil jika kita sudah kehilangan kepercayaan dari kalangan penyokong dan rakyat sendiri. Namun, dek kerana di Malaysia perkara ini tidak pernah berlaku. Maka, mereka menjadikan "tukar kerajaan" sebagai satu kesalahan besar. Bagi mereka, adalah tidak masuk akal kerajaan boleh ditukarkan tanpa pilihanraya umum secara demokrasi. Namun, kita harus sedar benarkah pilihanraya di Malaysia ini diamalkan secara demokrasi, telus dan adil?. Ini masalahnya sekarang. Ramai yang berpendapat, kiranya pilihanraya diadakan secara adil dan saksama sememangnya kerajaan sudah bertukar 8 Mac lalu. Namun dek kerana kebiadapan SPR yang menggagalkan peraturan "celup jari" serta masih membiarkan pengundi hantu berkeliaran sebaliknya berlaku. Itu belum termasuk dengan rasuah duit dan tekanan kepada rakyat yang akan keluar mengundi. Lebih parah lagi ramai Ahli Parlimen BN sebenarnya adalah "wakil pos" dikawasan masing-masing. Semua itu berlaku kerana langkah SPR yang tetap meneruskan amalan sistem "undi Pos" yang ternyata banyak keraguan dan kepincangan itu. Inilah bukti yang Malaysia sebenarnya tidak amalkan pilihanraya yang adil dan demokrasi.

Hanya parti kerajaan sahaja dibenarkan menggunakan media seperti TV dan akhbar harian seluas-luasnya untuk berkempen memburukkan parti lawan. Sebaliknya, pembangkang di Malaysia betul-betul tidak dihormati sebagai sebuah parti yang berdaftar. Badan bebas yang memantau pilihanraya dijadikan alat untuk memastikan kemenangan mutlak parti kerajaan itu. Akhirnya, terwujudlah kerajaan yang "khianat" kepada rakyat. Melakukan kezaliman serta penindasan yang berterusan. Rasuah, kronisme dan penyelewengan berlaku sepanjang masa dari peringkat atas hinggalah bawah. Akhirnya negara dibelenggu dengan berbagai masalah rakyat yang gagal dibela. Gejala sosial dibiarkan terus berleluasa. Maksiat dan jenayah berlaku disana-sini tanpa sekatan. Hasilnya rakyat terpaksa menanggung derita. Pembunuhan dan rompakan berlaku dimana-mana. Penculikan, rogol dan lain-lain jenayah seks menghantui fikiran kita. Malaysia sudah tidak selamat lagi untuk didiami. Ekonomi merundum, sebaliknya golongan kaya terus rakus mencipta kekayaan tanpa menghiraukan nasib rakyat terbanyak.

Rakyat miskin terpaksa menanggung derita dan dibebankan dengan kenaikan harga bahan api yang menjadi penyebab kepada kenaikkan barang secara keseluruhannya. Rakyat dibutakan mata dan hati agar menerima, apa sahaja kejahatan yang dilakukan. Orang kaya "rompak duit" rakyat bawahan terpaksa "membayar" segalanya. Ini semua tidak adil, dan perubahan harus dilakukan demi masa depan generasi akan datang. Mujurlah selepas 51 tahun terbelenggu dengan keadaan ini, akhirnya rakyat mula sedar. Maka perubahan besar dilakukan dalam pilihanraya umum lalu. Kelantan dikekalkan dan 5 negeri jatuh ke tangan pembangkang, bahkan ibukota Kuala Lumpur juga berjaya ditakluk. Maka terbentuklah Pakatan Rakyat dalam usaha mengembalikan semula keyakinan terhadap kerajaan.

Justeru itu, adalah menjadi tanggung jawab kita untuk menukar kerajaan yang gagal melaksanakan tugasnya. Mujurlah Malaysia bukan seperti Jepun, jika tidak sudah pasti kita akan mendapat kerajaan baru sejak dulu lagi. Soalnya, mengapakah mereka ini tidak mahu menerima hakikat semua itu?. Mereka masih lagi ingin mempertahankan kuasa?. Kuasa siapa? Kuasa peribadi atau kuasa rakyat?. Jika mereka memikirkan kuasa rakyat maka sepatutnya mereka harus undur dirisecara terhormat dan tidak "memperjudikan" nasib semata-mata untuk kepentingan peribadi masing-masing. Amanah adalah satu tanggungjawab, maka itu jika tanggungjawab gagal dilaksanakan mereka sepatutnya memberi kepada "orang yang sepatutnya". Tetapi kenapa ini tidak berlaku di Malaysia?. Apa masalahnya sekarang?. Semua ini hanya kerana mereka takut segala kebobrokan dan khazanah yang dirompak diketahui oleh rakyat dan akhirnya mereka akan terpenjara jika tersilap percaturan. Inilah hakikatnya.

Namun, sampai bila keadaan ini harus berlaku. Sama-samalah kita nantikan perkembangan terkini apakah Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan secara jujur, amanah, berkhemah dan bertanggungjawab. Tiada paksaan dan huru-hara dilakukan demi kepentingan rakyat. Tidak bolehkah mereka menerima semua ini sebagai "takdir" untuk 50 tahun akan datang kerajaan baru ditubuhkan di negara Malaysia yang tercinta ini. Semoga hati-hati dan jiwa mereka ini akan dibuka untuk menerima segala ketentuan ini. Tukar kerajaan bukan bermakna hancurkan kerajaan, tetapi ia adalah sebagai langkah permulaan ke arah kegemilangan sebenarnya.

[Penantian 16 September sudah berakhir, ramai yang kecewa dan takut untuk menjawab persoalan ini. Namun sedarlah kita hanya merancang, segalanya Allah yang menentukan. Tidak semestinya setiap perancangan itu terjadi dengan begitu mudah. Segalanya pasti akan ada ranjau dan rintangan mendatang. Cuma, kita harus bersabar menanti perubahan ini. Teruskan perjuangan, yakinkan rakyat bahawa perubahan pasti terlaksana jua akhirnya].


Sumber: Cucu Mat Kilau

No comments: