Malam ini pintu sel ditutup jam 7.00 petang. Kalau sendirian maka sendirianlah. Maghrib dan tarawikh dalam sel. Takbir didengari dari belakang tembok.
Esok subuh kedengaran azan. Pintu sel di buka jam7.00 pagi. Baju yang itu, yang itu jugalah. Sudah dibasuh dan himpit bantal. Seluar biru dan baju putih.
Kunci pun dibuka. Pegawal sampai. Lalu beratur dari blok ke blok menuju ke masjid. Maka untuk pertama kalinya dapat bertemu dan bersalaman. Maka ternampak muka - muka yang baru dan muka yang lama. Tak puas-puas bertanya khabar. Dari mana dan sel mana. Blok mana dan asal dari mana.
Imam pun berkhutubah diantara kebun-kebun sayur dan bilik-bilik orang salah. Bagitu ramai banduan dan tahanan. Melimpah ruah hingga ke laman. Semuanya berdoa dan berjanji. Si banduan menyesal tak buat lagi. Si tahanan bertekad menguji diri
Maka terigatlah anak dan isteri. Mereka yang lama tidak ke sini.
Habis khutbah beratur lagi. Pulang ke blok untuk menikmati makan. Hari raya menu nya hebat sekali. Ada kueh kek ,pisang dan roti.
Hari ini macam semalam.Hari semalam macam dahulu. Hari dahulu macam 2 bulan dulu. Hari dua bulan dulu macam tiga tahun dahulu. Hari tiga tahun dahulu macam enam tahun dahulu.
Hati berdebar menunggu angka di panggil - 2504!
Di luar dari subuh lagi anak isteri telah beratur. Menunggu giliran untuk bertemu. Nasib baik dapat makan semeja. Kalau tidak dalam bilik pertemuan dipisah oleh jeriji. Tak boleh usik badan tak boleh raba gigi.Nak cium pipi jauh sekali.
Nasib baik banyak saudara yang datang. Ada lemang dan nasi impit. Kalau nasib baik dapat bawa ke dalam sel. Jika ‘ikut arahan’ semua tidak di bolehkan.
Tidak banyak yang hendak di cerita. Mulut penuh lemang sambil hendak mendengar berita tentang si polan dan si anu. Tentang kenduri kahwin dan yang meninggal dunia. Tentang anak sekolah dan periksa tahunan. Tentang duit tak cukup dan sewa rumah. Tentang cari kerja dan pembantu di rumah.
60 minit semua selesai. Maka pulanglah ke dalam sel. Hati berdebar jiwa bersedih. Hati menjadi tabah jiwa bertambah kaseh. Anak dan isteri, ibu dan mertua, kucing dan anjing, pena dan tinta – semua berligar dalam ingatan.
Jam 7.00 sel di tutup. Itu lah berhari raya di Kamunting.
Sumber: Tukar Tiub
Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment