Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, September 29, 2008

ISU PEROBOHAN KUIL SRI MAHA KALLIAMAN, AMPANG

KENYATAAN MEDIA Ahad, 28 September 2008

ISU: PEROBOHAN KUIL SRI MAHA KALIAMMAN,AMPANG.

Laporan beberapa buah akhbar berbahasa Melayu, Tamil dan Inggeris hari ini telahpun menyiarkan sedutan daripada kenyataan media saya semalam berkenaan kes di atas.Namun saya amat kecewa apabila kenyataan asal saya telah diputar belit dalam konteks yang amat bertentangan oleh beberapa buah akhbar dengan mengambil rujukan daripada sidang media oleh S. Samy Vellu, Presiden MIC.Disini saya ingin membuat penerangan mengenai isu perobohan kui tersebut.

Menurut Murugiah selaku pengerusi kuil berkenaan bahawa kuil itu sedang dalam kerja-kerja pengubahsuaian kecil yang berterusan apabila tindakan perobohan dijalankan oleh penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).Adalah lebih malang apabila sekali lagi S. Samy Vellu membuat kenyataan tentang perkara yang tidak diketahuinya. Beliau harus sedar dan tidak sepatutnya cuba menjadi juara kepada masyarakat India dalam perkara ini hanya setelah beliau dan parti pimpinannya ditolak mentah-mentah oleh rakyat pada pilihanraya umum yang lepas.

Kini kebajikan masyarakat semua kaum di bawah pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat terutama sekali di negeri Selangor ini terpelihara dengan baik. Saya menyeru supaya S.Samy Vellu dan pimpinan MIC yang lain memikirkan soal saham Maika Holdings yang hilang, tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil yang diambil MIC sendiri, soal pendidikan dan kebajikan masyarakat India sendiri. Oleh itu, saya mencabar S. Samy Vellu untuk membuktikan dakwaan beliau kepada saya.

Saya juga suka menyatakan bahawa berikutan lawatan Y.B Dr Xavier Jeyakumar, EXCO Kerajaan Negeri Selangor ke kawasan kuil itu pagi ini, telah menjernihkan suasana dan diterima baik oleh penduduk setempat dan AJK kuil berkenaan. Kini Kerajaan Negeri Selangor sedang berusaha untuk memikirkan jalan terbaik bagi mencari penyelesaian kepada perkara tersebut.

Adalah diharapkan agar isu ini tidak lagi disensasikan media lebih-lebih lagi dengan penyebaran maklumat yang tidak tepat dan tersasar. Dapat saya simpulkan di sini bahawa isu berkenaan sebenarnya sudah ditangani dengan baik oleh kesemua pihak yang terlibat dan kita harus terus melihat kehadapan dalam memperkasa pelbagai agenda lain yang memberi lebih banyak manfaat kepada keseluruhan masyarakat termasuk kaum India di Negara ini.

Akhir sekali saya meminta kerjasama semua media yang menyiarkan kenyataan saya yang bercanggah daripada asal agar menarik semula kenyataan tersebut dengan kadar segera dan membuat pembetulan.. Ini amat penting bagi mengelakkan salah tanggapan masyarakat.

Zuraida Kamaruddin, YB

Ahli Parlimen Ampang.


No comments: