Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Sunday, November 16, 2008

Sah! Thaksin ceraikan Pojaman di Hong Kong

[DIKEMAS KINI] BANGKOK: Thaksin Shinawatra, bekas Perdana Menteri Thailand yang digulingkan dua tahun lalu dan kini dalam buangan, telah menceraikan isterinya, Pojaman Shinawatra kelmarin - antara lain dipercayai berpunca daripada implikasi undang-undang melindungi harta mereka.

Perkara itu disahkan oleh jurucakap Thaksin, Pongthep Thepkanjana bahawa pasangan itu memfailkan tuntutan cerai di Hong Kong kelmarin.

"Adalah benar Thaksin ada menandatangani borang cerai tetapi sebab tindakan mereka adalah peribadi," katanya.

Difahamkan usaha itu digerakkan oleh Pojaman ekoran pendirian Thaksin yang masih terus bertarung menghadapi kesnya.

Kebanyakan harta pasangan itu adalah atas nama Pojaman.

Pasangan jutawan itu telah mendirikan rumah tangga pada 1976.

Mereka mempunyai seorang anak lelaki, Panthongtae dan dua anak perempuan iaitu Pintongtha dan Peathongtarn.

Laporan media menyebut Thaksin dan Pojaman telah mendaftarkan penceraian di Pejabat Konsul Besar Thailand di Hong Kong kelmarin.

Laporan minggu lalu menyebut pihak berkuasa Britain telah membatalkan visa milik Thaksin dan Pojaman dengan mengeluarkan arahan kepada syarikat-syarikat penerbangan supaya tidak membawa pasangan itu menaiki penerbangan ke Britain.

Tindakan itu diambil selepas mahkamah Thailand menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas Thaksin kerana didapati bersalah membantu isterinya membeli tanah kerajaan ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

Dalam pada itu, timbalan jurucakap Kementerian Luar Thailand, Thanee Thongpakdi berkata, kementeriannya tidak akan mengulas kes-kes membabitkan soal orang perseorangan.

"Kami menerima laporan bahawa mereka telah mengunjungi pejabat konsul untuk memfailkan tuntutan cerai tetapi tidak dapat disahkan memandangkan ia urusan peribadi dan bukan satu isu berkaitan dengan hal ehwal negara," kata seorang lagi pegawai yang tidak mahu namanya didedahkan.

Sekutu politik Thaksin, Jakrapob Penkair semalam mengesahkan bahawa bekas Perdana Menteri itu kini berada di Hong Kong tetapi enggan memberikan butiran.

Jakrapob pernah berkhidmat sebagai jurucakap kerajaan ketika era Thaksin sebagai Perdana Menteri Thailand.

Kedua-dua pasangan itu kini berhadapan dengan kes mahkamah di Thailand. AP


Sumber: mSTAR

No comments: