Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, November 13, 2008

Hindraf: Thananthiran dipanggil beri keterangan

Bekas penyelaras Hindraf, R.S. Thananthiran hari ini dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung insiden kekecohan di Parlimen pada 22 Oktober lalu.

Selain Thananthiran, seorang anggota Police Watch Malaysia S.Jayathas turut hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk memberi keterangan mereka.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan ketika ditemui mengesahkan polis telah mengambil keterangan daripada kedua-dua individu terbabit.

Kedua-dua mereka tiba di IPD Sentul kira-kira jam 10.15 pagi dan keluar kira-kira dua jam selepas itu, demikian menurut Bernama.

Ketika ditemui pemberita, Thananthiran berkata: "Kami berdua ditanya kira-kira 20 soalan mengenai penyerahan memorandum itu pada 22 Oktober tetapi kami hanya menjawab beberapa soalan sahaja memandangkan ia adalah hak kami untuk tidak menjawab. Kami hanya rakyat biasa.

"Kenapa kami dipanggil untuk memberi keterangan, walhal kami hanya ke Parlimen pada hari terbabit untuk serah memorandum. Walau bagaimanapun, kami ucap terima kasih kepada polis kerana sikap profesional mereka hari ini," katanya.

Beliau berkata esok ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam dan ahli Parlimen Teluk Intan Dr M Manogaran telah dipanggil untuk memberi keterangan berkenaan penyerahan memorandum pada 22 Oktober

"Saya rasa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar juga perlu dipanggil beri keterangan memandangkan ada lebih 40 laporan polis dibuat ke atasnya seluruh negara berhubung kenyataan beliau yang tidak tepat mengenai Hindraf," kata Thananthiran.

Pada 22 Oktober, penyokong Hindraf berkumpul di Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada Speaker Dewan Rakyat bagi mengaktifkan semula pasport pemimpin mereka.

Kumpulan itu mendakwa pasport P Waytha Moorthy yang kini membuang diri di Britain, sengaja tidak diaktifkan.


Sumber: Malaysiakini

No comments: