Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, November 20, 2008

Pindah kes Anwar didengar 5 Feb

Permohonan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen bagi mengekalkan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah itu akan didengar pada 5 dan 6 Feb tahun depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam utama yang mewakili Anwar, Sulaiman Abdullah bagi penangguhan kerana beliau perlu mengendalikan kes lain di Mahkamah Tinggi Komersial hari ini.

Anwar dikecualikan daripada menghadiri pendengaran itu.

Hakim Mohamad Zabidin memaklumkan bahawa tarikh perbicaraan hari ini ditetapkan tanpa merujuk pasukan pembelaan.

Timbalan kanan pendakwaraya Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden kemudian memohon tarikh awal bagi perbicaraan tetapi hakim berkata mahkamah hanya mempunyai kekosongan pada tahun depan kerana ia mempunyai banyak kes lain untuk diselesaikan.

Untuk mencepatkan perbicaraan, Mohamed mencadangkan pendakwaan mengemukakan hujahan bertulis kepada mahkamah dan kepada pasukan pembelaan seminggu sebelum tarikh perbicaraan.

Sulaiman menjawab pihak pembelaan menghadapi kesulitan kerana pihak pendakwaan telah memfailkan untuk semakan serta rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen.

Mohamad Zabidin berkata mahkamah akan mendengar semakan terlebih dahulu dan pendengaran rayuan akan bergantung kepada keputusan semakan itu.

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, di sebuah kondominium di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun lepas.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Beliau kini bebas dengan bon peribadi RM20,000.

Pada 7 Nov, Hakim Mahkamah Sesyen SM Komathy Suppiah menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi selepas memutuskan sijil pemindahan kes yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, tidak sah.

Pihak pembelaan mencabar kesahihan sijil pemindahan kes itu kerana Abdul Gani sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah susulan laporan yang dibuat oleh Anwar mendakwa Abdul Gani memalsukan keterangan dalam kejadian "mata lebam" Anwar semasa dalam tahanan polis pada 1998.

Pihak pendakwaan memfailkan permohonan bagi semakan dan juga rayuan terhadap keputusan itu atas alasan Abdul Gani hanya menjalankan tugas pentadbirannya dan bukannya tugas kehakiman atau separa kehakiman semasa menandatangani sijil itu


Sumber: Malaysiakini

No comments: