Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, November 14, 2008

Keluarga Datuk Z diarah kosongkan laman banglo

Kerajaan Selangor mengarahkan keluarga bekas wakil rakyat Pelabuhan Klang Datuk Zakaria Md Derus supaya mengosongkan bahagian laman banglonya dalam tempoh sebulan kerana tidak mendapat kelulusan pemilikan.

Menurut kenyataan pejabat menteri besar, jika mereka gagal mematuhi arahan pengosongan tanah tersebut, kerajaan negeri akan membawa kes itu ke mahkamah atas tuduhan menceroboh tanah kerajaan.

"Justeru, kerajaan negeri Selangor berharap agar arahan ini akan dapat dipatuhi tanpa perlu sebarang tindakan diambil.

"Keputusan sebegini diambil atas dasar kesamarataan kepada semua pihak tanpa mengira bangsa atau agama," kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) turut diarahkan memberitahu keluarga Zakaria dan mengeluarkan kompaun ke atas kesalahan menceroboh tanah kerajaan.

Exco kerajaan negeri semalam memutuskan perkara itu setelah mendengar taklimat dari pihak MPK dan Jawatankuasa Tanah Daerah Klang semalam.

Cetus kontroversi

Menurut kenyataan tersebut, permohonan pemilikan laman seluas 2,269 meter persegi itu ditolak Jawatankuasa Tanah Daerah Klang tahun lalu.

Jawatankuasa itu juga memutuskan sebarang rayuan haruslah dibuat terus kepada majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Zakaria mula mendirikan banglo pada 2006 walaupun tanpa kelulusan pelan bangunan. Akibatnya, MPK mengeluarkan denda sebanyak RM19,373 - iaitu 10 kali ganda bayaran pelan bangunan.

Tindakan itu mencetuskan kontroversi dan menjadikan beliau tumpuan ramai.

Zakaria melalui isterinya Azizah Ngah diberi pemilikan tanah seluas 4,049 meter persegi melibatkan cantuman lapan lot tanah pada Julai 2003.

Beliau meninggal dunia Mac lalu akibat mengalami sesak nafas secara tiba-tiba sewaktu sedang berbual dengan anggota keluarganya.


Sumber: Malaysiakini

No comments: