Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, November 17, 2008

Kerajaan empat negeri digesa contohi Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Hrkh) - Hujah bahawa "apa yang kami lakukan adalah mengikut peraturan" hendaklah dihentikan oleh para pemimpin dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR) untuk mewajarkan tindakan mereka menggunakan penerbangan kelas pertama atau kelas perniagaan, menginap di hotel empat atau lima bintang dan mengadakan majlis-majlis di hotel mewah.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menegaskan perkara itu ketika mengalu-alukan keputusan mesyuarat exco kerajaan Pulau Pinang yang memutuskan bahawa semua pegawai tertinggi kerajaan, termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng, tidak boleh menggunakan penerbangan kelas pertama atau kelas perniagaan, menginap di hotel empat atau lima bintang dan mengadakan majlis-majlis di hotel mewah.

Keputusan itu dibuat sebagai salah satu langkah berjimat cermat.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu malah menggesa mesyuarat exco kerajaan Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor menyegerakan keputusan seperti yang dibuat oleh mesyuarat exco kerajaan Pulau Pinang itu.

"Jangan lagi gunakan hujah 'apa yang kami lakukan adalah mengikut peraturan' seolah-olah ia tidak boleh diubah. Hanya al-Quran dan undang-undang Allah s.w.t. sahaja yang tidak boleh diubah," katanya.

Baru-baru ini, katanya lagi, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa parti-parti lawan Barisan Nasional (BN) sedang memberikan 'preview' jenis pemerintahan yang akan didirikan.

"Kita bertanggungjawab memberikan 'preview' yang menyenangkan hati rakyat dan bukan 'preview' yang menyebabkan mereka meluat untuk melihatnya," Mahfuz mengingatkan.

Walaupun Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menunjukkan contoh yang baik dengan kehidupan sederhananya, kata beliau, ia tidak akan memberikan apa-apa makna jika tidak diikuti dengan bersungguh-sungguh oleh para pemimpin yang lain.

"Hakikatnya, menggunakan penerbangan kelas ekonomi tidaklah menjatuhkan martabat seseorang sama seperti tidak bertambah hebat martabat seseorang jika menggunakan kelas pertama atau kelas perniagaan.

"Lebih dari itu, tidak benar kononnya menggunakan kelas ekonomi memenatkan dan mengganggu kecergasan dan kecerdasan untuk berkerja.

"Jemaah haji ke Mekah menggunakan kelas ekonomi sehingga berjam-jam tidak pula penat dan boleh terus beribadat apabila sampai di Tanah Suci," katanya ketika menolak dakwaan sesetengah pihak untuki mewajarkan tindakan mereka menggunakan penerbangan kelas pertama atau kelas perniagaan.

April lalu, Mahfuz menggesa semua kerajaan PR yang memerintah lima negeri menubuhkan badan Hisbah "untuk memastikan ketelusan yang disandarkan kepada sistem yang dipercayai".

"Bukan pengisytiharan harta Exco-exco sahaja yang boleh meningkatkan keyakinan umum terhadap kerajaan-kerajaan tersebut, tetapi yang lebih penting lagi ialah kepada siapa harta diisytiharkan dan adakah perisytiharan itu disiasat oleh badan yang bebas," kata beliau.

Beliau berharap badan tersebut yang dipanggil ombudsman oleh umum akan ditubuhkan dengan segera oleh kelima-lima kerajaan negeri yang berkaitan.

"Kita tidak mempersoalkan kejujuran sesiapa. Tetapi hukum alam seolah-olah menetapkan kejujuran sahaja tanpa sistem yang memelihara kejujuran itu boleh menyebabkan individu-individu yang jujur juga terperangkap dengan situasi yang mereka hadapi," jelas beliau.

Sebab itulah, satu sistem yang memelihara dan memastikan kejujuran individu yang berkaitan mesti diwujudkan melalui badan hisbah tersebut.

"Dengan adanya badan hisbah, Menteri Besar, Exco-Exco dan pegawai-pegawai kerajaan boleh mengisytiharkan harta mereka kepada badan itu.

"Bukan setakat isytihar sahaja, tetapi boleh disiasat jika badan itu berpendapat ada keraguan yang mesti dijelaskan dan seterusnya mengambil tindakan susulan," kata Mahfuz. _

Sumber:
HarakahDaily

No comments: