Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Sunday, July 20, 2008

Apakah debat sekali-sekala gambaran wujudnya kebebasan bersuara?

Jika sesebuah akhbar mahu diterbitkan berkali-kali secara berkala, maka perlulah ada permit. Maka, debat mengenai naik turunnya minyak itu bukan berkala. Ia hanyalah terbit, disiar pada sekali itu sahaja. Hal ini sama keadaannya dengan penerbitan sekali saja yang tidak memerlukan permit penerbitan atau permit penyiaran bagi stesen televisyen.

Maka, debat yang berlangsung sekali saja seumur hidup itu bukan kayu ukur dan penanda aras kepada usaha mengukuhkan akar demokrasi sekali gus ia bukannya gambaran akhlak cerminan kepada keterbukaan kerajaan di bawah pentadbiran Abdullah.

Anwar dalam kenyataannya selepas tamat acara debat itu tentu melahirkan rasa puas hati terhadap pembikinan drama, sandiwara dan telemovie debat tersebut.

"Ini bukan soal menang atau kalah. Tapi, menggambarkan adanya ruang untuk bercakap, melahirkan pandangan," kata Anwar.

Segala yang terbuku di hati Anwar pada malam itu telah dilepaskannya dalam debat itu. Siapa pun yang melepaskan geram sudah tentu berasa lega atau 'release tension'. Hal ini mengundang kelegaan sementara yang tidak semestinya lega yang berpanjangan.

Hati-hati dengan tipu helah Umno. Sebenarnya, debat itu pun bukannya direstui oleh ahli kabinet yang lain. Tapi, terlanjur Shabery memajukan idea debat itu kepada Abdullah dan PM pula terlanjur mengiyakan pandangan itu, maka ahli kabinet pun rasa serba salah juga untuk menahan debat itu daripada diteruskan. Takut hilang wala' pula kepada Abdullah.

Pelbagai tohmahan dan tuduhan pasti terpalit ke batang tubuh Umno. Oleh kerana sudah terlanjur, maka terpaksa ahli-ahli kabinet dan menteri-menteri seiya, sekata, dan sepakat dalam memberi warna putih kepada debat yang dianggap sebagai hari gelap mereka.

Berduyun-duyun pujian kepada PM, berbondong-bondong senandung irama, bersimbah lafaz bodekan, mencurah-curah sokongan dan melimpah ampuan ke atas Abdullah, Najib sebagai bukti di atas keterbukaan itu.

Hakikatnya, Umno cukup tidak berkenan dengan keterbukaan. Keterbukaan bukan sifat sebenar Umno, BN termasuklah seteru dan musuh tradisi mereka selama ini.

Selain itu, adapun bukti terhadap wujud ketidakterbukaan itu ialah percekcokan atau pun pergeseran di luar kawalan keselamatan semalam (15 Julai) sejurus selepas tamat debat. Khabarnya, wartawan sukar mendapatkan liputan. Wallahualam.

Polis ganggu emosi Anwar?

Apabila menjelangnya tarikh debat itu, Anwar tentunya memerlukan masa yang rapi bagi menyusun hujah untuk berdepan dengan Ahmad Shabery Cheek.

Pada ketika inilah, polis sama ada (diperintah oleh pihak atasan atau tidak) telah keluarkan waran tangkap, mendesak dan menggesa Anwar segera membuat laporan polis mengenai isu kes liwat itu. Tak dinafikan, semua ini akan mengganggu tumpuan Anwar mempersiap hujahnya dalam menghadapi debat itu nanti. Ini pun suatu kemungkinan juga.

Strategi kotor ini memang biasa dan kerap dilakukan ke atas pelajar yang akan dibawa ke mahkamah universiti. Dalam pengalaman peribadi, HEP memang tidak pernah peduli pun keresahan pelajar ketika mereka sedang berdepan dengan peperiksaan.

Pada saat pelajar sedang bergelut dengan ujian semester atau sedang menumpukan kepada peperiksaan akhir itulah HEP akan bertindak membawa pelajar ke mahkamah pada ketika emosi, jiwa dan pemikiran pelajar sedang berkecamuk dan tertekan.

Anwar sedang dikenakan semacam tindakan serangan emosi di luar penjara sekarang ini. Beliau diserang media walaupun sedang berada di luar kawalan polis. Dalam isu terbaru, ada waran tangkap yang sedang dikeluarkan ke atas Anwar.

Demikian 'berat' jenayah Anwar dibandingkan jenayah penculik Sharlinie dan Nurin yang sehingga kini gagal dikesan oleh pihak polis itu. Agak-agaknya, jika serentak penculik itu dan Anwar tiba dibalai polis, nescaya Anwar yang bakal disiasat dan ditangkap dulu.

Jadi, kesimpulannya, dengan segala tekanan polis dan debat yang hanya diadakan sekali-sekala ini, wajarkah Abdullah Ahmad Badawi dijulang sebagai Bapa Demokrasi sebagai mana yang disebut-sebut oleh Shabery Cheek itu?

Tiada orang yang nampak dengan jelas gangguan polis ini ketika Anwar sedang berdepan dengan debat harga minyak tempoh hari. Cuma orang yang pernah mengalami yang dapat merasakannya. Semua ini telah dirancangkan oleh suatu pakatan kuasa-kuasa rahsia.

Ketika acara mengepung Parlimen sedang dibuat, ketika sibuk berdepan dengan debat itu, dan pada saat itulah waran tangkap sedang cuba didapatkan. Wajarkah hanya dengan satu debat terbuka, maka nama Abdullah sebagai 'jaguh demokrasi' terapung di media?

Sekali lagi diingatkan, Anwar dan para penyokongnya dalam kalangan reformis mungkin berpuas hati kerana sedikit sebanyak suara mereka telah hadir, menghiasi siaran langsung baru-baru ini. Tapi, harus dinilai banyak perkara ke atas perjalanan debat itu.

Pertama, betapa azabnya Umno dan ahli kabinet lain nak merestui debat itu. Kedua, debat diganggu sebelum itu melalui desakan waran tangkap ke atas Anwar. Ketiga, yang utama, debat itu bukanlah diadakan secara berkala. Debat itu sekali seumur hidup saja.

Samalah keadaannya dengan permit penerbitan akhbar dan majalah. Jika penerbitan yang diterbitkan sekali sahaja, tiada permit diperlukan melainkan jika akhbar, majalah itu akan diterbitkan secara berkala. Berhati-hati dengan tipu daya dan tipu helah Umno ini.

Kita dapat berpuas hati dengan sebab sedikit sebanyak suara kita dapat disiarkan di media tapi jangan terlalu berpuas hati dengan Umno sampai sanggup menyatakan bahawa inilah buktinya bahawa Umno di bawah Abdullah kini ternyata lebih demokratik!

Jika benar-benar Umno ikhlas, maka dalam rundingan Umno, Pas yang akan berlangsung nanti, cuba lah Pas majukan cadangan supaya debat minyak petrol dan diesel itu diadakan secara berkala, mingguan atau bulanan. Saya berani kerat jari kalau Umno bersetuju!
- mns_


Sumber: HarakahDaily

No comments: