Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, July 21, 2008

Jaminan Abdullah Hanya Retorik Politik

Kenyataan MediaAngkatan Muda Keadilan Malaysia

19 Julai 2008

Jaminan Abdullah Hanya Retorik Politik

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) memandang serius akan kenyataan penafian Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai keterlibatan Peguam Negara dan Ketua Polis Negara di dalam konspirasi ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan Abdullah bahawa beliau ‘menjamin Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Musa Hassan tidak akan terlibat dalam siasatan berhubung tuduhan liwat melibatkan Datuk Seri Anwar’ membawa pelbagai interpretasi.

Ia seolah-olah mengiyakan bahawa sebelum ini berlaku konspirasi melibatkan kedua-dua individu pada tahun 1998 yang yang mengakibatkan Datuk Seri Anwar dizalimi selama 6 tahun merengkok di dalam penjara atas kesalahan yang direka-reka.

Melihat kepada perkembangan tuduhan dangkal salahlaku seks ke atas Datuk Seri Anwar sebermula 28 Jun lepas, penglibatan Gani dan Musa adalah sesuatu yang sukar disangkal dengan mengambil kira beberapa perkembangan, antaranya cara penahanan desperado pihak polis ke atas Datuk Seri Anwar pada 16 Julai lepas, dan sabitan kes fitnah ke atasRaja Petra Kamaruddin pada 18 Julai berikutan Akuan Bersumpah beliau yang mengaitkan isteri Najib Tun Razak dalam pembunuhan mendiang Altantuya Shariibuu.

Malah, tindakan polis yang ingin menggunakan perintah mahkamah untuk memaksa Datuk Seri Anwar memberikan sampel DNA juga sangat melucukan, dalam keadaan DNA Datuk Seri Anwar sudah pun wujud dalam Bank DNA hasil daripada siasatan kes 1998. Ini memperlihatkan wujud satu keadaan di mana sampel DNA Datuk Seri Anwar akan diseleweng untuk ‘melengkapkan’ pertuduhan palsu ke atas beliau.

Adalah sesuau yang sangat mengelirukan tatkala Abdullah mengatakan bahawa Gani tidak akan terlibat di dalam konspirasi ini, sedangkan jelas disebut di dalam Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan bahawa Peguam Negara adalah mempunyai kuasa, dan kuasa itu hendaklah dijalankan menurut budi bicaranya, bagi membawa, menjalankan atau memberhentikan apa-apa pembicaraan mengenai sesuatu kesalahan, lain daripada pembicaraan di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah bumiputra atau mahkamah-tentera.

Ini juga dijelaskan di dalam Seksyen 376 Kanun Keseksaan Jenayah : The Attorney General shall be the Public Prosecutor and shall have the control and discretion of all criminal prosecutions and proceedings under this Code.

AMK mengulangi penegasan di atas prinsip integriti dan akauntabiliti susulan daripada Memorandum yang dihantar kepada Perdana Menteri pada 3 Julai 2008 bahawa Musa Hassan dan Gani Patail mesti digantung tugas sebagai Ketua Polis Negara dan Peguam Negara serta merta sehingga penyiasatan terhadap mereka selesai dilakukan oleh Badan Pencegah Rasuah.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

No comments: