Pejuang-pejuang bahasa Melayu, yang membantah pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bercadang menganjurkan perhimpunan besar seperti Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2007.
Demonstrasi besar itu, yang digelar "Himpunan 100 Ribu Selamatkan Bahasa Melayu", bagi menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Keputusan mengadakannya dicapai dalam mesyuarat sekumpulan NGO Melayu dan parti pembangkang di Kuala Lumpur akhir bulan lalu, kata ketua pengarah jawatankuasa pelaksana kempen tersebut Hasni Abas dalam satu kenyataan hari ini.
Dihubungi Malaysiakini, beliau berkata memorandum kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin, antaranya, memohon campur tangan baginda sebagai ketua negara bagi mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dua subjek itu.
"Orang mungkin lupa, (dan) menganggap kerajaan (BN) dan Umno sebagai ketua negara. Sebenarnya Yang di-Pertuan Agonglah ketua negara," katanya.
Hasni berkata, 100,000 rakyat dan pejuang bahasa dijadual berarak dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke istana, kira-kira satu kilometer.
"Kita harap (perhimpunan ini) dapat menjadi lontaran pertama (kepada kerajaan)," tambah Hasni, juga pengerusi kesatuan sekerja DBP.
Menurutnya lagi, perhimpunan itu dijangka diadakan Mac depan atau selewat-lewatnya Mei.
Jika tiada masalah, katanya, perhimpunan itu akan dibuat sebelum satu lagi perhimpunan gergasi bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dijadual Mac.
"Orang Melayu ini semangat mereka (berkobar-kobar) enam bulan sahaja. Kalau lama-lama sangat, takut lupa," katanya, berseloroh.
Selain Kesatuan Pekerja-pekerja DBP, NGO dan parti politik yang terlibat termasuklah Dewan Pemuda PAS, Persatuan Linguistik Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis).
Gabungan itu, yang turut menghimpunkan tokoh-tokoh pencinta bahasa kebangsaan, menggelarkan kumpulan mereka Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu.
Hasni berkata, bekas ketua pengarah DBP Datuk Dr Hassan Ahmad bakal menerajui badan induk sekretariat itu.
Urusetia itu juga, tambahnya, menganjurkan perjumpaan lanjutan dengan semua NGO dan parti politik, termasuk BN, yang memperjuangkan penggunaan bahasa ibunda sebagai pengantar pengajaran Sains dan Matematik pada hujung bulan ini.
Bersih - gabungan 71 NGO dan parti pembangkang utama - berjaya menghimpunkan kira-kira 40,000 penyokong mereka berarak ke Istana Negara (foto kanan) pada 10 November dua tahun lalu bagi mengemukakan empat tuntutan, antaranya menghapuskan undi pos dan memperkenalkan dasar dakwat tidak mudah padam di jari pengundi.
Sumber: Malaysiakini
Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment