Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, January 7, 2009

Apa dorong Azharudin tanding calon Bebas?

Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu menerima kejutan kedua pada hari penamaan calonnya, 6 Januari, apabila seorang lelaki yang tidak memasuki senarai yang disebut-sebut bakal bertanding, muncul menyerahkan borang pencalonan di atas tiket Bebas.

Azharudin Mamat @ Adam disahkan layak bertanding, sekali gus menjadikan pertarungan merebut kerusi parlimen berkenaan, 17 Januari nanti, suatu pertarungan tiga penjuru.

Dua lagi calon yang turut disahkan layak bertanding ialah Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh mewakili parti Barisan Nasional dan Mohd Abdul Wahid Endut mewakili PAS.

Kejutan pertama

Pada 1 Januari lalu Mohd Abdul Wahid memberikan kejutan pertama apabila diisytiharkan sebagai calon PAS. Sebelum itu umum bagaikan sudah hampir pasti bahawa calon bakal dipilih PAS adalah daripada tiga tokoh yang disebut-sebut berada pada senarai pendek terakhir parti itu.

Tiga tokoh dimaksudkan ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi; Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Wan Abdul Mutalib Embong; dan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato' Mustafa Ali.

Pemilihan Mohd Abdul Wahid yang di luar jangkaan semua pihak memang memeranjatkan. Media cetak dan elektronik yang beria-ia membuat ramalan mengenai bakal calon dipilih PAS bagaikan terpukul apabila nujum mereka tidak menjadi.

Di pihak BN pula, pemilihan Mohd Abdul Wahid sebagai calon tidak kurang menimbulkan kekalutan. Menurut sumber tertentu yang rapat dengan jentera BN, beberapa unit khas ditubuhkan parti itu untuk meneliti rekod peribadi bakal calon PAS mengakui terpaksa menukar 'kertas kerja' ekoran keputusan mengejutkan itu.

Dikatakan BN telah siap dengan maklumat terperinci mengenai ketiga-tiga tokoh Pas yang disebut-sebut sebagai bakal calon itu. Dipercayai parti itu telah mengatur persiapan rapi 'menyerang' mereka.

Berakhirnya teka-teki

Sementara teka-teki siapa bakal calon BN tamat sebaik nama Wan Ahmad Farid diumumkan pada 20 Disember, calon-calon yang dijangka bertanding selain dari BN dan PAS terus diperkatakan. Ketika itu beberapa nama disebut-sebut bakal bertanding sebagai calon Bebas.

Seorang nenek berusia 89 tahun, Maimun Yusof, yang pernah memeranjatkan negara apabila menjadi calon tertua di Kuala Terengganu, Mac lalu, tidak menolak kemungkinan menyertai sekali lagi pilihan raya kecil ini. Beliau dilaporkan sedia menimbang berbuat demikian sekiranya ada pihak sudi membiayai penyertaannya.

Seorang peniaga dari Rantau Panjang, Isma Airfath Hassanudin, bagaimana pun menjadi orang pertama mengumumkan hasrat menyertai pertandingan kali ini. Beliau mendakwa menerima sokongan pelbagai pihak di Kuala Terengganu, terutama kenalan beliau dalam persatuan sosial dianggotainya. Bekas calon Bebas bagi kerusi Parlimen Rantau Panjang, Mac lalu itu malah sanggup mencium tangan Tok Mun sebagai tanda memohon restu untuk bertanding.

Turut menghangatkan teka-teki jumlah calon ialah parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim). Satu majlis pengumuman calonnya malah telah diadakan minggu lalu. Parti itu menamakan seorang pemimpin Akim Terengganu, Harun @ Abdul Rahman Mohamad sebagai bakal calonnya.
Tidak teruskan hasrat

Nama seorang usahawan muda berjaya dikenali sebagai 'Lan Futsal' juga pernah disebut bakal menjadi calon Bebas. Beliau bagaimana pun tidak meneruskan hasrat tersebut.

Sehingga ke malam sebelum tiba hari penamaan calon, teka-teki jumlah calon bakal bertanding masih melebihi empat orang. Apatah lagi pada malam itu media turut melaporkan bahawa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan sebanyak 11 borang pencalonan telah dibeli beberapa pihak.

Kesudahannya, selain calon dua parti utama itu, tidak ada seorang pun di kalangan nama-nama itu yang muncul. Sebaliknya, yang muncul ialah Azharudin tidak langsung disebut namanya sebelum ini. Berpakaian baju labuh dan seluar 'singkat' serta mengenakan kopiah, sekali pandang orang sepintas lalu akan mengaitkan beliau dengan sebuah jamaah dakwah yang masyhur di negara kita.
Menurut sumber yang mendakwa mengenali beliau, Azharudin dikatakan anak kepada seorang orang kuat Umno di Dun Ladang, Kuala Terengganu. Bapanya malah pernah dilantik menerajui sebuah unit penting dalam kerajaan Terengganu pimpinan menteri besar sebelum ini.

Tidak dapat dipastikan apakah faktor utama yang mendorong Azharudin menyertai pilihan raya ini. Namun berdasarkan maklumat kerjayanya sebagai kontraktor dan dari kalangan penyokong Umno atau pendokong BN, ada cakap-cakap yang mengaitkan kemungkinan tindakannya itu dengan perasaan tidak puas hati terhadap tindak-tanduk bekas Adun Ladang, Dato' Wan Hisham Wan Salleh.

Sekadar makluman, bekas anggota Exco negeri itu adalah abang kandung kepada calon BN, Wan Ahmad Farid. _


Sumber: HarakahDaily

No comments: