Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, January 5, 2009

Kenyataan Media AMK; BN Mula Tabur "Rasuah Politik" Di Kuala Terengganu

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

4 Januari 2009

BN Mula Tabur "Rasuah Politik" Di Kuala Terengganu


Angkatan Muda Keadilan Malaysia memandang serius tindakan Barisan Nasional (BN) yang mula menyogok rakyat dan pengundi di Kuala Terengganu dengan 'rasuah politik' yang terlampau.

Tindakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang meluluskan peruntukan berjumlah RM200,000 bagi pembinaan jalan baru di DUN Wakaf Mempelam, dan juga kenyataan Menteri Besar Terengganu yang berjanji untuk meneruskan projek pembangunan bernilai RM5.8 juta di Kuala Terengganu sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat untuk menerajui kawasan itu ternyata adalah satu bentuk eksploitasi wang rakyat demi menjamin kemenangan BN yang semakin terdesak.

AMK tegas berpendapat bahawa dana kerajaan negeri dan persekutuan yang datang daripada kutipan cukai rakyat tidak wajar diseleweng sewenang-wenangnya oleh BN hanya kerana mereka memegang tampuk kuasa ketika ini.

Apa yang mengejutkan ialah kenyataan MB Terengganu bahawa sukar untuk kerajaan meneruskan agenda pembangunan jika sekiranya Parlimen Kuala Terengganu jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. AMK mempersoalkan tindakan MB Terengganu dan BN yang ternyata mengamalkan demokrasi selektif mengikut nafsu serakah mereka, hanya untuk memastikan mereka terus berkuasa. Apakah rakyat boleh dinafikan dengan pembangunan hanya kerana mereka tidak mengundi BN?

Melihat kepada sogokan demi sogokan yang diberikan oleh BN ini, maka AMK menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat memainkan peranan yang aktif dan tegas dalam membanteras kegiatan 'rasuah politik' yang berleluasa berlaku di Kuala Terengganu pada ketika ini.

AMK juga akan mengambil tindakan drastik untuk mengemukakan laporan kepada polis dan SPRM agar tindakan ini dapat dikekang daripada berlaku berterusan.

BN perlu sentiasa akur, bahawa rakyat dan pengundi bukan semudah itu untuk digula-gula dan diperbodohkan dengan sogokan pembangunan, sebaliknya rakyat akan terus celik untuk menghenyak BN untuk mengembalikan hak rakyat yang telah dilapah sejak sekian lama.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

No comments: