Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, January 22, 2009

MB nafi beli lembu guna dana kerajaan

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan kononnya beliau menggunakan dana kerajaan negeri bagi membiayai pembelian 46 ekor lembu korban baru-baru ini.

Beliau berkata sebaliknya, pemberian lembu-lembu korban itu, bernilai lebih RM110,000, adalah sumbangan daripada enam anak syarikat dan syarikat bersekutu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), yang ingin mengagihkan lembu berkenaan di surau-surau di kawasan Parlimennya, Bandar Tun Razak, pada Hari Raya Aidiladha, Disember lepas.

"Saya ingin menjelaskan di sini bahawa dana kerajaan negeri memang tidak digunakan bagi membiayai pembelian lembu-lembu korban berkenaan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Negeri di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini semalam.

"Sebaliknya, derma ini (lembu-lembu korban) diagihkan kepada golongan yang betul-betul memerlukannya dan tidak timbullah unsur penyalahgunaan dana dalam kes ini disebabkan orang umumlah yang menerima keuntungan daripada sumbangan berkenaan," kata Khalid mengulas dakwaan tersebut.

Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) hari ini membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor dan meminta badan itu menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam urusan pembelian lembu korban itu.

Pengerusinya, Mohd Nazree Mohd Yunus, antara lain mendakwa pembelian lembu-lembu korban yang diagihkan di Bandar Tun Razak menyebabkan aliran dana kerajaan Selangor keluar dari sempadan negeri tanpa mengikuti prosedur urusan kewangan yang betul. BERNAMA

Sumber: mSTAR

No comments: