Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, April 27, 2009

Najib dari kacamata peneliti politik Asia Tenggara - KLpos

27 Apr 2009 9:53AM
Oleh Dr Hussin Mutalib


SEJAK dipilih sebagai Presiden Umno dan kemudian menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berdepan dengan pelbagai cabaran rumit.

'Dapatkah Datuk Seri Najib menyelamatkan Malaysia?' tanya banyak pengamat.

Bahkan ada persamaan antara 'tuahnya' dengan Almarhum ayahnya, Tun Abdul Razak, perdana menteri kedua Malaysia.

Datuk Seri Najib mewarisi daripada pendahulunya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, keadaan negara yang goyah - hubungan kaum yang rapuh dan ekonomi yang merosot.

Tun Razak menghadapi kesan rusuhan kaum berdarah pada 13 Mei 1969. Beliau telah mengetuai usaha merintis Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang antara lain bertujuan meningkatkan saham orang Melayu dan bumiputera dalam ekonomi dan ilmu.

Dasar radikal itu diperlukan demi mengimbangi kesan monopoli ekonomi di tangan orang bukan Melayu.

Anehnya, sedang Almarhum ayahnya membina DEB, Datuk Seri Najib pula perlu merombaknya demi menghambat hati orang bukan Melayu.

Padahal sasaran DEB untuk memastikan orang Melayu meraih 30 peratus kemakmuran negara masih belum tercapai.

Ini menunjukkan suasana hubungan kaum telah mendesak penyemakan ke atas DEB.

Minggu lalu, Datuk Seri Najib mengumumkan bahawa Malaysia tidak lagi akan menguatkuasakan peraturan kuota 30 peratus kaum Melayu dan bumiputera pada 27 sektor ekonomi seperti pelancongan, logistik, pengangkutan dan teknologi maklumat.

Daya utama baru ini bertujuan memikat pelaburan asing dan bakat profesional untuk merancakkan ekonomi Malaysia.

Hakikatnya, memang tersirat di sebalik perubahan dasar itu ialah dimensi kaum - menyejukkan hati pengundi bukan Melayu yang kian menolak Barisan Nasional (BN) seperti pada pilihan raya umum ke-12 Mac tahun lalu.

Setakat mana karisma dan kecekapan Datuk Seri Najib dan pasukannya dalam reformasi ini akan disorot oleh pelbagai pihak, termasuk pelabur antarabangsa yang dilaporkan menuntut DEB dihapuskan.

Ia juga akan menjadi kayu ukur tentang setakat mana Datuk Seri Najib dapat menyelamatkan Malaysia.

Seyogia, Malaysia kian kurang menarik di mata pelabur dalam dan luar negara pada ketika ekonomi dunia dilanda kemelesetan.

Tetapi, adakah langkah terbaru ini merupakan pembuka tirai kepada terbuka luasnya lebih banyak ruang ekonomi kepada rakyat bukan Melayu?

Tunggulah hasilnya dalam tahun ini.

Namun, bagaimana dengan reaksi kaum Melayu yang berasa haknya dipinggirkan pula?

Bukankah Umno, walaupun selaku parti tunjang BN, merupakan pembela ketuanan Melayu di Malaysia?

Dari segi politik pula, cabaran Datuk Seri Najib juga besar. Pilihan raya umum ke-12 dan beberapa kekalahan dalam pilihan raya kecil selepas itu menunjukkan bahawa BN kian kurang popular.

Antara lain, politik 'kepuakan' dalam Umno tampaknya belum terhurai.

Beberapa tuduhan rasuah dikenakan ke atas beberapa pemimpin veteran Umno.

Datuk Seri Najib telah melantik Datuk Mukhriz, anak Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Mentari, sebagai timbalan menteri.

Sebaliknya, Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno yang juga menantu Tun Abdullah Badawi, diketepikan.

Walaupun Khairy dituduh oleh beberapa kumpulan Umno sebagai angkuh dan 'mengada-ngada', hakikatnya beliau meraih undi terbesar dalam persaingan tiga penjuru untuk diangkat sebagai Ketua Pemuda Umno yang lazimnya diberikan jawatan menteri.

Datuk Seri Najib telah menyanggah tuduhan bahawa Dr Mahathir menjadi 'dalang' (kingmaker) dalam proses pelantikan kabinetnya.

Namun, laporan media menunjukkan Dr Mahathir menuduh Khairy tidak layak diberikan jawatan menteri kerana rasuah.

Bahkan bagi pilihan raya kecil di Penanti kelak, Dr Mahathir mendesak BN menampilkan calonnya walaupun Datuk Seri Najib pada mulanya menyatakan tidak berminat.

Selain cabaran 'dalaman' yang melanda Umno, parti-parti komponen BN juga menimbulkan masalah.

MCA, MIC dan Gerakan memang sekian lama patuh pada tatasusila BN.

Namun, sejak alah dalam pilihan raya umum lalu, mereka lebih berani mendesak atau menyatakan rasa tidak puas hati.

Malah sidang parlimen Malaysia yang kini diberi liputan terbuka (termasuk rakaman televisyen) jelas menunjukkan kelantangan para wakil parti komponen BN.

Bahkan di luar parlimen pun, para wakil rakyat bukan Melayu didapati tidak sehalus dulu sehingga dilaporkan menyinggung perasaan orang Melayu.

Kritikan pedas terhadap kedudukan istimewa orang Melayu dan institusi kesultanan dikhuatiri mewujudkan jurang lebih mendalam antara kaum.

Gambaran rusuhan kaum 1969 kini dibimbangkan.

Terdapat juga isu-isu lain seperti masalah rasuah dan silap tadbir yang menjejas imej kerajaan.

Ini semua perlu ditangani Datuk Seri Najib dan pasukannya dengan segera, cekap dan tuntas sedang ikrarnya untuk membina 'Satu Malaysia' dicapai.

Datuk Seri Najib telah memberikan tempoh enam bulan untuk menilai kelakonan pasukan dan dirinya.

Jika beliau berjaya, rakyat Malaysia yang merajuk mungkin dapat dipujuk oleh BN.

Jika beliau kurang berkesan, tunggulah kesannya pada pilihan raya umum kira-kira dua tahun lagi.

Senario BN menjadi pembangkang dan Pakatan Rakyat (PR iaitu perikatan parti pembangkang) pula membentuk kerajaan seperti yang diimpikan Datuk Seri Anwar Ibrahim (ketua PR) boleh menjadi kenyataan.

---

Penulis merupakan peneliti politik Asia Tenggara dan juga Profesor Madya di Jabatan Sains Politik, Universiti Nasional Singapura (NUS). Rencana ini kali pertama disiarkan oleh Berita Harian Singapura.

KLpos

No comments: