Tindakan Umno dan Barisan Nasional merampas kuasa dengan menumbangkan kerajaan sah pilihan rakyat daripada Pakatan Rakyat Perak 5 Februari lalu mempunyai implikasi politik yang amat mendalam ke atas negeri itu yang berlarutan sehingga kini tanpa nampak penyelesaian yang telus walaupun tanda-tanda ke arah tersebut semakin nyata.
Apa pun Umno dan BN berjaya mendalangi kerja kotor mereka melalui penderhakaan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat iaitu ADUN Changkat Jering, Kapt (B) Mohd Osman Jailu, ADUN Behrang, Jamaluddin Mat Radzi, kedua-duanya daripada Parti Keadilan Rakyat, dan ADUN Jelapang daripada DAP, Hee Yit Foong.
Seorang lagi, ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai PKR beberapa hari sebelum rampasan kuasa kerajaan negeri Perak menyertai semula Umno.
Beberapa hari lalu ADUN Penanti daripada PKR, Mohammad Fairus Khairuddin pula meletak jawatan secara mengejut walaupun sudah dijangka sejak beliau melepaskan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang 8 April lalu.
Dengan serta merta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan tindakan Fairus itu sebagai "political ploy" atau permainan politik dan mengumumkan pada masa yang sama kemungkinan BN tidak menyertaikan pilihan raya kecil yang bakal diadakan dalam tempoh 60 hari demi mengelakkan pembaziran.
Lain pula nada beliau apabila tiga ADUN dari Perak melompat dari Pakatan Rakyat untuk menjadi wakil bebas tetapi menyatakan sokongan terhadap BN.
Beliau berkata itu adalah hak ketiga-tiga ADUN tersebut serta Datuk Nasaruddin untuk memilih parti mana yang mereka sokong.
Jadi apakah persamaan yang dimiliki oleh kesemua ahli politik ini dan pula perbezaan antara tindakan Fairus, Jamaluddin, Osman, Hee dan Nasaruddin?
Berbeza dengan Fairus yang secara terhormat meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan juga ADUN Penanti, Jamaluddin, Osman, Hee dan Nasaruddin atau akronimnya J.O.H.N. meninggalkan parti mereka melalui cara yang dianggap rakyat sebagai hina, tidak berprinsip, tidak bermaruah dan mudah di beli dengan wang ringgit dan tarikan material.
Walaupun Fairus sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung satu projek kuari di Pulau Pinang beliau memilih untuk menyelamatkan imej dan masa depan parti serta nama baik beliau dan keluarga dengan melepaskan kesemua jawatan dalam kerajaan.
Alasan yang diberi pula adalah suatu yang munasabah iaitu untuk menyambung pelajaran pasca siswazahnya serta memberi tumpuan kepada keluarga.
Beliau tidak boleh disabitkan dengan kesalahan rasuah selagi SPRM belum selesai menjalankan siasatan dan pendakwaan belum dibuat terhadap beliau.
Sebenarnya Fairus mempunyai banyak opsyen - sekiranya mahu kekayaan melimpah ruah melalui tawaran wang ringgit dan projek beliau boleh terus melompat ke Umno atau menjadi ADUN Bebas atau mengumumkan keluar parti.
Namun beliau memilih jalan yang lebih payah tetapi tetapi kaya dengan nilai moral, integriti dan maruah yang tinggi.
Tindakan Fairus hanya membangkitkan kemarahan Umno dan BN bukannya kemarahan rakyat.
Umno dan BN marah kerana mereka tidak mampu lagi berhadapan dengan satu lagi kekalahan yang memalukan setelah dihukum rakyat di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau.
Bagi Umno dan BN kekalahan di Penanti sekiranya mereka bersetuju bertanding bererti kepimpinan Najib dan gagasan BN ditolak secara mutlak oleh rakyat Semenanjung Malaysia.
Dengan kenyataan Najib bahawa BN mungkin tidak bertanding di Penanti sudah cukup meghadiahkan kekalahan moral kepada Umno dan BN dan kemenangan hakiki kepada Pakatan Rakyat.
Bagaimana pula dengan tindakan J.O.H.N.?
Saga politik Perak dikatakan bermula dengan misteri kehilangan mereka bertiga.
Jamaluddin dan Osman menghilang diri atau dihilangkan sejak 26 Januari dan membuat deklarasi pada 3 Mach bahawa mereka kini berstatus ADUN Bebas.
Pada masa yang sama Hee juga dilaporkan hilang apabila gagal menghadiri satu majlis anjuran DAP lantas mencetuskan khabar angin beliau telah melompat parti.
Tindakan Hee agak mengecewakan kerana gagasan Pakatan Rakyat sahajalah yang sanggup meletakkan Hee pada kedudukan yang tinggi bukan sahaja sebagai ADUN malah lebih daripada itu apabila dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri wanita daripada golongan OKU yang pertama di Malaysia.
Begitu juga dengan nasib Datuk Nasaruddin yang bersungguh-sungguh berkata beliau meninggalkan Umno kerana tidak tahan dengan kepimpinan yang disaluti rasuah dan menyatakan Umno menuju kepada kehancuran disebabkan itu.
Lebih kurang seminggu menyertai parti barunya, PKR, beliau dilaporkan menyertai semua parti yang dicercanya sebelum itu.
Pada 4 Februari seperti yang dijangka rakyat Perak keempat-empat ADUN tersebut muncul di Sri satria, kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Najib.
Najib tanpa segan silu di atas perbuatan yang dilakukan dengan politik kotor yang diamalkan dengan membeli, merasuah, mengugut dan menculik ADUN-ADUN tersebut lantas mengumumkan bahawa mereka kini memberi sokongan padu kepada BN.
Melihat kepada dua senario antara apa yang dilakukan oleh Fairus dan apa yang rancangkan oleh kumpulan J.O.H.N. nyata perbezaannya adalah antara langit dengan bumi - antara prinsip dan sifat tamak haloba, kesetiaan dan penderhakaan, politik pro-rakyat dan politik kedurjanaan.
Fairus melakukan apa yang dilakukan demi parti dan rakyat - supaya parti selamat dan terus utuh dan memulangkan mandat kepada rakyat agar memilih pemimpin yang terbaik bagi mereka.
J.O.H.N. pula memilih periuk nasi mereka yang mendahului kehendak, kepentingan dan aspirasi rakyat. - TVA
Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment