Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, April 10, 2009

Melaka kecewa - Mohd. Ali - Utusan

MELAKA 9 April - Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kerajaan negeri agak kecewa dengan barisan Kabinet baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Katanya, Melaka mengharapkan Perdana Menteri dapat melantik salah seorang dari dua timbalan menteri dari negeri itu iaitu Datuk Wira Abu Seman (Kementerian Pertahanan) dan Datuk Idris Harun (Kementerian Pengajian Tinggi) sebagai menteri penuh dalam senarai barisan Kabinet baru.

''Bagaimanapun, daripada dua timbalan menteri kini tinggal seorang, sebelum ini, kita juga berharap wakil Melaka (salah seorang timbalan menteri) dapat jawatan menteri penuh," katanya selepas Program Bantuan Pertanian Kepada Nelayan di Kampung Sulok Bukit Bayan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman barisan Kabinet baru oleh Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Sehubungan itu Mohd. Ali berharap, Najib akan menimbang untuk melantik menteri penuh daripada kalangan wakil Melaka pada masa akan datang.

Bagaimanapun, katanya, Melaka berterima kasih dan menghargai keputusan Perdana Menteri yang tetap mengekalkan jawatan timbalan menteri kepada Abu Seman dalam barisan Kabinet baru.

Pada masa sama, beliau menyifatkan, barisan Kabinet baru sebagai gandingan mantap kerana menampilkan muka baru dan lama sekali gus mampu merealisasikan wawasan dan harapan rakyat.

Utusan

No comments: