Ianya terkandung dalam satu afidavit yang difailkan oleh menteri besar Pakatan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.
Pemimpin Pakatan Rakyat itu memberi butir-butir terperinci mengenai apa yang berlaku ketika menghadap Sultan Perak pada 4 dan 5 Februari lalu.
Mohd Nizar juga menafikan dan mempertikaikan versi yang dinyatakan oleh penasihat undang-undang Perak, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dalam afidavitnya. Menurutnya, versi Ahmad Kamal tidak menggambarkan kebenaran sepenuhnya.
Dalam afidavitnya untuk menyokong menteri besar BN yang baru dilantik, Datuk Zambry Abdul Kadir, Ahmad Kamal mengatakan Sultan menyebut tentang perlembagaan (negeri) apabila mengarahkan Mohd Nizar meletak jawatan.
Mohd Nizar juga mendedahkan bahawa sewaktu menghadap sultan selama 15 minit pada 5 Februari lalu, beliau telah memberitahu baginda mengenai akibat yang akan timbul sekiranya gagal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut afidavit tersebut, Mohd Nizar berkata ia bermula pada 4 Februari, ketika beliau menghadap baginda Sultan untuk memohon perkenan baginda untuk membubarkan DUN bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak berikutan kehilangan tiga ADUN - Mohd Osman Jailu (Changkat Jering), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Hee Yit Foong (Jelapang) - yang telah "meletak jawatan".
Bagaimanapun, baginda Sultan memberitahu Mohd Nizar bahawa baginda akan mengkaji permohonan itu dan menyebut ayat al-Quran "Innallaha maa Sobirin" (sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar).
Mohd Nizar berkata, beliau menghormati keputusan itu dan sewaktu pertemuan tersebut, beliau juga turut menyerahkan draf pembubaran DUN untuk mendapatkan perkenan baginda.
Bagaimanapun, Mohd Nizar menafikan bahawa semasa menghadap baginda Sultan, beliau pernah menyatakan kepada baginda bahawa terdapat kehilangan kepercayaan kepadanya sebagai menteri besar oleh majoriti anggota DUN, dan kerana itu, beliau mahu membubarkan DUN.
No comments:
Post a Comment