Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, March 25, 2010

Liwat II: Saiful disoal balas pada 10 Mei - Malaysiakini

Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 10 hingga 14 Mei depan untuk perbicaraan kes liwat membabitkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perbicaraan kemudiannya akan disambung semula pada 31 Mei hingga 4 Jun , 14 hingga 23 Julai dan 2 hingga 30 Ogos.

Jumlah hari yang ditetapkan untuk perbicaraan itu adalah 39 hari.

Pada perbicaraan yang akan bersambung pada 10 Mei nanti, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes liwat itu akan disoal balas oleh pihak pembelaan.

Mohd Saiful sepatutnya disoal balas pada 8 Feb setelah pihak pendakwaan selesai membuat pemeriksaan utama pada 5 Feb tetapi kes itu tertangguh kerana Anwar memohon supaya Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menarik diri kerana didakwanya berat sebelah tetapi hakim itu membuat keputusan untuk tidak menarik
diri.

Dalam prosiding pada 18 Feb, mahkamah menetapkan hari ini untuk sebutan sehingga menunggu selesainya rayuan Anwar berhubung keputusan Hakim Mohamad Zabidin untuk tidak menarik diri.

Bagaimanapun, pada 16 Mac, Anwar menarik balik rayuannya itu dengan alasan mahu supaya kes itu dipercepatkan.

Anwar, 63, yang juga ketua pembangkang dan penasihat Parti Keadilan Rakyat mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful, 25, bekas pembantu peribadinya, di sebuah apartmen di Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.

Apabila mahkamah bersidang hari ini, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan, meminta mahkamah menetapkan tarikh seawal minggu depan bagi meneruskan perbicaraan kes itu.

Bagaimanapun, peguam utama Anwar, Karpal Singh, berkata beliau dan Anwar perlu menghadiri persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.

Anwar ialah Anggota Parlimen Permatang Pauh manakala Karpal ialah Anggota Parlimen Bukit Gelugor daripada DAP.

Mohamed Yusof berkata bahawa itu tidak boleh dijadikan alasan tetapi Karpal menjawab bahawa beliau dan Anwar mempunyai tanggungjawab untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Karpal mencadangkan Julai sebagai tarikh yang sesuai kerana beliau boleh hadir sekiranya kes itu ditetapkan sepanjang bulan itu.

Bagaimanapun Hakim Mohamad Zabidin berkata tarikh itu terlalu lewat dan mencadangkan pula ia dijalankan pada Mei, dan selepas pihak-pihak terlibat berbincang dalam kamar hakim kemudiannya, tarikh-tarikh itu dipersetujui.

Anwar menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari, 25, di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Malaysiakini

No comments: