Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, March 10, 2010

Selangor Sasar 2010 Hapus Kemiskinan Tegar - SK

Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 9 Mac - Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan negeri Selangor mensasarkan untuk menghapuskan kemiskinan tegar di negeri ini menjelang hujung tahun ini.

Beliau yang juga Penasihat Ekonomi Selangor langkah ini adalah langkah drastik kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat untuk membebaskan golongan yang berpendapatan kurang daripada RM500 sebulan daripada cengkaman kemiskinan tegar.

"Saya sudah berbincang dengan Menteri Besar dan beliau akur untuk menyegera dan melipatgandakan usaha untuk menghapuskan kemiskinan tegar di negeri Selangor tahun ini.

"Kita mahu melihat apabila negeri Selangor mendapat keuntungan ianya diagihkan terus kepada rakyat terutamanya golongan yang miskin dan perlukan bantuan," tegas beliau semasa berucap kepada lebih 5,000 penyokong yang berhimpun di Stadium Malawati di Shah Alam sempenan ulangtahun kedua pentadbitan Pakatan Rakyat Selangor.

Anwar berkata selama lebih 50 tahun Umno dan Barisan Nasional memerintah negeri ini golongan miskin dipinggirkan sementara kekayaan terus dikaut oleh pemimpin, kaum keluarga dan kroni Umno-BN.

"Kita tidak mahu ketidakadilan dalam pengagihan kekayaan negeri ini dibolot oleh Umno dan BN yang rakus dan tamak harta. Pimpinan Pakatan Rakyat tidak rasuah dan Exco negeri juga tidak rasuah, kalau saya dapat tahu mereka dapat tanah walau seinci ini saya akan tetukan mereka dipecat serta merta," kata Ahli Parlimen Permatang itu disambut dengan tepukan gemuruh tanda sokongan.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berkata kerajaan negeri akan menggunakan hasil kutipan hutang dari syarikat Talam Corporation bagi membangunkan program Mikrokredit dalam usaha membantu rakyat miskin dan berpendapatan rendah di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Menurut beliau, kutipan hutang bernilai RM50 juta ringgit itu bakal dijadikan suntikan permulaan untuk memastikan seluruh rakyat miskin di Selangor mendapat pembelaan tanpa mengambil kira latar belakang bangsa, agama mahupun kepartian.

"Untuk menunjukkan Kerajaan Selangor sentiasa membuat perubahan untuk ke arah pembangunan rakyat, pagi tadi kita telah mengumumkan dua lagi program hasil dari pengurusan ekonomi Selangor.

"Pertama kita telah mengumumkan kita telah dapat mula mengutip hutang Talam yang terhutang RM390 juta dahulu yang tidak boleh dikira oleh bekas Menteri Besar yang lama, boleh jadi pengalaman untuk buat kira-kira tidak begitu tinggi. Oleh sebab itu, beliau tidak nampak bahawa hutang itu dalam milik syarikat-syarikat di bawah kerajaan negeri," katanya.

Tambah beliau program berkenaan akan dilancar dalam tempoh dua bulan lagi serta dilaksana mengikut perbankan Islam.

"Program mikrokredit ini berkonsepkan Qardhul Hassan dan kegunaan ini menunjukkan bagaimana harta-harta di Selangor yang dibiarkan, yang dilupakan atau yang digelapkan dapat kita cungkil, kita ambil dan sekarang ia menjadi alat untuk membangunkan masyarakat kita.

"Dan ini peringatan untuk 'Datuk' dari Sabah, kalau nak kutip hutang di Sabah ada kepakarannya di Selangor," kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu lagi.

Khalid juga berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menentukan proses dan pendekatan program itu. Ia diketuai Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Asas Negeri, Datuk Dr Hassan Mohamad Ali.

Bagi program kedua pula, Khalid berkata, seramai 368 ketua kampung dari seluruh daerah di Selangor hari ini menerima surat kuasa atau watikah selepas menjalani enam bulan tempoh penilaian bermula Oktober tahun lalu.

Beliau berkata, ketua kampung dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) adalah jentera pentadbiran yang berperanan penting kepada kerajaan negeri.

"Kita berjanji dalam Pakatan Rakyat dalam konteks merakyatkan ekonomi, semua sumber-sumber negeri Selangor adalah hak rakyat yang kita akan urus dengan dengan baik kerana kita pemegang amanah rakyat.

"Dengan itu, syarikat yang kita tubuhkan untuk mengurus pasir di Selangor; Kumpulan Semesta mula mendatangkan keuntungan. Saya telah mengumumkan 10 peratus daripada keuntungan itu akan kita agihkan kepada kesemua ketua-ketua kampung dan JKKK di Selangor kerana mereka akan membawa pembangunan untuk masyarakat di Selangor. Ini Pakatan Rakyat bukan Umno, bukan BN. Bezanya terlalu besar, bagaikan langit dengan bumi," katanya.

Jelas beliau, pelantikan itu menunjukkan mereka adalah ejen kerajaan negeri bagi memudahkan penyampaian maklumat dan membantu melaksanakan program serta projek pembangunan di peringkat akar umbi.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua kepimpinan kerajaan negeri dapat menguruskan khazanah ekonomi di Selangor dengan baik tanpa melibatkan rasuah, salah guna kuasa dan kronisme.

SK

No comments: