Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, April 1, 2009

Analisis Bukit Selambau:Selamatkan negara dari kejahatan BN - Harakah

Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Bukit Gantang, Perak; Dun Bukit Selambau, Kedah dan Dun Batang Ai, Sarawak akan diadakan serentak pada 7 April depan. Berbanding PRK Bukit Gantang dan Batang Ai yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, PRK Bukit Selambau diadakan ekoran perletakan jawatan oleh Adunnya.

Biarpun perletakan jawatan menyebabkan PRK 'perlu' diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut sebagai memenuhi peruntukan perlembagaan negara sepertimana PRK Permatang Pauh yang juga diadakan dengan sebab sama, tetapi PRK Bukit Selambau 'terpaksa' diadakan ekoran kerja jahat Barisan Nasional (BN) terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah.

BN telah mengadakan tekanan politik kepada Pakatan Rakyat Kedah dengan cara mengugut, mengancam serta membuat tawaran berupa rasuah untuk 'memindahkan' kerusi Dun berkenaan secara paksa selain beberapa kerusi Dun yang lain. Maka kegagalan BN memperolehi Dun-dun berkenaan secara mudah akan menyaksikan Pakatan Rakyat berhadapan kejahatan BN buat sekian kalinya pada PRK Bukit Selambau.

Malah kejahatan sama akan dihadapi Pakatan Rakyat di Bukit Gantang dan Batang Ai sepertimana yang telah dialami di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu pada PRK sebelum ini.

Jika di Bukit Gantang para pengundinya perlu bangkit untuk memberi mesej jelas penolakan rakyat kepada rompakan kuasa di Perak, di Bukit Selambau para pengundi perlu memastikan BN kekal kalah untuk menunjukkan kuasa rakyat dalam menafikan usaha-usaha BN menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah secara tidak demokratik.

Malah kemenangan di tiga PRK tersebut sangat penting dijayakan rakyat selepas Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, sebagai menyatakan penolakan kepada Dato' Seri Najib Tun Razak dari mengambil alih teraju negara.

Rakyat juga sebagai penyelamat negara dari politik ganas yang bakal berlaku di bawah pemerintahan Najib. 'Rekod' skandal Najib dan tindakan-tindakannya kepada Pakatan Rakyat telah ada dalam pengetahuan umum. Kemenangan Pakatan Rakyat juga akan menjadi suara untuk menafikan dakwaan Umno dan rakan-rakan BN bahawa mereka telah berubah serta kembali diterima rakyat.

Calon Bebas Proksi BN

Selepas Perak, usaha BN menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah juga tersimpul dari tindakan menaja calon-calon Bebas untuk bertanding pada PRK Bukit Selambau. Sepertimana ditegaskan Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar, kesemua calon Bebas tersebut merupakan proksi BN yang bertujuan melarikan undi yang sepatutnya diterima calon KeADILan. Bermakna, jika pun mereka mungkin bukan proksi BN secara langsung, namun mereka tetap menjadi proksi BN secara tidak langsung.

Ketika media pro-BN cuba mendakwa bahawa penyertaan calon Bebas sebagai perpecahan dalam Pakatan Rakyat, hakikat sebenar menunjukkan bahawa calon-calon tersebut mempunyai latarbelakang keterlibatan dan jawatan mereka dalam parti-parti komponen BN. Ini ditambah dengan reaksi 'gembira' yang ditunjukkan Dato' Hishammuddin Tun Hussein selaku Pengarah BN bagi PRK tersebut terhadap penyertaan calon-calon Bebas.

Malah calon-calon Bebas juga sememangnya ditaja memandangkan keupayaan mereka menyediakan bahan kempen yang tentunya memerlukan kos tinggi. Mana mungkin calon-calon Bebas ini berupaya menyediakan bahan kempen sepertimana yang dapat disaksikan di Dun Bukit Selambau melainkan dari tajaan. Malah, beberapa calon Bebas juga dilihat makan bersama di sebuah restoran tidak jauh dari Bilik Gerakan Induk Pemuda BN di Sungai Lalang selepas proses penamaan calon. Tidaklah dapat dipastikan sama ada kebetulan atau makan tengahari itu juga ditaja.

Rakyat juga perlu mempersoalkan penyertaan calon-calon Bebas yang sebenarnya sedang membuka laluan kepada calon BN untuk menang. Kerana sudah teramat pasti, sama ada mereka itu mengaku menyertai PRK secara persendirian atau pecahan dari BN mahupun Pakatan Rakyat, penyertaan pada PRK ini tentunya bermotifkan peribadi atau lebih mudah disebut sebagai mencari kepentingan diri.

Analisis calon-calon Bebas bahawa mereka berupaya untuk menang dengan alasan bahawa bekas Adun Bukit Selambau, Arumugam Vengatarakoo juga menang atas tiket bebas ternyata satu dakwaan 'kurang cerdik'. Bahkan, pengakuan calon Bebas tertentu kononnya mereka mendapat sokongan pengundi Bukit Selambau tentunya tidak lebih dari perasaan paling bahaya dalam jiwa manusia iaitu 'perasan dan syok sendiri'.

Fakta yang perlu diketahui 13 calon Bebas berkenaan ialah; Arumugam semasa PRU-12 lalu dibelakangnya terdiri dari jentera KeADILan dan PAS selain pihak-pihak yang menyokong Barisan Alternatif (kini Pakatan Rakyat) ketika itu.

Pakatan Rakyat Yang Bersih

Benarlah kata-kata Allah di dalam al-Quran bahawa kemenangan dan kekalahan adalah 'proses pembersihan'. Satu persatu para pengkhianat, 'duri dalam daging' dan 'telur busuk' akhirnya menzahirkan diri, sekaligus membuka masa depan yang lebih baik kepada Pakatan Rakyat di Kedah khususnya dan Malaysia amnya. Dalam masa sama, para penyokong PAS, KeADILan dan DAP yang selama ini 'menyembunyikan' sokongan mereka, kini tetap kekal bersama Pakatan Rakyat sebagai bakal pendokong tegar. Tidak akan punah Pakatan Rakyat dengan segala pengisytiharan golongan penghianat ini, hendak pergi, silakan, silakan.

Pakatan Rakyat yang sebenarnya masih memerlukan masa panjang mengukuhkan organisasinya, kini semakin pantas memanjat tangga ekoran parti-parti komponen BN 'terjun bangunan' dengan tindakan-tindakan jahat mereka. Rakyat telah mengalihkan sandaran mereka selepas 'serik' dengan BN yang diberi peluang lebih 50 tahun memerintah.

'Exco In Waiting'

Manikumar bukan sahaja perlu menang untuk menjadi Adun Pakatan Rakyat bagi Bukit Selambau, tetapi beliau adalah 'Exco in waiting'. Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah telah melengkapkan Exco mereka dari pelbagai kaum utama di Semenanjung Malaysia kecuali India, oleh itu bagi PRK Bukit Selambau ini menuntut kepada perlunya Pakatan Rakyat meletakkan calon India.

Pemilihan Manikumar ternyata tepat. Walaupun berketurunan India, beliau juga rapat dengan kaum lain. Beliau bukan sahaja dibesarkan dalam kelompok masyarakat pelbagai kaum, malah mendapat pendidikan dari sekolah yang ramai pelajar Cina dan Melayu selain isterinya juga mengajar di sekolah aliran Cina.

Selain itu, beliau juga termasuk dalam kelompok berpendidikan tinggi dan profesional. Ciri-ciri ini memenuhi perjuangan Pakatan Rakyat ke arah membawa masa depan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu terdiri dari masyarakat pelbagai kaum.

Sedang parti komponen BN pula akan bersisa dan ketinggalan dari arus mentaliti dan perpaduan kaum yang semakin utuh di bawah Pakatan Rakyat.

Agensi Kerajaan Diperkudakan

Pilihan raya adalah melibatkan pertandingan antara sesama parti politik untuk membentuk kerajaan. Sayangnya di Malaysia, BN telah menjadikan jentera kerajaan sebagai kuda tunggangan untuk kepentingan parti mereka. Lantaran itulah dapat dilihat begitu banyak sekali kenderaan-kenderaan agensi kerajaan pada tempoh berkempen ini yang sepatutnya dimasukkan dalam senarai sebagai 'mangkuk mee segera'. Malah janji Najib bahawa tidak akan ada projek 'mee segera' pada PRK ini nyata bohong belaka. BN dan projek sememangnya tidak dapat dipisahkan.

Selain itu, antara yang perlu juga dipertikaikan ialah peranan pasukan polis. Jika kehadiran ramai anggota polis pada PRK Kuala Terengganu dikatakan bertujuan untuk menjaga keselamatan, tujuan itu dilihat telah tercemar untuk PRK Bukit Selambau. Pada malam ceramah Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Taman Ria Jaya, Sungai Petani 23 Mac lalu, tanpa perlu menyebut kos-kos lain, beberapa orang awam telah mengalami kecederaan termasuk dilaporkan media pro-BN bahawa tiga anggota polis turut cedera. Tetapi dalam suasana yang lebih 'panas' iaitu semasa hari penamaan calon, langsung tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

Kesimpulannya sangat mudah. Jika tidak ada sebarang kacau ganggu atau provokasi polis tentunya tidak ada seorang pun yang bertindak diluar batasan. Tiada yang cedera dari mana-mana pihak mahupun tiada kos-kos lain terlibat. Oleh itu, anggota polis perlu benar-benar hanya menjadi anggota keselamatan bukannya menjadi sebahagian penggerak agenda BN. - azm_


Harakah

No comments: