Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, September 11, 2008

Penyelewengan GLC: Kerajaan Kedah buat laporan polis, BPR

ALOR STAR, 10 Sept (Hrkh) - Kerajaan Negeri Kedah akan membuat laporan kepada polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung Jenayah Pecah Amanah yang berlaku dalam pengurusan sesetengah Syarikat Milik Kerajaan Negeri (GLC) di zaman pemerintahan Barisan Nasional.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman sebentar tadi.

Ujarnya, Kerajaan Negeri setelah enam bulan mengambil alih tampuk pemerintahan menjumpai banyak penyelewengan serta salah guna kuasa dan wang yang dilakukan pentadbiran terdahulu.

Maklumnya, beliau akan meminta pihak pengurusan syarikat-syarikat berkenaan untuk membuat laporan tersebut seberapa segera yang mungkin.

Ditanya bentuk jenayah yang dilakukan, Menteri Besar sekadar memaklumkan bahawa GLC berkenaan tidak mengikut peraturan perbelanjaan dan pengurusan kewangan.

"Mungkin wang itu disalurkan ke tempat-tempat yang tidak sepatutnya disalurkan sebagai contoh, atau dibayar kepada tempat yang tidak sepatut dibayar," ujarnya membayangkan maksud.

Beliau juga enggan memberikan jumlah tepat penyelewengan yang berlaku sebaliknya sekadar menyebut berjumlah puluhan juta ringgit.

Menjawab pertanyaan wartawan, beliau juga menjelaskan kebanyakan Ketua Pegawai Eksekutif dan pegawai-pegawai atasan syarikat terbabit telah berhenti setelah berlaku pertukaran kerajaan.

"Melalui audit dan penstrukturan semula GLC serta kajian terhadap akaun dan pengurusan kita temui perkara-perkara yang tidak telus dan perlu diberi kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut," jelasnya memberi jawapan lanjut terhadap pertanyaan media. - mns_

Sumber:
HarakahDaily

No comments: