Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, August 19, 2009

Inkues: Koroner arah siasat surat misteri - Malaysiakini

Mahkamah koroner hari ini mengarahkan polis melakukan siasatan lanjut terhadap kandungan sepucuk surat misteri yang mengandungi butiran berkaitan kematian Teoh Beng Hock.

Koroner Azmil Muntapha Abas yang meneliti kandungan surat itu berkata ia jelas terdapat beberapa elemen yang berkait rapat dengan perjalanan prosiding inkues tersebut.

"Oleh itu, saya perlu mengarahkan pegawai penyiasat kes ini Ahmad Nazri Zainal untuk menyiasat kandungan surat ini yang berkaitan dengan skop prosiding inkues bagi menentukan punca kematian (Teoh)," katanya, lapor Bernama.

Beliau juga mengingatkan peguam semua pihak terbabit supaya tidak mendedahkan sebarang maklumat penting berhubung kandungan surat itu kepada media yang boleh menjejaskan siasatan polis kelak.

Surat tersebut diterima semalam oleh peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, daripada seseorang, sebaik prosiding inkues itu berakhir lewat petang.

"Semalam, saya telah menerima sepucuk surat bertarikh 5 Ogos yang mengandungi perkara-perkara berkaitan prosiding inkues, tetapi saya tidak boleh memberitahu kandungannya di sini (mahkamah)," kata Gobind sebaik prosiding bermula pada jam 3 petang.

"Dengan ini, saya ingin membuat permohonan kepada mahkamah supaya mengarahkan pegawai penyiasat untuk menyiasat kandungan surat itu yang sangat penting dan relevan dalam prosiding inkues ini," katanya.

Surat yang mengandungi lima muka surat bertaip itu kemudian diserahkan kepada koroner Azmil Muntapha untuk diteliti.

Peguam Tan Hock Chuan, bagi pihak kerajaan, tidak membantah permohonon Gobind terhadap siasatan lanjut itu dan berkata: "Dakwaan dalam surat ini perlu disiasat oleh polis kerana kita semua berada di sini untuk mendapatkan kebenaran dalam perkara ini.

"Ada beberapa nama disebut dalam surat itu. Pihak polis perlu diberikan peluang untuk mengesahkan kebenaran dakwaan dalam surat ni atau pun sebaliknya," kata Tan.

Di luar mahkamah, Gobind memberitahu media bahawa surat itu diterimanya di dalam bangunan mahkamah di sini semalam, antara jam 5 dan 6 petang.

Beliau berkata surat itu mempunyai banyak maklumat yang relevan kepada koroner tentang sebab-sebab yang membawa kepada kematian Teoh.

"Walau bagaimanapun koroner telah meminta supaya semua pihak tidak mendedahkan (kandungan surat itu) kerana siasatan akan dijalankan," katanya.

Apabila ditanya sama ada surat itu akan membawa apa-apa perubahan dalam kes itu, Gobind berkata: "Pada saya, ya, ia mungkin akan membawa maklumat baru."

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai lepas di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salah guna wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Prosiding disambung Isnin depan.

Malaysiakini

No comments: